Selasa, 30 Jun 2020

Kad Hari Lahir | Birthday Cards

Sepanjang tempoh berkurung di rumah, selain di dapur dan ruang menonton, (jadi couch potato marathon tengok TV shows back-to-back) masa saya banyak dihabiskan di dalam bilik kraf. Saya tulis jurnal, hias jurnal, buat scrapbook... masa terluang yang ada inilah digunakan untuk memory keeping. Selama ini, gambar dan barang-barang untuk scrapbooking makin hari makin menimbun saya lambakkan atas meja kerja. Terbiar begitu sahaja. Tak jumpa masa yang sesuai untuk duduk potong-potong, tampal-tampal dan hias-hias ni. 


Alang-alang dah kemas bilik kraf tu, saya buat inventori untuk kad-kad ucapan yang masih ada dalam simpanan saya. Selalunya, apabila selesai buat kad, saya masukkan je dalam kotak khas. Kali ini terlebih rajin. Saya susun ikut kategori. Senanglah nanti apabila perlukan kad ucapan, saya tahu mana yang sedia ada untuk digunakan, mana yang kena buat.


Di bawah ini, ada lima keping kad ucapan hari lahir. Apa yang buat saya puas hati sangat, kad-kad ini saya hasilkan menggunakan lebihan kertas-kertas yang ada. Lazimnya apabila saya buat kad, hias jurnal atau scrapbook, pasti akan ada jalur atau lebihan kertas-kertas bercorak yang berbaki. Semua itu akan saya simpan dalam kotak khas. Ada masa lapang, saya akan tengok balik cebisan-cebisan kertas tersebut dan cuba guna mana yang boleh untuk buat kad ucapan yang simple. Tak adalah membazir. Sayang tau kalau kertas cantik-cantik dibuang begitu sahaja.
 

Isnin, 29 Jun 2020

Resepi Ayam Goreng Mamak

Satu lagi resepi yang dicuba dalam tempoh PKP yang lalu. Baru sempat buat entri. Ayam goreng ala ala kedai mamak. Lama dah tak makan ayam goreng rangup versi kedai mamak. Asalnya, saya dan Bott tengok satu cerita Melayu ni. Ada scene makan-makan. Bukan main meriah betul lauk-pauk yang terhidang atas meja! Mulalah saya dan Bott terliur tengok. Terus rasa teringin nak makan itu ini...ayam madu...nasi kandar...kari ikan...ayam kicap.... Makanya, alang-alang dah mulut masing-masing sibuk buat senarai, kami pun merangka sekalilah nak cuba masak lauk apa nanti.

Dalam banyak-banyak hidangan yang kami masukkan dalam senarai menu, ayam goreng mamak menang untuk hari itu. Kebetulan, memang dah lama tak makan. Tak sukar pun nak sediakan hidangan ini cuma bahan perapannya agak banyaklah jika dibandingkan dengan penyediaan ayam goreng biasa. OK, jom tengok resepi.



Sabtu, 13 Jun 2020

Ice Blended Farm Fresh Cafe Latte

Saya memang suka akan produk-produk Farm Fresh. Dari susu segar, susu kurma, susu coklat, yogurt, soya sehinggalah ke cafe latte. Selalu yang ada stok di rumah on regular basis ialah susu segar atau skinny low fat milk untuk buat kopi dan overnight oat. Yang lain tu, beli secara berkala, ikut selera apabila teringin je.

Cafe latte ni Cekengah yang beri. Dia beli satu kotak, separuh untuk rumah dia manakala selebihnya untuk saya dan Bott. Punyalah happy saya ada kopi sejuk beratur dalam peti ais! Waktu cuaca panas atau menjelang petang apabila badan dah mula lemau, minum cafe latte sejuk ini memang boleh terus celik mata. Saya suka sebab rasa kopinya kuat. Tidak ditenggelamkan oleh susu.

Lama juga stok cafe latte bertahan dalam peti sejuk. Pandai berjimatlah konon-kononnya. Lagipun, selalu saya minum kopi panas untuk mulakan hari. Tetapi, ada satu hari ni tekak teringin nak something sejuk dingin gitu. Buka peti sejuk nampak cafe latte ni terus grab. Ambil ais sedikit, letak dalam smoothie blender, tadaaaaaaaa! Jadilah ice blended cafe latte.  

Ahad, 7 Jun 2020

Honey Butter Biscuits ala Texas Chicken

Bagi yang biasa makan Texas Chicken, pasti kalian familiar dengan honey butter biscuits kan? Saya memang jika sekali-sekala singgah makan di sana, tidak akan lupa pesan honey butter biscuits dan jalapeno poppers

Honey butter biscuits Texas Chicken ini jadi kegemaran ramai sebab rasa manis dan buttery yang sedang-sedang. Just nice dan tidak keterlaluan. Kombinasi rasa lemak mentega dan manis madu membuatkan biskut ini sedap dinikmati begitu sahaja. Dapat pula dicicah dengan minuman panas kegemaran kalian, lagilah berganda kelazatannya.

Ini antara resepi terawal yang saya cuba semasa PKP baru-baru dilaksanakan tiga bulan yang lalu. Waktu itu, memang asyik keluar masuk dapur je. Konon-kononnya nak menyesuaikan diri dengan fasa baharu kena kurung dalam rumah. Padahal selama ini kalau dapat peluang duduk memeram diri dekat rumah, sayalah yang paling happy! Setiap hari saya dan Bott akan cuba masak satu resepi yang kitorang teringin nak makan. Tak kiralah hidangan sarapan ke, lauk atau pencuci mulut. Resepi baharu atau yang dah pernah cuba sebelum ini. Biskut ini antara salah satu daripada projek satu resepi satu hari kamilah. Lagipun saya memang teringin sangat sebab dah lama tak makan.

Kebetulan bahan-bahan memang ada. Cara nak buat honey butter biscuits ini pun memang mudah. Batch pertama yang dibakar, glazed pakai madu dan mentega.  Batch kedua pula (lihat gambar di bawah), tanpa madu cuma guna sapuan mentega. Rupa parasnya kurang berkilat tetapi rasa tetap awesome. Biskut tanpa madu ini khusus untuk Bott sebab dia nak cicah dengan kopi panas. 


