Memaparkan catatan dengan label Resepi Nasi Goreng. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Resepi Nasi Goreng. Papar semua catatan

Selasa, Januari 25, 2022

Nasi Goreng Sardin Tak Cukup Sepinggan

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Lama juga saya tidak bersiaran di blog ini. Sebenarnya, minggu lepas pergi cuti-cuti. Kononnya nak berehat. Cuti dekat-dekat sini je. Tak ke mana pun. Duduk di dalam bilik, baca novel, layan filem dan TV shows, cukup waktu turun pergi makan, jalan-jalan ambil angin, mengopi, ulang. Tak fikir pasal kerja, tak fikir pasal blog. Bila masuk tower, boleh buat-buat terkejut pula, "Lamanya aku tak masuk blog?" 😂

Cerita cuti-cuti cerita lain kalilah. Hari ini cerita tentang nasi goreng sardin yang sedap, menyelerakan sehingga makan bertambah-tambah. Tak cukup kalau cuma sepinggan. Hahaha ayat bukan main lagi! Saya yang masak, kalau tak sedap pun kena mengaku sedap juga. Kira masuk bakul angkat sendirilah ni.

Ala, dah nama pun lauk sardin, apa yang tak sedapnya, kan? Buatlah hidangan apa sekali pun, sandwic, gulai, pasta, nasi goreng ... asal ada sardin mesti laku.

Buka peti sejuk, ada dua tiga ketul ikan sardin lebihan sambal sardin lauk semalam. Masa untuk nasi goreng sardin! Saya memang gemar nasi goreng. Rasa-rasa malas fikir hendak masak apa, nasi goreng jadi pilihan utama. Pelbagai olahan nasi goreng boleh disediakan hanya dengan menggunakan bahan yang minima. Campak-campak pun jadi!


Nasi Goreng Sardin

Rabu, Oktober 13, 2021

Nasi Goreng Kicap Sotong

Semalam, di rumah ni, dari orang sampailah ke kucing semua tak ada mood. Lemau sepanjang hari. Jadi, apabila perut lapar, kami putuskan untuk masak nasi goreng sahaja. Senang. Nasi goreng apa? Bott ingin nasi goreng kicap sotong. Saya tidak kisah. ON sahaja. Janji perut berisi.

Bagi yang kurang jelas, kicap sotong ini bukanlah kicap yang diperbuat daripada sotong atau dakwat sotong. Sebenarnya kicap sotong ialah sos ikan yang sering digunakan dalam masakan Thai. Ada satu jenama popular dengan gambar sotong pada label pembungkusannya. Itu yang jadi kicap sotong.

Dalam erti kata lain, nasi goreng kicap sotong ni nasi goreng asas yang selalu kedai/restoran Thai jadikan base untuk hidangan nasi goreng mereka. Jika pesan nasi goreng ayam, paprik atau Pattaya, nasi goreng pakai resepi ini, kemudian ditambahlah ayam, telur dan lauk paprik.

Nasi goreng kicap sotong kami. Protein saya guna isi ayam manakala sayurnya, kailan. 

Isnin, Jun 28, 2021

Nasi Goreng Petai dan Mangga

Kadangkala apabila rasa macam malas atau tiada idea hendak masak apa untuk makan malam, saya akan buat nasi goreng. Mudah sebab tak perlu fikir banyak. Buka peti ais, tengok bahan apa yang ada untuk dijadikan ramuan nasi goreng.

Kali ini saya buat nasi goreng petai. Kebetulan masih ada stok petai di dalam peti dingin beku. Kami di rumah ni memang suka makan petai. Belum pun siap masak, masing-masing dah teruja hendak makan nasi goreng apabila memikirkan petai sebagai hidangan. 🤤


Isnin, Mei 31, 2021

Nasi Goreng Ikan dan Gajus

Asalnya, hajat hati hendak buat nasi goreng nanas. Entah mengapa tekak teringin makan hidangan nasi goreng Thai ini.  Dah lama tak makan kot. Waktu mula hendak ‘berkencak’ di dapur, baru perasan macam ada bahan yang tidak cukup.

Guess what? Nanas! Nanas tak ada! Bising mulut saya mencari nanas. Rupanya nanas masih di kedai lagi. Masa inilah jelas terbayang tindakan saya pilih-pilih nanas … angkat … letak … angkat letak … tiba-tiba nampak jambu batu, saya tinggalkan sahaja nanas saya di situ. Tak bawa pergi timbang dan bayar pun. 😅

Scratch the plan. Tak ada rezeki. Kena buat nasi goreng lain. Buka peti ais, kebetulan ada lebihan lauk ikan kukus. Kita buat nasi goreng ikan dengan sentuhan ala Thai. Maka, terhasillah nasi goreng ikan dan gajus.


