Khamis, 4 Mac 2021

Rapsodi Bahagia untuk Khalish

Assalamualaikum wbt.

Hari ini saya nak minta tolong sedikit dengan teman-teman yang baca blog saya ini. 

Bagi yang tahu, saya ni memang suka menulis tapi tak adalah serius mana sampai hendak tulis dan terbit buku. Selalu acah-acah je menulis apabila ada masa senggang. Sekadar bagi otak bersenam, ada aktiviti nak buat.

Selepas projek Lelaki Langit Bumi, saya jadi seronok menulis. Saya berpeluang berkenalan dengan ramai kawan baharu dalam dunia penulisan dan geng-geng ulat buku. It's fun dan buat saya rasa saya nak dalami lagi selok-belok dunia aksara ni.

Kebetulan, hujung tahun lalu, ada salah seorang teman yang ajak saya sertai satu group penulisan. Banyak juga ilmu yang saya sempat belajar dan salah satu tugasan yang perlu dilaksanakan ialah Cabaran 60 hari 1 novel. Kita perlu dorong diri untuk menulis satu bab satu hari sekitar 1000 patah perkataan. Jadi, setelah 60 hari akan siap satu novel. Menarik, kan?

Tetapi saya tetap saya yang sibuk entah apa-apa. Tugasan saya hanya berjaya disiapkan setelah 120 hari. Heheheh tepuklah juga untuk diri sendiri sebab bagi orang mentah macam saya, dikira satu pencapaian tu!


Rapsodi Bahagia untuk Khalish (RBUK)

Inilah novel tugasan menulis saya. Asalnya hendak muat naik di Wattpad bersama tulisan-tulisan masa lapang saya seperti Bukan Sindrom Nightingale dan Somnambulis. Tetapi bila difikir-fikir balik, hold dahululah. Wattpad dengan isu mirror web Truyen yang tidak sudah-sudah, biar saya eram RBUK dan edit betul-betul dahulu. Mana tahu kalau suatu hari apabila penguasaan bahasa saya dah makin meningkat, saya tergerak hati nak hantar manuskrip ke mana-mana rumah penerbitan hahaha (Tak salah pasang impian, kan?)

Dalam proses eram ni, tiba-tiba saya bersetuju untuk bantu seseorang yang sedang lanjutkan pelajaran. RBUK jadi naskhah kajian dan suntingannya. 

Alang-alang pembaca blog FAMF Tower datang dari pelbagai latar belakang (dan tidak terhad kepada yang suka membaca sahaja), saya rasa kalian audiens yang sesuai.

Saya perlu pertolongan kalian untuk bantu teman saya ini dengan membaca satu bab cerita dan beri pandangan. Di bawah ini Bab 1, Rapsodi Bahagia untuk Khalish (versi belum disunting). Andai kalian punya sedikit ruang masa untuk dihadiahkan pada saya, tolong baca dan maklumkan pada saya:


1) Pandangan pertama (first impression) kalian tentang kisah ini.

2) Rasa-rasanya apakah genre dan tema utama yang cuba diangkat melalui RBUK?

3) Setelah baca bab pertama, adakah kalian rasa tertarik untuk baca bab seterusnya? Rasa intrigue atau mehhh? 

... dan apa sahaja yang kalian ingin komen. Semua boleh jadi input untuk projek ini. Insya-Allah, ada bingkisan istimewa buat kalian yang terpilih.


Saya dahulukan dengan ucapan terima kasih tidak terhingga. Mmuahhhh! Flying kisses satu bakul untuk semua.  Selamat membaca!


Bab 1 - Biskut Tawar Sos Cili


KHALISH terjaga apabila merasakan bahang sinar matahari mengganggu lenanya. Dia menggenyeh mata. Tubuh disandarkan ke kepala katil. Tidak pasti tentang waktu namun cahaya yang tanpa segan menceroboh masuk ke dalam kamar seakan dapat memberi bayangan masa.

Ah, ada apa dengan masa! Lagipun, untuk apalah dihiraukan perjalanan hambatan detik. Pagi, petang, malam semuanya sama. Tiada beza. Bangun, hidup, tidur. Begitulah kitarnya. Selagi tidak kehabisan nyawa.

Mungkin perkataan 'hidup' tidak lagi sesuai menggambarkan rutin Khalish sehari-hari. Hidup perlu ada tujuan. Hidup perlu ada sesuatu yang ingin dicapai.

Semua itu tiada padanya. Sudah lama asanya mati. Dia cuma satu jasad yang mengheret nafas menghabiskan hari demi hari.

Malas-malas Khalish bangun. Badan yang pegal diregangkan seketika. Bukaan mata disapa keadaan bersepah bilik tidurnya. Baju-baju yang entah bersih entah tidak berselerak di sana sini. Di atas lantai, di atas meja, ada pinggan kotor, surat khabar lama dan longgokan sampah yang dia sendiri tidak pasti sejak bila.

Khalish tidak kisah. Dia sudah lali.

Perut yang berbunyi menghantar isyarat minta diisi. Berlengeng, langkah diatur keluar bilik. Satu longgokan kain di hujung kaki yang menghalang laluan ditendang kasar.