Khamis, 4 Jun 2020

Teringin Cucur Kembung Viral


Assalamu'alaikum. Entri pertama saya untuk bulan Jun setelah sebulan lebih tinggalkan blog. Memandangkan kita masih dalam bulan Syawal, rasanya tidak terlambat untuk saya ucapkan 'Selamat Hari Raya'. Maaf zahir dan batin andai ada salah silap saya sama ada yang disengajakan ataupun tidak terhadap kalian.

Apa khabar? Bagaimanakah sambutan hari raya kalian tahun ini? Masih dalam mood raya atau sudah kembali sibuk dengan rutin harian? Sempat juga saya intai perkongsian teman-teman di media sosial. Meskipun tahun ini kita sibuk menyesuaikan diri dengan norma baharu, alhamdulillah, Syawal tetap dirayakan meriah dengan cara masing-masing. Apapun saya doakan segala yang terbaik buat kalian semua.

Saya masih bekerja dari rumah sekarang ini. Faham-faham sahajalah apabila dah duduk rumah, lagi banyak makan dari buat kerja. Langkah ke dapur, buka peti sejuk, angkat tudung saji jadi makin kerap. Kalau dahulu biasanya makan dalam 2 - 4 meals sahaja sehari, sekarang ni sampai 5 - 6. Yelah, siap peruntukkan waktu untuk rehat pagi, fika, minum teh, snacking bagai...😝

Baru-baru ini, teringin nak makan cekodok. Tetapi, tak mahu cekodok biasa. Nak yang cucur kembung viral tu. Apa lagi, terus laju masuk dapur goreng cucur.


Inilah rupanya cucur kembung viral saya. Sedap makan panas-panas sambil lawan dengan kopi pekat. Tengah enjoy makan, tiba-tiba teringat pula kenangan dengan arwah abah. Dahulu petang-petang kami berdua akan pergi kedai naik motor semata-mata nak pergi beli produk Cucur Adabi. Lepas tu, baba akan goreng dan kami makan berdua sambil tengok TV. Rindunya momen-momen dahulu. Dah rindu datang menggamit, tekak ni pun gatal juga teringin nak Cucur Adabi. 

Malas nak keluar, si Bott beli kat Lazada je. Kebetulan masa tu hendak beli rempah kari dan beberapa produk Adabi yang lain. Senyum lebar saya sampai telinga dapat makan cucur Adabi. Maaf, tiada gambar yang dapat disertakan di sini. Dalam range produk Cucur Adabi, saya paling suka perasa udang. Perasa bilis dan lemak manis bagi saya biasa sahaja. Dahulu, seingat saya Adabi pernah keluarkan beberapa perasa cucur yang pelik seperti cucur keju. Pernah cuba, tak kena dengan selera saya. Dah discontinue lama pun produk tu.

Ada siapa-siapa di sini suka makan Cucur Adabi? Saya tengok di Instagram ramai yang kreatif olah pelbagai resepi guna tepung cucur ini. Kalian prefer perasa yang mana?

Selasa, 28 April 2020

Challenge Accepted - Cabaran Upcycle 2

Entri ini merupakan susulan kepada kisah saya sahut cabaran Bott untuk guna kad atau kertas terpakai yang berkepuk-kepuk dalam simpanan saya. Entri berkenaan di sini. Sayang kononnya sebab cantik. Hajat hati memang hendak guna semula untuk cardmaking atau hias scrapbook. Tetapi, tanpa saya sedar benda-benda terpakai yang saya kumpul semakin hari jadi semakin banyak dan saya tak guna semula pun! Alih-alih, setiap kali ingin buat projek kraf baharu yang meilbatkan kad atau scrap page...saya akan capai brand new sheets of cards or papers. Tak terfikir pun nak guna 'koleksi kertas cantik sayang nak buang' ni.


Jadi, semenjak kena cabar (lebih kepada ugut sebenarnya) oleh Bott, saya memang sedaya upaya guna apa yang boleh. Sambil perlahan-lahan cuba susutkan timbunan kertas dan kad terpakai, saya cuba cabar kreativiti diri supaya dapat hasilkan something nice. Sebelum ini saya dah tunjuk kad ucapan dan penanda buku yang diperbuat daripada katalog, sampul duit raya dan kad raya lama. This time more or less the same. 


#1 Kalendar meja KWSP


12 keping gambar pokok di atas asalnya table calendar KWSP. Tidak dapat dipastikan tahun berapa. Yang pasti, bukan tiga ke empat tahun lepas. Huhuhuh nampak tak ini antara benda-benda lama yang diperam dalam folders kertas terpakai saya. Comel kan gambar-gambarnya? Warna yang digunakan sweet dan cantik.

Saya ambil gambar-gambar tu untuk dijadikan hiasan muka hadapan kad ucapan saya. Lihat gambar di bawah.

Isnin, 27 April 2020

Damba CintaMu yang Sentuh Hati

Assalamu'alaikum.
Salam Ramadan ke - 4.

Sebelum tu, mari kita sama-sama baca doa Ramadan untuk hari ini.

Doa 4 Ramadhan

Yaa Allah! Berikanlah kekuatan kepadaku, untuk menegakkan perintah-perintah-MU, dan berilah aku manisnya berdzikir mengingati-MU. Berilah aku kekuatan untuk menunaikan syukur kepada-MU, dengan kemuliaan- MU. Dan jagalah aku dengan penjagaan-MU dan perlindungan-MU, Wahai dzat Yang Maha Melihat. 

_________________

Seawal pagi saya terima Whatsapp daripada M hantar satu pautan pada saya dengan message 'You will cry!'. Mula-mula malas nak layan sebab ingat dia hantar rakaman video yang dia buat dek kerana kebosanan terperangkap dalam rumah di negara seberang. Ada sahaja benda-benda pelik dan menyakitkan hati saya yang dihantar termasuklah gambar menu makanan sedap dari Bandung. So, I simply assumed yang ini satu lagi video makanan yang akan buat saya nangis. Caker goreng ke, nasi ayam bakar ke, nasi jamblang ke...tak ke menyakitkan hati tu!

