Selasa, Disember 29, 2009

Resepi Salad Cili Hijau Tumis Mudah

Semalam Bott excited cerita dekat aku yang pokok cili hijau rumah jiran sebelah dah membuahkan hasil. Mewah jugak! Aku punyalah seronok pergi tengok cili 'life' dekat pokok. Aku suka kalau tengok rumah yang ada tanam daun kari, serai, lengkuas, cili dan macam-macamlah. Senang bila nak masak! Lagi seronok kalau ada tanam herba sedikit sebanyak!

Cili hijau sihat-sihat!
Sedia untuk dipetik.


Aku selalu main tunjuk dan beli dekat pasaraya je. Nama nak tanam sendiri, manalah area rumah aku tu ada tanah. Lagipun, belum tentu lagi aku ni 'green fingers'. Secara automatik, minat nak tanam-tanam ni luput begitu sahaja. Borak-borak masa makan dengan nenek, nenek beritahu yang pokok cili hijau tu pokok nenek. Yelah, duduk kat kampung ni mana pakai pagar-pagar. Bila pokok tu dah dekat sempadan antara rumah nenek dengan jiran sebelah, kitorang buat 'jangkaan selamat' yang pokok tu bukan nenek punya.

Dah tahu pokok tu nenek punya, apa lagi! Tak payah tunggu lama, aku dan Bott pergi petik cili-cili yang dah masak. Aku memang suka cili hijau. Selalu kalau buat ayam goreng kunyit atau ikan goreng, aku akan potong cili hijau dan tumis dengan bawang yang dah dipotong bulat-bulat. Hidangkan sekali dengan ayam goreng kunyit. Buat lauk masak taucu atau masukkan hirisannya dalam sandwich pun sedap!

Operasi memetik cili.

Di bawah ini ada satu resepi mudah yang aku biasa buat tetapi maaf tidak dapat nak sertakan gambar.

Resepi Salad Cili Hijau Tumis Mudah

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Cili hijau secukupnya (10-12 batang)
  • Lobak merah (dipotong halus-halus memanjang)
  • 2 sudu minyak zaitun atau kalau nak ubah cita rasa boleh letak minyak bijan
  • Garam secukup rasa
  • Serbuk lada hitam
  • 3 - 4 ulas bawang putih dicincang halus

Cara-caranya:

  1. Mula-mula cili hijau dipotong serong. Keluarkan biji cili.
  2. Kemudian, panaskan minyak, tumis bawang putih yang dicincang halus.
  3. Masukkan cili hijau tadi dan tumis seketika sebelum masukkan lobak merah.
  4. Perasakan dengan garam dan lada hitam secukupnya.

Senang, bukan? Sedap! Jangan bimbang, salad cili hijau ini tidak pedas. Lagipun, kita dah buang biji kan... Selamat mencuba!

Ahad, November 29, 2009

Mesej dalam Papadom

Satu lagi hasil sentuhan Afdlin Shauki untuk tahun ini. Aku baru berpeluang tonton cerita ini beberapa hari yang lepas. Secara jujur, aku memang meminati filem-filem Afdlin. Setiap naskhahnya akan mengangkat mesej-mesej tertentu tentang kemelut atau persoalan yang sinonim dalam kehidupan harian kita.

Papadom mengisahkan kehidupan Saadom (lakonan Afdlin) yang bekerja keras mengembangkan perniagaan Nasi Kandarnya di Pulau Pinang demi memberikan kesenangan buat anak, Miasara (Liyana Jasmay) dan isterinya, Munira (Noorkhiriah). Dalam kesibukannya mencari duit siang malam, Saadom mempunyai masa yang terhad untuk keluarga dan seringkali tiada di sisi keluarganya termasuklah ketika isteri dan anaknya terlibat dalam sebuah kemalangan.

Kematian isterinya memberi tamparan hebat pada Saadom dan sejak itu dia bertekad untuk menjaga anaknya sebaik mungkin. Filem ini menunjukkan 'usaha keras' Saadom dalam memastikan setiap satu kebajikan anak tunggalnya terpelihara. Bayangkan, Saadom akan datang membawa makanan setiap kali waktu rehat dan menghadiri setiap aktiviti luar Miasara! Miasara yang mula menginjak dewasa mula rasa terkongkong dan peluang keemasan untuk hidup bebas (berjauhan dari papanya) muncul apabila dia ditawarkan melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Kuala Lumpur. Saadom yang bimbang akan keselamatan anaknya, dalam diam memohon untuk bekerja sebagai tukang kebun di universiti tersebut.

Aku suka jalan ceritanya yang bersahaja. Satu lagi yang menarik adalah kemunculan Munira sebagai watak jelmaan minda Saadom yang setia menemani Saadom dalam memastikan Miasara selamat dan tidak terluka. Banyak adegan mencuit hati yang menghiburkan termasuklah watak Que Haidar (Mat@Wajib Tayang) sebagai teman kuliah yang meminati Miasara.

Antar mesej penting dalam cerita ini :
  1. Kita perlu hargai insan yang ada di sekeliling kita atau kita akan merasakan kehilangan yang besar apabila mereka sudah tiada.
  2. Kita tidak dapat melindungi anak/ahli keluarga yang lain setiap masa. Kadang-kala, mereka perlu belajar melalui pengalaman (apa yang mereka lalui sendiri tanpa perlindungan kita) walaupun impaknya melukakan mereka.

Papadom diumumkan sebagai Filem Terbaik 2009 di FFM22. Anugerah-anugerah yang dibolot Papadom:
  • Filem Terbaik
  • Pelakon Lelaki Terbaik (Afdlin Shauki)
  • Pelakon Wanita Terbaik (Papadom)
  • Cerita Asal Terbaik (Afdlin Shauki)