Selasa, Ogos 31, 2021

Salam Malaysia Prihatin

Assalamualaikum.

Salam 31 Ogos! Selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64! Tahun ini sekali lagi ‘Malaysia Prihatin’ diangkat sebagai tema sambutan kemerdekaan negara. Mudah-mudahan konsep prihatin, ambil berat dan saling peduli itu ada dalam diri kita semua, malah sentiasa dipraktikkan dalam kehidupan sehari-hari.

Google kibar Jalur Gemilang 😊


Rindu tak pada kemeriahan suasana sambutan Hari Kebangsaan? Ada yang buat countdown merdeka tak malam tadi? Dahulu, pagi-pagi dah buka televisyen hendak tengok perarakan Hari Kebangsaan. Kuatkan bunyi suara, siap tukar dari satu saluran ke saluran TV lain hendak cari siaran dan liputan mana yang best. Semoga tahun-tahun akan datang, dapatlah kita nikmati kemeriahan sambutan ini semula.

Idea Snek Sihat Selepas Makan Malam

Biasa tak selepas makan malam, terasa macam hendak makan snek atau sesuatu yang ringan? Sebenarnya tabiat ini memang A BIG NO dan perlu dihindar sama sekali. Pengambilan makanan yang berlebihan pada waktu malam akan mendatangkan mudarat kepada kesihatan kita kerana dekat dengan waktu tidur. Biasanya waktu-waktu begini tubuh tidak lagi aktif melakukan kerja.

Tetapi, kalau dah teringin sangat tidak ada masalah untuk makan sedikit. Jangan ambil makanan berat pula. Pilih untuk nikmati sesuatu berupa snek sekadar untuk alas perut.

Di bawah ini ada perkongsian idea snek selepas makan malam (kredit kepada @movingdietitian) yang boleh disediakan. Bahan-bahan yang digunakan boleh membantu kita untuk rasa lebih berisi (agak mengenyangkanlah jika dibandingkan dengan makanan ringan seperti cip kentang atau aiskrim.) dan tidak akan terlalu 'menghukum' atau 'membebankan' tubuh. Yang penting, jaga portion

Isnin, Ogos 30, 2021

Habiskan Baucar Lazada Sebelum Tamat Tempoh

Saya ada baucar Lazada bernilai RM50 yang hendak tamat tempoh. Entah bagaimana saya boleh terlepas pandang entah. Tidak pasti saya dapat baucar ini dari mana sebab lazimnya, baucar-baucar yang saya tebus hasil buat online surveys belakangan ini saya terus guna. 

Cepat-cepat buka aplikasi Lazada, lihat apa yang ada di dalam cart. Cart saya memang tidak pernah lengang. 😅 Apabila ada penurunan harga atau flash sale dan barang berkenaan dalam senarai keutamaan saya, barulah saya sempurnakan pembelian.

Setelah puas belek dan saring, inilah produk-produk yang saya beli menggunakan baucar tersebut.


Semua makanan!😄

Tanggal 31 Ogos - Allahyarham Sudirman Hj. Arshad (Easy Guitar Chords)

Lagu ini memang dekat dengan kita semua. Lirik yang mudah, gubahan muzik yang catchy dan penuh semangat sesuai sangat melatari setiap sambutan kita mengingati detik kemerdekaan Malaysia.

Kord gitar Tanggal 31 Ogos di bawah versi mudah. Telah saya transposed ke chord C. Selamat berdendang!

Selamat Menyambut Hari Kebangsaan yang ke - 64!


Kord Gitar dan Lirik Tanggal 31 Ogos - Sudirman Hj. Arshad (Easy Chords)



(Intro)


C

Tanggal 31

C

Bulan lapan lima puluh tujuh

Dm        G

Merdeka  Merdeka 

C        Am

Tetaplah merdeka

D              G

Ia pasti menjadi sejarah

Jumaat, Ogos 27, 2021

Teringin Mussels Big Pot Two Sons Bistro

Seminggu dua ini, saya sibuk asingkan gambar di galeri telefon untuk buat beberapa photobook. Bayangkanlah, banyak gambar family gatherings dan keraian yang disambut dua tiga tahun lepas masih belum diasingkan atau disimpan betul-betul. Sebelum gambar-gambar tu hilang disebabkan kecuaian saya, baiklah diusahakan supaya menjadi memori yang tangible.