Tapi, apabila check balik baru perasan itu link Youtube. Si M ni mana ada share video kat Youtube. Saya pun dalam mamai-mamai tu tekan. Mula-mula dengar orang baca Bismillah. Lepas tu Ya Rab! Ya Rab! Ya Rabbi Ya Rabbi! Terus celik mata! Dan beberapa minit lepas tu saya berjaya menepati ramalan si M. Saya nangis! Huhuhuhu

Kredit Imej

Saya nangis dengar lagu Damba Cintamu nyanyian Alif Satar dan kumpulan Raihan. Sayu. Menyentuh hati. Dahulu, lagu ini memang antara lagu kegemaran saya. Masa ni era kumpulan-kumpulan nasyid gah dengan pelbagai lagu ketuhanan yang mengusik jiwa.

Jumaat, 24 April 2020

Resepi Cheese Puff | Kouign-Amann Guna Puff Pastry

Salam 1 Ramadan!

Jom kita sama-sama baca doa 1 Ramadan dahulu.

Doa 1 Ramadhan
Ya Allah! Jadikanlah puasaku sebagai puasa orang yang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku sebagai ibadah orang yang benar-benar melakukan ibadah malam. Dan jagalah aku dari tidurnya orang-orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku. Wahai Tuhan sekalian alam! Dan ampunilah aku, Wahai Pengampun para pembuat dosa.

_______

Semalam mengemas peti sejuk dan freezer, baru perasan masih ada stok puff pastry. Dah lama saya tak bake, mujurlah puff pastry masih elok belum sampai tarikh luputnya. Personally, puff pastry ni memang antara benda yang saya akan beli secara berkala dan pastikan ada dalam inventori barang-barang dapur. Bukan apa, kalau tiba-tiba rasa craving nak makan pastri atau something sweet, tak ada idea untuk buat hidangan minum petang...bolehlah diusahakan sesuatu dengan adanya puff pastry. 

Di pasaran ada macam-macam bentuk dan jenis puff pastry - jenis square, jenis gulung...yang jenis blok pun ada. Boleh dapatkan di pasar raya atau kedai yang menjual bahan kek. Saya biasa beli jenama Kawan yang dalam bentuk empat segi kecil. Mudah, dah siap potong. Senang nak buat tuna puff atau sardine puff. Kalau nak buat pai atau cinnamon rolls baru beli yang jenis gulung. 

Alang-alang dah ada puff pastry, gali baliklah menu-menu ringkas guna puff pastry yang saya buat dahulu. Lagipun, sekarang saya sibuk merangka menu sahur dan berbuka untuk minggu pertama Ramadan. Kena plan betul-betul guna bahan apa yang ada di rumah. Kalau boleh nak elak kena keluar rumah untuk beli barang. 


Di bawah ini, saya kongsi semula beberapa menu ringkas dan sedap guna puff pastry. Bolehlah dijadikan hidangan pencuci mulut atau moreh untuk bulan Ramadan. Klik sahaja pada gambar yang berkenaan untuk ke entri resepi. Selain menggunakan ketuhar pembakar (oven) biasa, resepi-resepi di bawah juga boleh disediakan dengan menggunakan air fryer.


Cheese Puff
Penggemar keju pasti tidak akan tolak cheese puff ini. Sangat mudah untuk disediakan. Rasanya yumm yummm. Seketul dua memang tak cukuplah!

Khamis, 23 April 2020

Selamat Datang Ya Ramadan

Assalamu'alaikum semua.

Alhamdulillah, kita berpeluang untuk bertemu lagi dengan Ramadan tahun ini. Walaupun suasana menyambut ketibaan tetamu istimewa ini agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya, apa yang penting, kita cuba sedaya upaya untuk laksanakan ibadah-ibadah Ramadan dengan baik.

Ramadan pada fasa PKP ini akan catat pengalaman baharu buat kita semua. Perkara-perkara yang biasa dilakukan seperti berkunjung ke bazar, balik kampung berbuka dan bersahur bersama keluarga, iftar di luar, keluar shopping kuih dan baju raya....semuanya dah tak boleh buat seperti dahulu. Tak mengapa, kita sesuaikan diri dengan 'the new normal'. Kebiasaan baharu. In shaa Allah, semua akan baik-baik sahaja.


Memandangkan peluang bertemu keluarga, jiran-jiran dan sahabat agak terhad, sempena Ramadan ini saya dan keluarga buat Ramadan Gift Bags atau goodie packs dan hantar kurma sebagai tanda ingatan. Mula-mula dah nak batal dah projek kurma ni sebab saya lambat terima kurma untuk dibungkus.

Rabu, 22 April 2020

Explosion Box - The Best Day Ever

Assalamu'alaikum. Apa khabar hari ini? Sudah bersedia hendak menyambut Ramadan? Meskipun tahun ini kita tidak dapat mengalu-alukan kedatangan bulan penuh rahmat seperti tahun-tahun sebelumnya, tidak bermakna kita tidak boleh menghayati erti Ramadan. Memanglah berbeza...tetapi mana tahu, di sebalik semua yang berlaku, Ramadan 1441 merupakan Ramadan yang terbaik buat kita. Inshaa Allah. 

Hari ini, bersiaran dari bilik kraf, kita borak-borak tentang explosion box pula ye. Explosion box di sini bukanlah kotak yang meletup atau yang mengandungi sebarang bahan letupan. Sebenarnya, explosion box merupakan kad ucapan berbentuk kotak yang apabila penutup atas dibuka, sisi-sisi kotak akan collapse.  Itu jelah bahagian yang 'explode' sebenarnya.

Kad ucapan explosion box sangat istimewa kerana berciri 3D dan bersifat interaktif. Apa yang saya maksudkan interaktif di sini ialah si penerima kad akan berpeluang untuk belek-belek dan explore kad yang diterima kerana selain daripada gambar-gambar dan ucapan, setiap sisi kotak dihias dengan elemen-elemen kecil yang menarik seperti waterfall card, picture sliders, interactive wheels dan macam-macam lagi. Ini kalau ada rezeki dan kesempatan, saya akan tulis dalam entri yang lain ya.

