Jumaat, Mei 07, 2021

Resepi Acar Buah Ikan Masin

Seminggu sebelum Ramadan, jiran sebelah beri saya acar buah ikan masin. Sedapnya. Lama dah tak makan acar buah. Dapat pula ada ikan masin sekali. Memang bertambahlah saya makan. Sambil menikmati acar sehingga ke cebisan buah dan titisan minyak terakhir 😅, sibuklah saya buat plan dengan Bott. Rangkanya hendak buat sendiri acar buah banyak-banyak. Stok untuk sepanjang Ramadan. 

Bukan main rancak lagi kami merancang, saya nak acar buah ikan talang, Bott ingin acar buah daging salai ... alih-alih malas hendak keluar cari bahan-bahan. Sudahnya acar ke mana kami pun ke mana.  Tertangguhlah projek acar buah kami.




Alhamdulillah, rupanya masih ada rezeki menikmati acar buah sepuasnya walaupun dah hujung-hujung Ramadan. 



Tadaaa!

Resepi Acar Buah Ikan Masin Talang


Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Campuran buah-buahan kering dan jeruk. Ikutlah hendak guna dan letak banyak mana. Lagi banyak, lagi pelbagai, lagi sedap.
  • Ikan masin. Kuantiti dan jenisnya juga terpulang pada kalian. Boleh gunakan ikan kurau, talang atau apa sahaja ikan masin yang ada. Saya guna ikan talang.
  • 10 ulas bawang putih (biarkan seulas begitu, tak perlu dihiris)
  • 3 sentimeter halia (dihiris nipis memanjang)
  • 1 senduk cili kisar/cili giling
  • segenggam kecil cili api
  • beberapa tangkai daun kari
  • 1 sudu kecil serbuk jintan manis
  • 1 sudu kecil serbuk jintan putih
  • 4 - 6 sudu besar cuka putih *
  • 4 sudu besar gula *
  • minyak masak secukupnya untuk menumis
(*) Tidak perlu guna kesemuanya. Bergantung kepada cita  rasa anda.


Bahan kisar:
  • 7 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3 sentimeter halia
  • sedikit air


Langkah-langkah Penyediaan:
  1. Potong ikan masin kepada beberapa bahagian dan basuh untuk menghilangkan sedikit kemasinannya. 
  2. Goreng ikan dan ketepikan.
  3. Sediakan pula sedikit minyak untuk menumis. Tumis daun kari hingga garing dan naik bau. Kemudian masukkan bahan yang dikisar, serbuk jintan manis dan jintan putih.
  4. Setelah itu, masukkan pula cili kisar/cili giling dan biarkan sehingga cilinya masak.
  5. Seterusnya, masukkan bawang putih, hirisan halia, cili api, cuka dan gula. Pandai-pandailah imbangkan rasanya. Untuk acar buah ikan masin ini, saya suka rasanya masam masam pedas. Jadi, tak guna banyak gula.
  6. Apabila sudah naik minyak acarnya, bolehlah dimasukkan buah-buahan kering, jeruk dan potongan ikan masin yang digoreng tadi. Gaul sekata. Sedia untuk dinikmati.

Selamat Mencuba!

6 ulasan:

  1. Selalu saya makan acar buah, rupanya ada juga acar buah campur ikan masin.

    BalasPadam
  2. Biasa makan acar dalam nasi minyak je kak farrah. Adoiii banyak betul saya tak tahu tentang dunia masakan ni :')

    BalasPadam
  3. Wah.. acar buah campur ikan masin.. pertama kali jumpa resepi ini.. menarik..

    BalasPadam
  4. uishhh ni pekena nasi panas mau tambah 4 pinggan hehehe

    BalasPadam
  5. Aidil Fitri yang lalu, Kak Amie buat banyak acar ikan masin. Kalau nak makan ambil sedikit. Sampai sekarang masih ada,dan elok lagi.

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.