Selasa, Disember 29, 2009

Resepi Salad Cili Hijau Tumis Mudah

Semalam Bott excited cerita dekat aku yang pokok cili hijau rumah jiran sebelah dah membuahkan hasil. Mewah jugak! Aku punyalah seronok pergi tengok cili 'life' dekat pokok. Aku suka kalau tengok rumah yang ada tanam daun kari, serai, lengkuas, cili dan macam-macamlah. Senang bila nak masak! Lagi seronok kalau ada tanam herba sedikit sebanyak!

Cili hijau sihat-sihat!
Sedia untuk dipetik.


Aku selalu main tunjuk dan beli dekat pasaraya je. Nama nak tanam sendiri, manalah area rumah aku tu ada tanah. Lagipun, belum tentu lagi aku ni 'green fingers'. Secara automatik, minat nak tanam-tanam ni luput begitu sahaja. Borak-borak masa makan dengan nenek, nenek beritahu yang pokok cili hijau tu pokok nenek. Yelah, duduk kat kampung ni mana pakai pagar-pagar. Bila pokok tu dah dekat sempadan antara rumah nenek dengan jiran sebelah, kitorang buat 'jangkaan selamat' yang pokok tu bukan nenek punya.

Dah tahu pokok tu nenek punya, apa lagi! Tak payah tunggu lama, aku dan Bott pergi petik cili-cili yang dah masak. Aku memang suka cili hijau. Selalu kalau buat ayam goreng kunyit atau ikan goreng, aku akan potong cili hijau dan tumis dengan bawang yang dah dipotong bulat-bulat. Hidangkan sekali dengan ayam goreng kunyit. Buat lauk masak taucu atau masukkan hirisannya dalam sandwich pun sedap!

Operasi memetik cili.

Di bawah ini ada satu resepi mudah yang aku biasa buat tetapi maaf tidak dapat nak sertakan gambar.

Resepi Salad Cili Hijau Tumis Mudah

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Cili hijau secukupnya (10-12 batang)
  • Lobak merah (dipotong halus-halus memanjang)
  • 2 sudu minyak zaitun atau kalau nak ubah cita rasa boleh letak minyak bijan
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk lada hitam
  • 3 - 4 ulas bawang putih dicincang halus

Cara-caranya:

  1. Mula-mula cili hijau dipotong serong. Keluarkan biji cili.
  2. Kemudian, panaskan minyak, tumis bawang putih yang dicincang halus.
  3. Masukkan cili hijau tadi dan tumis seketika sebelum masukkan lobak merah.
  4. Perasakan dengan garam dan lada hitam secukupnya.

Senang, bukan? Sedap! Jangan bimbang, salad cili hijau ini tidak pedas. Lagipun, kita dah buang biji kan... Selamat mencuba!