Explosion box 'The Best Day' di bawah merupakan contoh explosion box yang paling simple. Hanya satu lapisan dengan hiasan sederhana. Kad ini saya buat untuk birthday Cekengah pada awal Mac yang lalu. 

Selasa, 21 April 2020

Kacang Kuda Sos Korea Adabi

Suka makan kacang kuda rebus tak? Kalau suka, apa kata cuba buat kacang kuda rebus guna sos korea Adabi. Ya, kita guna Sos Korea Adabi. Best! Asalnya saya sedang kemas-kemas stok barang masak di dapur. Jumpalah pek Sos Korea Adabi ni. Dah lama beli dah konon nak cuba buat ayam goreng korea tu. Tetapi, setiap kali nak masak ayam, pergi buat menu ayam lain pula. Ayam geprek la...ayam goreng mamak la...sudahnya terbiar sahaja pek sos ini dalam almari.

Kebetulan saya baru lepas rebus kacang kuda untuk snacking. Biasanya saya makan kacang kuda rebus begitu sahaja tanpa garam atau perasa lain kalau time gatal gigi nak mengunyah. Tidakpun, jika ingin ubah selera, saya tumis sedikit bawang dan daun kari, letak sedikit garam dan gaulkan kacang kuda yang telah direbus. Dahulu, masa kecil-kecil Cekebon selalu buat begini. Memang penuhlah mulut saya makan. 


Isnin, 20 April 2020

Layan Jiwang dengan Starbucks Parmesan and Dill Cashews

Saya ni jenis suka mengunyah. Mulut tak boleh nak rehat hahahah. Kalau menonton televisyen, buat kerja di hadapan komputer atau sekadar duduk-duduk rehat di ruang tamu, mesti nak kena ada sesuatu untuk dimakan. 

Inilah tabiat tidak sihat saya yang sukar dikikis sejak dahulu. Asyik 'gatal gigi' sepanjang masa! Dahulu stok kerepek, kacang, maruku dan potato chips (macam-macam jenama dan perasa) memang sentiasa ada dekat rumah. Dah tua nilah baru rasa insaf sedikit, tak sampai hati nak aniaya tubuh sendiri lagi. Jadi, perlahan-lahan ubah kepada snek dan makanan 'kunyah-kunyah' yang lebih sihat, pilihan yang lebih berakal konon-kononnya. Tidaklah junk food semata!

Hari ini nak kongsi salah satu snek kunyah-kunyah kegemaran saya - Starbucks Parmesan and Dill Cashews. Sekali rasa terus jatuh cinta! Sedapnya! Gajus yang diperasakan dengan keju parmesan dan herba dill memang kombinasi terbaik! Cukup rasa lemak, masin berempah semua. Sebelum ini saya agak skeptikal dengan herba dill ni. Tak sangka saya suka rasanya. 

Starbucks Parmesan and Dill Cashews ini memang tak boleh bajet nak makan satu genggam kecil je. Lupakanlah andai punya hasrat konon-konon nak makan/snacking ikut portion. Tahu-tahu tanpa sedar boleh habis satu bungkus terus! 


Starbucks Parmesan and Dill Cashews.

Rabu, 15 April 2020

Tips Pilih Cili Benggala

Capsicum. Cili benggala. Lada benggala. Lada besar. Bell pepper. Pelbagai nama untuk sayur yang satu ini. Hari ini saya ingin kongsi tips bagaimana untuk pilih lada benggala. Nak sediakan hidangan enak penuh kasih sayang, bahan-bahannya mestilah yang terbaik kan?

OK, seperti yang kita sedia maklum, lada benggala di pasaran ada beberapa warna - hijau, kuning, oren dan merah. Ada beza ke sebenarnya? Bolehkah kita guna mana-mana lada benggala atau ada hidangan yang memerlukan penggunaan warna tertentu?

Kredit imej
Terdapat pihak yang mengatakan semua lada benggala sama. Maknanya datang dari satu sumber, pokok atau spesies yang sama. Berlaku perbezaan warna disebabkan lada benggala itu dipetik pada tahap kematangan yang berbeza. Lada benggala hijau belum cukup matang. Apabila dah matang sedikit jadi kuning, diikuti oren dan merah apabila lada benar-benar masak.

Hakikatnya, pandangan ini kurang tepat. Bukan semua lada benggala datang dari satu sumber yang sama. Ada lada benggala yang dari awal pertumbuhan berwarna kuning atau merah dan kekal dengan warna berkenaan walaupun sudah matang. 

Cuma kadangkala ada kemungkinan lada benggala hijau yang kita beli itu sebenarnya lada benggala merah yang belum cukup masak. Macam beli cili hijaulah. Pernah tak kalian beli cili hijau dan perasan yang rasanya agak pedas berbanding cili hijau yang biasa dibeli? Atau setelah beberapa ketika, cili hijau yang disimpan bertukar menjadi cili merah? Saya biasa terkena bab beli cili hijau tetapi sebenarnya cili merah ni 😅


Tips #1 - Warna dan Rasa

Ada perbezaan rasa (walaupun tidak begitu ketara) untuk setiap lada benggala yang berlainan warna.
  • Hijau - Lada benggalanya agak bitter. Kita dapat rasa the bitterness kat hujung-hujung lidah. Tetapi, yang warna hijau agak crunchy berbanding yang lain. Saya selalu guna untuk salad dan buat sandwic. Ada kalanya, saya guna untuk masak nasi goreng Cina.
  • Kuning dan oren - Fruity taste, less bitter than the green one. 
  • Merah - Paling flavourful dan manis. Lada benggala merahlah yang paling sedap kalau kita gril dan masukkan dalam salad atau hidangan BBQ.