Tengah belek-belek gambar, terbantut tujuan asal apabila tengok gambar piza dan lauk kupang ini. 

Mussels Big Pot

Khamis, Ogos 26, 2021

Puding Biji Chia untuk Sarapan dan Pencuci Mulut

Biji chia atau chia seed banyak manfaatnya untuk kesihatan. Mengandungi serat, antioksida, Omega-3, protein dan pelbagai vitamin dan mineral, pengambilan chia seed baik untuk jantung, sistem pencernaan, otot dan tulang, mengurangkan tanda-tanda penuaan dan membantu kita mendapatkan kulit yang lebih sihat.


Disebabkan khasiatnya, tidak hairanlah jika biji ini selalu dimasukkan ke dalam diet pemakanan harian.

Contoh hidangan mudah yang menggunakan biji chia:

  1. Air chia seed. Masukkan chia seed ke dalam minuman kalian. Air kosong, jus buah segar, air lemon, kopi atau teh tanpa gula dan biar seketika sehingga chia seed kembang. Saya suka buat teh dengan sedikit parutan halia atau hirisan lemon. Segar dinikmati dingin. Oh,  lagi satu, jadikan salah satu bahan untuk lai chi kang pun sesuai.
  2. Taburan di atas roti bakar atau salad. 
  3. Puding biji chia

Di bawah ini, chia seed pudding saya.

Rabu, Ogos 25, 2021

Pau Bolognese Bobos

Baru-baru ini, ada rezeki kami dapat pau frozen. Saya pun dengan gembiranya menunggu pau sampai ke depan pintu rumah. Sewaktu hendak masuk semula ke rumah, adalah pula si Dobuli. Kucing yang kami gelar Dobuli ini kekasih tak dianggap si Yuri. 😂 Seperti biasa Dobuli tidak pernah putus asa dengan percubaan-percubaannya untuk masuk rumah. 

Struggle jugalah saya di pintu gelangsar nak mengelak Dobuli dan pada masa yang sama cuba menghalang kucing tu daripada lolos masuk. Umpan dengan makanan treat pun tak jalan!

Malangnya, setelah berjaya masuk, pau-pau di tangan saya yang diisi di dalam beg kertas bobos satu per satu jatuh ke lantai. Menjeritlah saya "5 second rule! 5 second rule!" sambil sibuk mengutip 8 biji pau yang bergelimpangan. Mujurlah pagi tu Bott baru lepas sapu dan mop kawasan depan pintu. Kira boleh diterima pakai konsep 5 second rule saya hahaha


Tips Dapur - Cara Simpan Halia, Kelapa Parut dan Susu

Hari ini saya ingin kongsi semula beberapa tips penyimpanan bahan-bahan masakan seperti halia, kelapa parut dan susu segar supaya tahan lebih lama. Faham-faham sahajalah dengan situasi semasa, kita masih tidak boleh kerap keluar untuk dapatkan barang dapur dan keperluan harian. Maka, bahan apa yang boleh dipanjangkan hayat dengan cara penyimpanan tertentu, kita usahakanlah ya. 


  • Halia

Di rumah ini, kami memang suka guna halia baik dalam masakan mahupun minuman. Jadi, insya-Allah tidak akan berdepan dengan masalah halia lama terbiar tidak digunakan sehingga mengecut dan mengering. Disebabkan banyak guna halia,  saya biasanya akan beli halia dalam kuantiti yang banyak (lama sikit nama halia tidak akan muncul dalam shopping list) dan lakukan seperti di bawah ini.

Isnin, Ogos 23, 2021

Resepi Lempeng Oat dan Pisang

Assalamualaikum.

Hari ini saya ingin kongsi resepi sihat lempeng oat dan pisang. Lebih kurang seperti lempeng pisang biasa tetapi lempeng yang ini versi rendah kalori kerana kita guna oat. Bagi yang tercari-cari idea bagaimana untuk memasukkan oat dalam hidangan atau menu harian anda, lempeng oat dan pisang ini sesuai untuk sarapan atau minum petang. Bukan sahaja mudah disediakan, malah lempeng ini berkhasiat dan mengenyangkan.