Untuk menyediakan hidangan nasi goreng ini, hanya perlu perisikan ikan yang telah direbus, dikukus atau digoreng. Macam saya cerita tadi, ikan yang saya guna ikan lebihan lauk semalam. Jadi, dah jimat satu langkah di situ. Saya hanya cincang halus beberapa ulas bawang putih dan sedikit parutan halia sebagai ramuan tumis. Halia saya simpan di peti dingin beku. Saya parut setiap kali hendak guna. Lebih mudah. Lihat cara menyimpan halia agar tahan lebih lama di sini.

Ahad, April 18, 2021

Menu Sahur - Nasi Goreng Jagung Manis

Salam Ramadan ke - 6.

Entah mengapa, pagi tadi liat sangat hendak bangun sahur. Mata ni ibarat ditampal dengan gam! Intai jam, cakap lima minit lagilah. Intai lagi, lima minit lagi. Adalah dalam dua puluh lima minit tangguh waktu bangun.

Dalam pada mata berat tak mahu buka tu, gagahkan diri juga masuk dapur. Saya memang jenis kena sahur makanan berat. Kalau tidak, belum setengah hari dah menggeletar lapar. Buka peti sejuk tengok apa yang ada untuk dimakan. Kebetulan ada nasi lebihan semalam. Ada kobis. Ada pula jagung manis pemberian orang yang saya sudah kikis, asingkan isi daripada tongkolnya dan disimpan dalam peti dingin beku. Jadi, kita buat nasi gorenglah senang.

Fresh dari dalam kuali - Nasi Goreng Jagung Manis. 


Ini kalau Uncle Roger Youtube tengok ni, mesti bising mulut dia dok haiyaaa haiyaaa! Not Asian Fried Rice katanya. 

Ahad, Ogos 28, 2011

Nasi Goreng Sambal Hijau


Ini sebenarnya juadah sahur yang aku masak minggu lepas. Itu yang 'sugul' dan serba simple aja presentationnya. Kebetulan ibu tidur rumah nenek temankan aku dan Angah. So, ngantuk pun kenalah bangun prepare something untuk jantung hati aku yang seorang ni. Setakat aku ngan Angah atau aku ngan Dah, sahur style koboi je (erk...koboi bersahur ke in the first place?).

Buka peti ais -- selongkar apa yang patut. Ada ayam panggang lebih buka malam sebelumnya - aku siat-siat untuk buat rencah. Jumpa pulak balance sambal hijau dua tiga hari lepas. Alhamdulillah, mudah kerja aku. Kelentung kelentang kelentung kelentang! Siappp!!

Haa...ini resepinya. Makan memang boleh terbukak mata!

Sediakan sambal hijau dahulu:

  • 1 - 2 labu bawang besar (potong dadu)
  • 4 - 5 ulas bawang putih (mayang)
  • 6 batang cili hijau dan 5 batang cili api (cili ni ikut citarasa masing-masing - boleh tumbuk/blend saja)
  • 1 keping asam keping
  • garam secukup rasa
  • minyak untuk menumis


  1. Panaskan kuali. Masukkan 2 ke 3 sudu minyak. Tumis bawang merah, diikuti dengan bawang putih hingga naik bau.
  2. Masukkan cili hijau dan cili api. Tumis hingga garing. Masukkan asam keping. Perisakan dengan garam. Hasilnya sepatutnya jadi macam sambal berlada hijau. (Kalau sambal hijau berlebih atau terlalu banyak untuk nasi yang hendak digoreng, jangan guna semua. Simpan selebihnya dalam peti ais).


Bahan-bahan untuk Nasi Goreng:
Nasi putih
Daging ayam yang dipotong kecil-kecil (Aku guna ayam panggang lebih dan siat-siatkan sahaja).
Daun sup (racik halus)
Serbuk kunyit
Garam (tak perlukan banyak sebab sambal hijau sudah ada garamnya)


  1. Panaskan kuali. Masukkan sambal hijau ikut citarasa. Tumis sekejap hingga sambal betul-betul garing. Siapa yang suka bawang lebih, bolehlah masukkan 1 labu bawang merah yang didadu dan tumiskan bersama sambal.
  2. Masukkan ayam. Gaulkan.
  3. Kemudian masukkan nasi putih. Taburkan sedikit serbuk kunyit. Gaul nasi hingga sebati. Biar sekejap atas kuali.
  4. Masukkan daun sup yang telah diracik. Tambah garam jika perlu. 
  5. Sedia untuk dihidang.