Oleh itu, jika kalian suka lada benggala yang manis manis, jangan beli yang hijau. Kalau inginkan hidangan kalian nampak lebih menyelerakan penuh dengan pelbagai warna, gabungkan penggunaan beberapa lada benggala. Bayangkan buat cekodok letak lada benggala hijau, kuning dan merah. Colourful tempting cekodok gitu!

Jumaat, 10 April 2020

Resepi Mudah - Piza Terung yang Sihat dan Sedap

*Resepi mudah ini boleh dimasak menggunakan air fryer, ketuhar gelombang mikro dan oven biasa. Masa memasak perlu dilaraskan mengikut kesesuaian.

Pernah dengar piza terung? Ya, kalian tak salah. Saya memang cerita tentang piza yang diperbuat daripada terung. Ini merupakan salah satu olahan piza untuk pilihan yang lebih sihat. Kita tidak guna doh piza seperti biasa sebaliknya isi terung yang akan jadi base untuk piza. Rendah kalori berbanding piza. Usah bimbang, rasanya tetap awesome.

Bagi yang sedang berdiet, kawal makan... tiba-tiba teringin nak makan piza, bolehlah cuba buat resepi ini to satisfy your craving. Failproof (confirm jadi punya) dan rasanya dijamin puas hati. Selain itu, emak-emak yang struggle nak ajar anak makan sayur, apa kata umpan mereka dengan piza terung ini. Selitlah potongan-potongan kecil brokoli atau lobak merah sekali.



Tengok ni piza terung saya. Terliur tak?

OK, jom kita tengok resepi. Bahan-bahan yang digunakan boleh diubah suai mengikut selera kalian. Lately, saya memang ambil kira berapa kalori makanan yang masuk tubuh. Jadi, bahan-bahan yang saya gunakan seboleh-bolehnya rendah kalori, rendah gula dan garam. Tetapi, andai kata ada bahan tertentu yang tiada dalam pantri kalian, tukar je ikut kesesuaian. Misalnya, saya guna keju keping Bega Super Slim. Kalian boleh sahaja guna keju jenama lain seperti Anchor atau Mother's Choice. Ingin guna keju parut pun tiada masalah. Kita yang buat kan....


Resepi Piza Terung (Saiz Hidangan - 2 orang)

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 2 biji terung bersaiz sederhana besar
  • 1 ketul tauhu dipotong dadu. Kalian boleh tukar dengan daging cincang, hirisan ayam atau hirisan sosej. 
  • 1 biji bawang besar dimayang
  • 1 biji tomato dipotong dadu
  • 3 - 4 keping keju Bega Super Slim
  • 2 - 3 tangkai cili api. Saya dan Bott, makan piza pun nak kena pedas!
  • Sedikit sos tomato/sos cili 
  • Sedikit taburan herba oregano dan parsley kering. (Tak guna pun tak apa)

Khamis, 9 April 2020

Kuih Tepung Bunga untuk Minum Petang

Tercari-cari idea hendak buat kuih apa untuk hidangan minum petang? Apa kata cuba buat kuih tepung bunga. Kuih ini kuih tradisional dari Pantai Timur. Ada banyak versi resepi kuih ini. Bahan utamanya ialah tepung pulut. Kemudian, kita boleh pilih sama ada ingin guna santan ataupun tidak. Jika guna santan, rasa kuihnya berlemaklah sedikit.

Dinamakan tepung bunga sebab rupa dan tekstur kuih semasa digoreng. Kita akan celup adunan yang telah digentel ke dalam telur barulah goreng di dalam minyak panas. Macam kita goreng bergedel lah. Apabila kena minyak panas, telur yang salut adunan tu akan mengembang macam bentuk bunga.  Dari situlah asal usul nama 'tepung bunga'.

Resepi di bawah versi yang menggunakan santan. Jika tidak mahu pakai santan, bancuh tepung guna air sahaja. 


Resepi Mudah - Kuih Tepung Bunga


Rabu, 8 April 2020

Paddington Bear tapi Dog

Tengah layan bosan scroll instgram, tiba-tiba lalulah makhluk comel ini menyapa pandangan mata. Alahai, apahal comel sangat ini! Teruja pula apabila lihat anjing ini dipakaikan persalinan seperti si Paddington Bear. Terus sengih-sengih saya seorang diri.




Dahulu saya tidaklah minat sangat Paddington Bear ni. Tak tengok pun kartunnya. Cuma zaman di kampus, kalau jumpa fail keras yang ada gambar Paddington Bear saya akan beli untuk simpan nota. Suka tengok karakter beruang ni dengan topi merah dan kot labuh berwarna biru. Sangatlah comel!

Selasa, 7 April 2020

Planner Accessories - Klip Kertas Berhias dan Penanda Buku Bermagnet

Ada sesiapa di sini yang suka hias jurnal atau planner? Bagi yang gemar dan aktif hias jurnal atau planner, apa aksesori planner yang kalian suka letak/sisip pada lembaran muka surat? Kebiasaannya, saya tiada aksesori yang tertentu. Ikut angin. Tak pun ikut tema halaman yang saya hias. Antara planner accessories yang saya biasa guna ialah page borders, page markers/magnetic bookmarks, decorative paperclips dan decorative tussels.

Di bawah ini planner accessories yang saya buat sendiri guna kertas bercorak, klip kertas, reben, pelekat dan adhesive diamentes. Saya buat beberapa set. Sebahagian saya simpan untuk kegunaan sendiri manakala selebihnya saya jual di Carousell. 


Set pertama ini lima klip kertas berhias (decorative paperclips). Secara peribadi, saya suka gabungan warna ungu dan kuning untuk set ini. Rekaan bunganya comel dan sedikit kebudak-budakan. Sesuai dijadikan penyeri planner atau jurnal peribadi.


Jumaat, 3 April 2020

Resepi Kek Coklat Kurma Dalam Mug 2 Minit

Ini memang dianggap resepi PKP. One of my go - to recipes saat saya tiba-tiba teringin nak makan kek atau sesuatu yang manis. Apa yang menariknya, kek ni ambil masa kurang daripada lima minit untuk disediakan. Dua minit untuk siapkan bahan-bahan dan sukat apa yang perlu. 30 saat untuk kacau adunan manakala antara satu hingga satu minit setengah untuk masak di dalam ketuhar gelombang mikro.