"Haa, bangun pun kau, bang! Ingat nak tidur sampai esok," tegur Kaer. Tumpuan jejaka itu kini tidak lagi pada skrin televisyen sebaliknya pada Khalish.

Belum betul-betul jaga, sapaan Kaer tidak dihiraukan. Khalish tiada angin untuk melayan. Pintu peti sejuk dibuka. Mencari kalau-kalau ada lebihan makanan yang boleh dibuat alas perut. Kosong. Hanya tiga botol air mineral dan sepeket kecil sos cili lebihan burger yang dibawa pulang dua minggu lalu.

"Nampaknya orang tu kena keluar dari sarang hari ini. Dah tak ada apa dah untuk kau makan," ujar Kaer yang membuntutinya. Tubuh disandarkan ke juring pintu dapur. Sambil tersenyum, mata galak memerhati misi mencari makanan lelaki yang tua lebih empat tahun daripadanya itu.

Khalish hanya memandang Kaer sekilas. Tiada respons. Dia bergerak ke kabinet. Dibuka satu demi satu pintu. Mana tahu ada biskut atau mi segera.

Kosong.

Kosong.

Kosong.

Dia mengeluh.

"Aku macam nampak ada biskut tawar depan TV. Tak tahulah bila punya. Boleh makan lagi kot."

Khalish mencapai peket sos cili tadi. Dia bergerak semula ke ruang tamu. Dihempaskan tubuh di atas sofa. Tangan laju mengalihkan barang-barang yang bersepah di atas meja kopi. Alat kawalan jauh, kunci, topi, majalah lama, sampah, majalah lagi,  katalog, bil dan di bawahnya, biskut!

Biskut di dalam bungkusan yang separuh terdedah dicapai. Pek sos cili dikoyakkan dengan gigi. Dipicitkan sedikit ke atas biskut lalu dimasukkan ke dalam mulut. 'Jadilah, daripada tak ada apa-apa.' Khalish memujuk hati.

Air muka sedikit berubah. Kombinasi kedua-duanya menghasilkan rasa yang menghukum setiap tunas rasa. 'Apa sangat yang boleh diharapkan daripada sekeping biskut tawar lemau dan secalit sos cili.' Kunyahan dikemam-kemam seketika sebelum ditelan separa paksa.

"Apa rasa biskut cili kau tu?" duga Kaer sambil menahan tawa. Teruk benar keadaan tidak terurus Khalish. Hanya tinggal biskut tawar masuk angin dan sos cili untuk dimakan.

Diam. Khalish pura-pura buat tidak dengar. Bungkusan biskut diambil lantas dibelek-belek. Dia memicingkan mata. Mencari tarikh luput produk berkenaan.

"Parah sangat dah kau ni, bang! Agaknya, kalau kaki meja tu boleh makan pun kau kunyah, kan?"

"Diamlah! Bising!" bentak Khalish. Telinga tidak boleh bertolak ansur dengan nada suara ceria gembira Kaer. Tidak kena dengan muzik latar hidupnya sekarang.

"Eh, marah?"

Khalish mendengus. Dia menoleh mencari Kaer yang sedang duduk di kerusi meja makan. Berpenampilan kemas, berkemeja siap bertali leher, Kaer kelihatan seperti satu objek ganjil yang tidak kena tempat di ruang berantakan itu.

"Kau buat apa kat sini?"

"Tengok engkaulah."

"Tak payah pedulikan aku!"

"Sampai bila kau nak begini, bang." Kali ini nada suara Kaer berubah.

"Tak payah pedulikan aku!" ulangnya keras. Baru hendak melanjutkan tutur, telinga menangkap bunyi telefon bimbit. Sayup-sayup. Khalish tercari-cari. Atas meja, bawah meja, tepi meja. Tiada.

"Celah kusyen tepi kau. Sebelah kanan," maklum Kaer, Rumah bagai tongkang pecah, memanglah semua barang 'tenggelam'.

Sebaik sahaja telefon berjaya ditemui, Khalish melihat nama pemanggil yang tertera. Segera telefonnya dimatikan.

"Siapa?"

"Yeop Pudin."

"Kenapa tak angkat?"

"Dia nak jumpa."

"Eh, kau nak pergi jumpa dia ke ni?" soal Kaer apabila dilihat Khalish bergerak menuju ke bilik. Pelik. Selama ini, berminggu-minggu Khalish sanggup memeruk diri di rumah. Tiba-tiba hari ini ingin keluar.

"Orang tua tu, selagi aku tak jumpa, selagi tulah dia akan kacau!" balas Khalish. "Sampai ke sini dia cari aku nanti."

"Aku ikut?"

"Tak payah!"


AIR di dalam gelas disedut hingga habis. Dia menolak tatkala Yeop Pudin menawarkan kopi ais miliknya yang masih belum berusik.

"Kenapa kau nak jumpa aku, Yeop?" tanya Khalish. Wajah lelaki berusia lewat lima puluhan itu dipandang sekilas.

Yeop Pudin tidak menjawab. Lama penampilan Khalish diteliti. Dari atas ke bawah.