Lempeng Oat dan Pisang

Resepi Lempeng Oat dan Pisang

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 2 biji pisang bersaiz besar (+/- 280 - 300g). Jika guna pisang yang bersaiz sederhana atau kecil, tambah bilangan pisang. Lebih masak pisang lebih baik kerana kita akan peroleh manis daripada pisang ini.
  • 2 biji telur
  • 1 cawan rolled oats
  • 1/2 sudu teh serbuk kayu manis
  • 1 sudu teh serbuk penaik
  • 2 - 3 sudu besar susu (optional)
  • secubit garam
  • sedikit minyak kelapa, minyak sayuran atau mentega untuk lengser kuali leper

Satu Per Dua Pandan Kelapa

Assalamualaikum. Selamat memulakan minggu baharu.

Belakangan ini, banyak pula produk makanan dengan perasa pandan kelapa yang dijual di pasaran. Biasalah, ikut musim, kan? Waktu keju tengah 'in', semua produk makanan diolah dengan keju. Begitu juga dengan telur masin. Sana sini kita nampak salted egg.

Dua produk pandan kelapa yang tengah hangat sekarang dan benar-benar menarik perhatian saya ialah Cadbury Dairy Milk Pandan Coconut dan Gardenia Toastem Pandan Coconut. Memang semenjak nampak kedua-dua produk ini lalu-lalang di hadapan mata - di media sosial, di blog kawan-kawan, saya memang masukkan ke dalam senarai barang untuk dibeli. Siap lampirkan gambar sekali untuk Bott sebab dia yang keluar rumah beli barang. 

Baik roti mahupun coklat, dua-dua laku keras! Beberapa kali Bott keluar ke kedai, memang tak nampak bayang langsung. 

Alhamdulillah, baru-baru ini Cadbury Dairy Milk Pandan Coconut mendarat betul-betul di depan mata Bott. Bott dah bersedia hendak membuat pembayaran di kaunter. Kebetulan ada seorang pekerja kedai datang dengan beberapa kotak di tangan ke bahagian tepi kaunter untuk restock coklat-coklat di situ. Guess what? Kotak pertama yang dibuka ialah coklat pandan kelapa Cadbury. 😁

Cadbury Dairy Milk Pandan Coconut

Sabtu, Ogos 21, 2021

Gulai Lemak Tempe Kulit Tembikai

Gulai Lemak Kulit Tembikai | Satu olahan resepi menggunakan kulit tembikai. Beberapa hari lepas dapat buah tembikai. Bott potong tembikai, asingkan kulitnya dan simpan di dalam satu bekas. Sekali-sekala kami memang akan simpan kulit tembikai. Isi tembikai yang manis dan segar kita makan, kulitnya kita laukkan. Tidaklah membazir, kan?

Kebiasaannya, saya masukkan hirisan kulit tembikai ke dalam gulai lemak atau ikan masak taucu. Potongan atau hirisan kulit tembikai tu kita letak sebagai menggantikan timun. Sedap!

Ikut perancangan asal, memang hendak sediakan ikan taucu. Tetapi, hari sebelumnya dah makan ikan goreng rebus.  Apabila tengok dalam peti sejuk ada tempe (bimbang pula kalau tidak dimasak segera, tempe akan rosak), terus tukar menu buat gulai lemak tempe. 


Baca juga: Tips Memilih Tembikai


Beginilah rupa paras gulai lemai tempe kulit tembikai saya. 😀 Pada mulanya, saya mahu buat gulai lemak biasa. Tetapi, tiba-tiba teringin makan gulai pedas. Jadi, saya tumbuk je cili padi dan masukkan ke dalam gulai.

Jumaat, Ogos 20, 2021

Popcorn Air Fryer Mudah dan Jimat

Salah satu cara mudah untuk menyediakan bertih jagung ialah dengan menggunakan air fryer. Bukan sahaja senang malah, saya anggap cara ini lebih jimat, lebih sihat. Kita boleh kawal bahan-bahan yang ingin kita guna sesuai selera dan pada masa yang sama, risiko popcorn hangit dapat dikurangkan.

Apa yang diperlukan untuk buat bertih jagung hanyalah biji jagung (corn kernel) dan air fryer. Untuk perisakan bertih jagung pula, bergantung kepada kalian. Saya akan ceritakan lebih lanjut di bawah.