Kek coklat dalam mug saya ini ada perasa kurma. Cuba untuk kurangkan penggunaan gula dan berharap versi kek saya ini guilt-free (yang mana saya boleh nikmati tanpa rasa bersalah), saya guna kurma. Jadi, rasa manis kek coklat saya hanya daripada manis buah kurma. Beberapa biji kurma saya rendam dalam 1 - 2 sudu besar air panas untuk lembutkan isinya, kemudian saya lenyek-lenyek supaya menjadi pes kurma. Jika tidak mahu guna pes kurma, kalian boleh sahaja guna gula biasa, gula perang, madu atau sirap mapel. Ikut kesukaan masing-masing ye.

Lagi satu, tepung saya guna tepung badam. Tiada tepung badam? Guna tepung gandum biasa pun boleh.

Kord Gitar Sembah - Naim Daniel (Easy Chords)

Sudah lama saya tidak buat entri kord gitar. Sibuk dengan tugas harian, beberapa bulan gitar saya tersadai kumpul habuk di tepi almari. Tali pun dah berkarat, bunyi semua lari lintang-pukang. 😁 Belakangan ini baru ada masa untuk kembali ringankan tangan lembutkan jari-jemari yang dah kejung untuk petik si Kapok. 

Masih menerima banyak e-mel permintaan daripada adik-adik yang ingin chords mudah untuk lagu-lagu kegemaran mereka, mohon maaf andai tidak semua permintaan kalian dapat akak tunaikan. Berpinar juga mata akak dibuatnya - macam-macam requests, macam-macam genre lagu. Lagu yang akak tak pernah dengar pun ada. Mana lagu yang akak suka, rasa best dan kord mudahnya belum ada lagi di mana-mana laman web atau blog, akak utamakan. Sebab kalau dah melata guitar chordsnya ada di internet, buat apa nak buat lagi kan? Kalian Google jelah guitar chords lagu tu dan pilih versi mana yang berkenan.

OK, yang ini guitar chords Sembah, nyanyian Naim Daniel. The easiest version. Versi paling mudah! Selamat berdendang!



Kord Gitar Sembah - Naim Daniel (Easy Guitar Chords)
OST Ironi Cinta, TV3

Em

Em                               Am
Luka kerna dusta yang kau berikan
C
cinta yang dah tak lagi
B7
seindah kisah kita


Em                               Am
Luka kerna dusta yang kau sembahkan
C
aku kini jatuh dalam
B7
kehampaan


Am-B7-Em-D
Mengapaku setia pada kasih
C
tak ku punya
B7
tak ku punya

Khamis, 2 April 2020

Spageti Goreng Guna Perencah Mee Goreng Adabi

Assalamu'alaikum.

Hari ini saya nak kongsi resepi mudah spageti goreng menggunakan perencah Mee Goreng Adabi. Perencah Mee Goreng Adabi memang antara produk Adabi yang saya suka.  Didatangkan dalam pilihan dua pek 60g dan 120g, perencah ini kena dengan selera saya. Selalu kalau pergi shopping barang dapur dan jumpa perencah ini, memang saya beli dua tiga pek. Simpan buat stok. Lagi-lagi dalam fasa 'duduk rumah baik-baik' sepanjang PKP ini, perut kerap meronta lapar minta diisi. Perencah ini bakal memudahkan kerja. Tak perlu susah payah nak tumbuk bawang merah, bawang putih, cili bagai. Cepat sedikit makanan siap.


Spageti goreng ini versi paling mudah. Saya guna telur. Jika kalian nak guna ayam, daging cincang, bebola ikan, fish cake atau seafood, silakan ikut selera masing-masing ye. Berlipat gandalah keenakannya nanti.



Resepi Spageti Goreng Mudah (Saiz Hidangan - 2 - 3 orang)


Bahan-bahan yang Diperlukan:
  • 1/2 pek spageti. Hendak guna pasta lain seperti angelhair, fettuccine, macaroni atau fussili pun tidak jadi masalah. Rebus, tus dan ketepikan.
  • 1 pek Perencah Mee Goreng Adabi 60g
  • 2 tangkai cili hijau, dihiris. Kalau suka pedas boleh masukkan hirisan cili api juga.
  • 1/2 batang lobak merah dihiris memanjang
  • 2 biji telur
  • 1 - 2 biji tomato, belah 6 
  • 1 sudu besar sos tiram/kicap manis (Pilihan untuk tambahkan rasa. Kadang-kadang saya letak, kadang-kadang tidak.)
  • 1 sudu besar minyak masak untuk menumis.
  • Secubit garam
  • Sedikit chilli flakes

Rabu, 1 April 2020

Twist and Turn Card

Kali ini saya ingin tunjuk dua contoh 'twist and turn card' yang telah saya buat beberapa bulan yang lalu. Asyik bertangguh, baru hari ini dapat muat naik dan kongsi di blog. Sekeping kad tahniah untuk graduation/convocation manakala sekeping lagi kad ucap Selamat Hari Lahir. Kenapa kad ini dipanggil 'twist and turn card'? Dari luar, kad ini biasa sahaja. Tidak ada beza dengan kad ucapan lain. Cuma apabila kita buka, ada panel berlipat pada bahagian dalam kad yang akan berpusing dan paparkan sentimen/ucapan. Selain dipanggil 'twist and turn card', kad jenis ini turut dipanggil sebagai pivot card.

Ini kad tahniah untuk graduasi yang saya buat. Bahagian hadapan cuma mortar board yang dilambung ke udara. Mortar board tu saya guna foam tape untuk dapatkan efek timbul. Awan-awan comel dipotong menggunakan dies awan yang saya beli di LAZADA. Lihat entri mengenainya di sini.

Selasa, 31 Mac 2020

My To Be Done...Kosong

Diam tak diam, kita dah berjaya harungi fasa PKP yang pertama (walaupun ukuran kejayaan tu quite questionable dengan segelintir masyarakat yang yakin kebal dan seronok jadi rebels). Sangat-sangat berharap semua ini berakhir dengan cepat. Berakhir dengan baik. Ramadan dah nak menjelma. Mudah-mudahan kita dapat sambut ketibaan tetamu mulia ini dengan suasana seperti dahulu.