"Apasal pandang aku macam tu?"

"Kambing aku kat kampung tu jauh lagi kacak daripada kau!" komen Yeop Pudin.

Serentak itu, beberapa kulit kacang yang dibaling Khalish tepat terkena dadanya. Kulit kacang yang bertaburan dikutip lalu diletakkan di atas meja. Diam tidak diam, hampir separuh plastik kacang telah dimakan Khalish.

"Kau samakan aku dengan kambing?"

"Tengoklah keadaan kau, Lish! Aku tak tahu nak hala mata ke mana," jelas Yeop Pudin. Tiada satu apa pun pada Khalish yang sedap dipandang. Rambut tidak terurus, misai dan jambang sudah ibarat pokok menjalar yang tumbuh melata. Tidak semenggah!

"Sampai bila nak terus begini? Kau anak jantan. Mana boleh putus asa dalam hidup."

Khalish cuma menjongketkan bahu. Hari ini sudah dua kali dia ditanyakan soalan yang sama. Dia jelak.

"Aku ada kerja untuk kau."

"Aku tak nak kerja, Yeop."

"Dengar dulu!"

"Aku tak nak kerja. Aku tak perlu kerja! Titik!" Khalish berdegil.

"Habis tu kau nak duduk mereput sampai mati?" Mungkin kasar kedengaran kata-kata Yeop Pudin tetapi dia perlu menyentak waras akal pemuda di hadapannya.

"Kau nak hidup macam mana? Rumah, kereta, bil-bil semua siapa nak bayarkan? Simpanan kau banyak mana sangat? Dah habis nanti, kau nak duduk bawah jambatan?"

Bebelan Yeop Pudin gagal meninggalkan walau segarit kesan pada Khalish. Hanya dibalas renungan kosong tanpa makna.

"Cukup-cukuplah tu, Lish. Relakan apa yang dah berlaku. Kau kena teruskan hidup."

"Aku tak boleh teruskan hidup selagi aku tak tahu apa yang sebenarnya berlaku, Yeop!" Mendatar suara Khalish memberikan justifikasi.

"Takdir. Ketentuan Tuhan. Itu yang berlaku, Lish."

"Tak cukup untuk aku. Aku nak tahu perkara sebenar."

"Hah, kau dengar tak apa yang kau cakap ni? Nak tahu perkara sebenar, kan? Itulah sebabnya aku suruh kau bangkit. Kalau kau tak cari, kau ingat kebenaran tu akan senang-senang datang melutut, sembah kau kat rumah?

Aku faham kau sedih. Aku tahu kau tertanya-tanya. Tapi, hidup kena diteruskan."

Khalish diam membatu.

"Aku dah anggap kau macam darah daging aku, Lish. Kalau kau tak mahu fikir tentang diri kau, masa depan kau ... sekurang-kurangnya fikirlah orang yang kau sayang. Tanggungjawab kau pada dia."

Baris akhir ayat Yeop Pudin berjaya memancing perhatian Khalish kembali. Dia meraup muka kesal. 'Mengapalah dibangkitkan soal itu?' Wajah Yeop ditentang. Dia tidak perlu sebarang peringatan lanjut berkenaan kegagalannya.

"Sampai bila nak biarkan dia tinggal di sana?"

* * *


Psst! 20 bab awal Lelaki Langit Bumi masih ada di Wattpad untuk bacaan.


11 ulasan:

  1. Harap my two cents input is worth it. Hehe. Hopefully not suspense thriller ala novel Fixi or RAM. Dah banyak di pasaran.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih atas pandangan Sal. Komen Sal yang itu akak tak publish dulu. Your input sangat berharga. Huhuhu bukan suspense thriller. Akak kalau buat suspense thriller mahu jadi cerita sedih. Thanks so much again! 😘😘😘

      Padam
  2. dah makan biskut cicah cili pun still taknak kerja lagi ?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Biskut tu tak cukup payau kot untuk dia 🤣😂🤣

      Padam
  3. Terima kasih pada teman-teman yang sudi baca dan beri pandangan. Komen pandangan kalian yang bernas dan bergeliga tu saya simpan dahulu tau. Tak terbitkan di sini sebab tuan punya kajian mahu pandangan pembaca yang hanya berdasarkan bab 1, tidak dipengaruhi komen atau pandangan lain.

    Sayang kalian semua 😘😘😘

    BalasPadam
  4. wah bestnyaaaaa. ada masa nadyya nk baca laa :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Thanks in advance, dik. Your input akan jadi sangat berguna pada tuan punya projek ni 😊

      Padam
  5. tersedak kambing kena puji kacak hahaah


    tercari2 kot2 nama yuri terselit hahahahah

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kambing memang kacak hahahah
      Yuri tak leh masuk novel nanti dia claim royalti.

      Padam
    2. tak baik berkira dengan Yuri...apa salah dia... dia hanya menumpang di bumi Tuhan... siapalah kita menidakkan haknya...





      hahahahahahaahahahahahahahah

      Padam
    3. Hahahahahahah saya terhibur! 😂🤣😂🤣

      Padam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.