Rabu, Ogos 18, 2021

Bubur dan Cakoi You Are My Hero

Penangan maraton tengok drama Cina hujung minggu lalu. Saya tonton drama You Are My Hero. Tiba-tiba, terliur tengok babak doktor-doktor beli bubur dan cakoi di kafeteria. Terus jadi teringin hendak makan! Masa ini mulalah terimbau pelbagai memori lazat bubur dan cakoi. Terbayang bubur dan cakoi McD ... terbayang bubur dan cakoi I Love Yoo!

Apa lagi, laju sahaja langkah diatur ke dapur. Basuh beras untuk tanak bubur sambil tu peram yis. Lebih kurang satu jam lebih kemudian, hidangan yang diimpikan tersaji di depan mata.

Tisu Panda Comel

Berbanding Lazada, saya jarang membuat pembelian di Shopee. Lazimnya, kalau  di Shopee, saya cuma akan cari material kraf atau bahan-bahan untuk card making, scrapbook, jurnal dan projek saya. Itu pun puas kawal diri. Kecenderungan untuk terlajak beli sangat tinggi!

Baru-baru ini, sambil cuci mata lihat hiasan planner dan jurnal saya cari tisu poket sekali. Jarang-jarang keluar, tidak perasan langsung tisu poket dah kehabisan stok. Tengok di Lazada, tiada tawaran yang menarik. Agak mahal juga harga tisu poket yang ada.

Akhirnya, ada rezeki saya jumpa tisu poket yang saya berkenan. Bamboo pocket tissue. Preffered+ seller. Greenleaf_my. Harga memang murah. Ulasan pembeli pun boleh tahan. Rata-rata berpuas hati dengan kualiti tisu tersebut.


Inilah hasil pembelian saya. 

Selasa, Ogos 17, 2021

Damai Yang Hilang Rendah Kalori

Jika sebelum ini saya tulis tentang lagu Kenangan Terindah - Samsons yang dirakamkan semula oleh Setia Band, hari ini satu perkongsian mengenai sebuah lagu nasyid versi baharu - Damai Yang Hilang 2021.

Suatu masa dahulu, lagu Damai Yang Hilang dendangan kumpulan Nowseeheart merupakan antara lagu yang popular dan mencetuskan fenomena. Tambahan pula ketika itu, lagu-lagu nasyid memang mendapat sambutan daripada penggemar-penggemar muzik tanah air. Lagu ini telah dirakamkan semula beberapa kali oleh kumpulan Saujana dalam album 5 Bintang dan 6ixth Sense menerusi album  Cintaku Padamu Seluas Angkasa.

Biarpun ada beberapa versi baharu, secara peribadi, saya tetap suka Damai Yang Hilang yang asli. Gubahan dan susunan muziknya. Harmoni suara ahli-ahli kumpulan melontarkan lagu tersebut. Tetap gah dan terbaik di pendengaran saya. 

Isnin, Ogos 16, 2021

Hujung Minggu yang Manis Semanis-manisnya

Assalamualaikum. Selamat memulakan minggu baharu. Bagaimanakah hujung minggu kalian? Mudah-mudahan berlalu dengan baik dan dapat berehat secukupnya.

Hujung minggu saya santai dan tenang. Kami berdua malas masak, jadi makan dan panaskan apa yang ada di dalam peti sejuk dan peti dingin beku sahaja. Kita bersihkan peti sejuk. Jika tidak nanti penuh dengan makanan tak habis, lupa nak makan tahu-tahu dah rosak.



Selebihnya, Sabtu dan Ahad saya dihabiskan dengan membaca e-book dan tonton drama Cina di iFlix. Minggu ini layan karya salah seorang penulis kegemaran saya, Kristan Higgins. Hajat hati nak blogwalking tetapi dua hari lepas, sambungan internet memang teruk. Difahamkan, Digi tengah dalam proses naik taraf perkhidmatan di kawasan saya. 

Makanya, saya maraton drama Cina yang lama tersimpan di dalam telefon bimbit. Bott ada satu tabiat pelik. Setiap kali data internet telefon dia nak mula kitaran baharu, gigih dia muat turun pelbagai cerita ke aplikasi iFlix atau Viu telefon saya. Biar berbaloi dia bayar data bulan-bulan katanya. 

Ahad, Ogos 15, 2021

Kord Gitar Malaysia - Faizal Tahi

Bersempena dengan bulan kemerdekaan, saya ingin tanya kalian - Apakah lagu patriotik (lagu kemerdekaan atau sebarang lagu bertemakan semangat patriotik) yang menjadi kegemaran kalian?