Hari ini saya mulakan hari dengan gelak besar apabila tengok planner saya. Di bawah ini, lembaran planner saya, bahagian 'To Be Done' untuk sepanjang minggu. KOSONG! Selalunya hari-hari biasa, kalau tidak banyak, adalah sebaris dua peringatan untuk siapkan kerja ini dan kerja itu. Kali ini benar-benar kosong. Sampai saya kena panggil Bott untuk clarify betul ke minggu ini saya tak ada sebarang kerja atau komitmen yang perlu dilunaskan. 



Memang tidak ada. Happy memanglah happy. Pada masa yang sama, terlintas juga di fikiran. Untuk orang yang bekerja sendiri seperti saya ni, kalau keadaan sebegini berterusan, terjejas juga hidup dibuatnya.

Tak apa. Kita tenang dulu. Harap keadaan akan jadi bertambah baik. Serah dan yakin pada Allah. Sebenarnya apa yang menimpa kita sekarang banyak bawa hikmah dan pengajaran. Kalau selalu kita terkejar-kejar, sekarang kita ada ruang masa untuk bertenang. Kalau selama ini kita asyik dakwa tidak cukup masa, sekarang kita ada banyak masa untuk dimanfaatkan sebaiknya. Kalau selama ini kita bazir wang, bazir makanan, sekarang kita dah pandai bercatu itu ini. Kan besar hikmahnya tu :)

Resepi Overnight Oat - Cita Rasa Tropika

Ini salah satu resepi overnight oat kegemaran saya. Gabungan nanas, betik, goji red berries dan shredded coconut (parutan isi kelapa). Cita rasa tropika gitu! Cuma yang di dalam gambar di bawah, tiada hirisan betik. Betik habis. Shredded coconut pula ambil keputusan untuk bersembunyi di balik susu. Jadi, tidak nampak langsung kelibatnya. 😅



Resepi Overnight Oat - Cita Rasa Tropika


Bahan-bahan yang diperlukan:
  • hirisan nanas secukupnya ikut selera
  • hirisan betik secukupnya ikut selera
  • 5 - 7 biji goji red berries (Beri ini sangat elok untuk mata.) Saya selalu dapatkan versi beri yang sudah dikeringkan macam kismis. 
  • 40 gram rolled oat (Kuantiti oat yang hendak digunakan bergantung kepada kalian. Anggaran antara 35 - 50 gram untuk satu portion hidangan. Jika hendak letak yogurt dan lebih banyak buah, bolehlah oat dikurangkan kepada 35 gram. Atau jika inginkan portion yang lebih mengenyangkan, letak 50 gram.)
  • 100 - 120 gram susu segar
  • 1 sudu teh madu/ 1 sudu teh sirap mapel atau 1 sudu besar yogurt (optional). Sekarang ini, saya lebih suka untuk tidak menggunakan sebarang pemanis dalam overnight oat saya. Hanya bergantung pada manis buah-buahan dan susu sahaja.
  • secubit serbuk kayu manis

Jumaat, 27 Mac 2020

Cara Berkesan Bersihkan Kesan Karat

Assalamu'alaikum. Apa khabar semua? Harap kalian baik-baik sahaja sepanjang tempoh PKP ini. Bagi yang perlu bekerja, selamat bertugas. Be safe. Bagi yang #stayathome di rumah, harap kalian dapat manfaatkan masa yang ada ini dengan bijak. 

Hari ke-10 PKP barulah sempat menjengah blog. Itu pun punyalah paksa diri untuk buka laptop. Sebenarnya, sebelum bermula PKP lagi, saya sudah bercuti sejak awal Mac. Cuti mengada-mengada kononnya untuk rehatkan diri dan minda. Tak sangka memang betul-betul cuti panjang!

Dah duduk rumah tu, macam-macamlah yang dapat dibuat. Kemas ini, susun itu, punggah sana, korek sini. Memang masa yang terluang terisi dengan macam-macam aktiviti. Dua tiga hari ini sibuk mengemas peralatan baking di dapur.

Dalam sibuk mengemas, jumpalah beberapa barang yang dah berkarat macam tiered serving tray, loyang, cutleries yang masih boleh digunakan lagi. Sayang nak buang. Lagipun, sebenarnya ada cara untuk kita hilangkan atau buang kesan karat ni. Nak tahu? Jom saya tunjukkan.

OK, di bawah ini termometer oven yang berkarat sedikit di bahagian atas. Sebenarnya, saya hendak guna tiered serving tray untuk demo tips ini sebab karatnya lagi teruk dan ketara. Tetapi, permukaan tray tu berkilat sangat. Apabila ambil gambar, lagi banyak nampak reflection saya daripada kesan karatnya. 😅 Jadi, kita pakai termometer oven ni sahajalah ya.



Rabu, 19 Februari 2020

Rub-On Stickers untuk Kraf dan Journal

Hari ini saya hendak tunjuk sebahagian daripada koleksi rub-on stickers yang saya beli di Mr. DIY. Punyalah excited semasa jumpa pek pelekat rub-on ni! Okay, sebelum tu, bagi yang kurang jelas, pelekat jenis rub-on ni bukan macam pelekat biasa yang kita peel dan tampal. Yang ini, kita kena gosok bahagian atas pelekat guna batang aiskrim atau syiling sehingga cetakan pelekat tu berpindah sepenuhnya pada permukaan kad atau kertas yang kita hias.

Di Mr. DIY ada dua pek rub-on stickers. Setiap pek mengandungi empat keping dan setiap keping ada banyak pelekat dengan sentimen (wordings and quotes yang menarik). Tengoklah gambar di bawah. Meriah kan?!


Rata-rata setiap keping rub-on sheet ini ada sekurang-kurangnya 20 pelekat yang berbeza. Macam-macam saiz, rekaan dan jenis font. Cantik-cantik pula tu! Rambang mata saya dibuatnya! Beratur-atur projek kraf yang terbayang dalam kepala yang boleh dibuat menggunakan pelekat-pelekat ini semua.

