Ini kisah malam tadi. Semasa kelas Tahun Dua, saya minta mereka baca petikan sebelum cuba jawab soalan yang diberi. Salah seorang murid saya, S, membaca dengan nada suara yang agak kuat sedangkan rakan-rakannya yang lain baca dalam hati. Kebetulan, S baru sahaja menyertai kelas saya awal bulan ini. Masih cuba menyesuaikan diri dengan cara kelas dijalankan. Saya pun tak ada masalah dengan S membaca sedemikian. Cuma rupa-rupanya ada murid cilik lain yang agak terganggu konsentrasinya.
D: S, bisinglah. Saya nak baca jadi tak faham. Baca dalam hatilah! Cikgu,....(mula nak mengadulah ni)
S: Dalam hati? Mana boleh baca dalam hati? (Pada masa ni saya dah mula merapati meja mereka tetapi hanya memerhati.)
D: Boleh je. Kitorang boleh! Awak sorang je baca kuat-kuat!
S: (Sambil memandang ke arah saya dengan muka risau-nak-menangis-takut-kena-hukum) Cikgu, saya tak tahu macam mana nak baca dalam hati....Hati kita ada mulut ke? Boleh ke baca dengan hati?
Saya pun ambil masa terangkan pada S konsep baca dalam hati yang sebenar. Saya jelaskan padanya mengapa dalam keadaan tertentu (seperti ketika menjalani peperiksaan) kita perlu membaca dengan perlahan tanpa mengeluarkan suara. Alhamdulillah, setelah diajar, S faham dan berjaya membaca dalam hati.
Usai kelas, murid-murid cilik akan bersalaman dengan saya sebelum bertebaran lari masuk kenderaan ibu bapa yang menjemput mereka. Tiba giliran S, S pegang tangan dan renung saya lama. Saya hairan.
"Kenapa S?"
Diam. Masih pandang saya. Kemudian, dengan senyuman manis dia beritahu saya,...
"Saya cakap 'terima kasih, cikgu', tetapi dalam hati."