Selasa, 11 Februari 2020

Resepi Kerabu Kedondong

Ini antara entri resepi peram saya. Buat resepi ni tahun lepas, baru sekarang dapat terbit sebagai entri. Susulan beli Kedondong Reduced to Clear dari Tesco (maaf, ini juga kisah 2019), banyak jugalah resepi berasaskan kedondong yang saya olah untuk santapan diri dan keluarga. Antaranya ialah kerabu kedondong.


Beginilah rupa paras kerabu kedondong saya.


Resepi Kerabu Kedondong

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 6-8 biji buah kedondong (isi dihiris memanjang). Jika nak guna lebih banyak pun boleh.
  • beberapa biji bawang merah atau sebiji bawang holland (dihiris halus) 
  • segenggam kecil ikan bilis (disangrai/disangai - goreng tanpa minyak). Kalau nak goreng seperti biasa dengan minyak pun boleh, asalkan ikan bilis tu garing.
  • beberapa helai daun limau (dihiris halus)
  • 2 batang serai (dihiris halus)
  • air perahan limau kasturi (secukupnya)
  • garam secukup rasa

Khamis, 30 Januari 2020

Menang BookDoc Weekly Mystery Gift

Kisah tahun lepas lagi. Siapa di sini guna aplikasi BookDoc? Saya sudah guna aplikasi kesihatan ini beberapa tahun dah. Itupun Cekengah yang sarankan untuk guna supaya dapat keep track of daily steps saya. Aplikasi BookDoc ini antara aplikasi kesihatan yang sangat bermanfaat. Ingin tahu lebih lanjut? cubalah muat turun ye.

Salah satu ciri utama BookDoc ialah BookDoc Activ. Kita boleh sync dengan fitness watch atau fitness app yang lain jumlah tapak harian kita. Di penghujung bulan, andai kita dapat capai target tapak yang ditetapkan, kita boleh tebus pelbagai rewards. Misalnya potongan diskaun untuk pembelian di Secret Recipe, MPH, Caring Pharmacy, Komugi dan banyak lagilah. Macam-macam rewards ada!

Selain itu, setiap minggu, BookDoc akan pilih Mystery Gift Winners. Gembiranya saya apabila dihubungi oleh pihak BookDoc.



Kord Gitar Seadanya Aku - Ippo Hafiz (Easy Chords)

Sebenarnya sudah lama saya tidak memetik gitar. Jika di rumah, saban hari lalu-lalang depan Si Kapok pun, saya tak sempat pandang. Apa lagi pasang niat nak duduk santai main gitar. Kejung kaku Si Kapok di atas guitar stand, mengumpul habuk dan debu. Sehinggalah petang kelmarin, tiba-tiba gitar saya berbunyi. Terkejut juga saya! Toleh-toleh, nampak kelibat ekor si Yuri bergegas meninggalkan tempat kejadian. Ada cicak lagi ke masuk dalam lubang gitar tu? 

Dalam pada malas nak bergerak, saya pun pergi periksa Si Kapok. Bayangkanlah, betapa Si Kapok dah menghimpun debu inci demi inci, ada bekas libasan ekor Si Yuri atas body gitar saya! Jadi tadi yang saya dengar tu, si Yuri strum gitar pakai ekor ke apa? Alahai, tak boleh jadi ni! Saya pun ambillah Si Kapok, lap body, tune balik tali dan tiba-tiba ada feel nak main lagu baharu.

Lagu apa? Sekarang ini, kebetulan saya sedang ikut drama 'Seadanya Aku', lakonan Zya Zara di TV3. Maka, terngiang-ngianglah lagu si Ippo Hafiz, tajuknya juga 'Seadanya Aku' yang menjadi OST untuk drama tersebut.


Siapa tengok drama ini? Secara peribadi, jika disuruh buat pilihan, kalian akan sokong Fiya ke Wina?


Kord gitar di bawah, seperti biasa telah di-transposed ke kord lebih mudah. Selamat berdendang! Enjoy!


Kord Gitar dan Lirik Lagu Seadanya Aku - Ippo Hafiz (Easy Chords)
OST Drama Seadanya Aku



[Intro]

Dm G C F
Dm G


Am        Dm
Ternyata inikah suratan
G                  C
takdirku temukan dirimu
F                          Dm
senafas mungkin bisa terlepas
                E                   Am
namun cintaku tetap bersamamu

Rabu, 29 Januari 2020

Puisi Padam | Blackout Poetry

Pernah dengar puisi padam? Blackout poetry? Well, puisi padam atau blackout poetry ini satu seni puisi yang terhasil daripada tindakan kita memilih perkataan-perkataan tertentu daripada satu halaman buku dan menyisih atau memadamkan perkataan yang selebihnya. Perkataan-perkataan yang tinggal (tidak dipadamkan) akan membentuk sebuah puisi.

Contoh seperti di bawah:


A flawless sky
sunk in the sand
a mind clouded with 
shooting flames.


Selasa, 28 Januari 2020

Vit's Ramen Mi Kuning Rendah Kalori

Assalamualaikum.
Alahai, bulan Januari dah nak habis baru sempat jengah blog dan buat entri pertama untuk 2020! Belakangan ini terlalu sibuk dengan urusan dunia nyata hinggakan tidak ada masa untuk menulis di sini. Makin hari makin sendu tower saya ni....

OK, siapa suka makan mi kuning? Tidak kisahlah apa hidangan pun... mi rebus, mi goreng basah, mi goreng mamak, mi kari...kalau kena gaya resepinya memang boleh makan bertambah-tambah. Tetapi, bagi yang jaga pengambilan kalori harian, mi kuning ini antara a big NO. Kalau nak makan pun, kena ambil dalam portion yang sedikit sahaja. Tak bolehlah enjoy makan sesedap rasa.

Bagi yang masih nak menikmati mi kuning dengan pilihan yang lebih sihat, bolehlah cuba Vit's Ramen Mi Kuning Rendah Kalori.