Pilihan saya ialah Warisan, dendangan Allahyarham Tan Sri Sudirman Hj. Arshad. Selain itu ada beberapa lagu malar segar lain yang biasa jadi siulan kita menjelang 31 Ogos seperti Saya Anak Malaysia (Dr. Sam) dan Tanggal 31 Ogos  juga oleh Allahyarham Tan Sri Sudirman Hj. Arshad.

Hari ini saya ingin kongsi kord gitar lagu Malaysia nyanyian Faizal Tahir yang released pada tahun 2018. Kebetulan, saya perlu rakamkan petikan gitar instrumental lagu ini untuk anak teman saya. Si anak kena buat satu video mendeklamasikan sajak kemerdekaan untuk tugasan sekolah. Jadi, petikan gitar instrumental lagu Malaysia akan dijadikan latar muzik persembahannya.

Saya suka semangat Malaysia yang dilontarkan melalui karya ini. Semoga Malaysia cepat pulih!

Kord Gitar From FAMF Tower

Kord Gitar dan Lirik Lagu Malaysia - Faizal Tahir (Easy Chords)

[Intro]

C F C G

Sabtu, Ogos 14, 2021

Kegembiraan ialah ... MAKANAN

Santai hujung minggu. Perkongsian ilustrasi Happiness Is untuk menceriakan hari. Kali ini berkisar tentang makanan.


Happiness is knowing that there's new food somewhere that you haven't tried.

A foodie, orang yang kaki makan, suka explore pelbagai makanan, memang akan boleh relate dengan perasaan ini. 

Thinking of food ... new food ... new food.

Dahulu, kalau dengar ada makanan viral atau hidangan yang sedap dekat suatu tempat, bolehlah kita main terjah je. Sekarang ini, terpaksa bertahan. Masuk dalam senarai dahulu ya, kawan-kawan. Keadaan dah betul-betul pulih, baru boleh kembali berkembara cari makanan. 

Setakat ini, ada tak makanan tertentu yang dah masuk senarai food to hunt?

Jumaat, Ogos 13, 2021

Pisang Goreng Thai

Assalamualaikum. Salam Hari Jumaat. Cepat betullah masa berlalu sekarang ini. Rasa macam baru je hari Jumaat... dah Jumaat lagi.

Hari ke-2 divaksin, saya masih lenguh tangan dan mengantuk. Malam tadi tak lena tidur sebab rasa lengan berdongkol macam lengan Awie atau Zul Ariffin. Pagi ni dah kurang sedikit cuma mata berat memang tak boleh bawa bincang! Ahamdulillah, setakat ini itu sahajalah kesan yang saya alami. Eh, sekejap... kalau asyik rasa lapar nak makan tu kesan sampingan vaksin jugakah? Dari balik semalam, perut macam berlubang dan saya tak berhenti mengunyah 😁


Hari ini ada kelapangan masa sedikit. Saya buat spring cleaning untuk e-mel, telefon bimbit dan blog sekali gus. Tak berani buat kerja suntingan atau terjemahan. Bimbang dalam kantuk ini tak pasal-pasal artikel orang saya tukar ke bahasa Sanskrit pula. Jadi, kita buat kerja rendah risiko - bersihkan gambar-gambar, e-mel dan dokumen-dokumen yang tidak perlu. Banyak juga gambar-gambar lama yang terperam dalam draf blog tidak sempat jadi entri. Salah satu daripadanya ialah Pisang Goreng Thai ini.

Pernah makan Pisang Goreng Thai? Apa bezanya Pisang Goreng Thai dengan pisang goreng biasa? Pisang Goreng Thai mengandungi beberapa bahan tambahan seperti kelapa parut, santan, gula dan bijan. Jadi, rasanya lebih lemak manis. Kalau makan masa baru diangkat dari gorengan, sekali duduk memang tidak cukup sepotong dua. Jom tengok resepi!

Khamis, Ogos 12, 2021

Lindung Tangis

Assalamualaikum. Alhamdulillah, saya baru selesai dapatkan dos vaksin yang pertama pagi tadi. Beberapa jam selepas divaksin, baru rasa lenguh di bahagian tangan dan mengantuk yang sukar ditahan. Pandang skrin pun asyik nak terkelap. 😊

Hari ini hendak kongsi sedikit tentang kelas saya yang berlangsung beberapa hari lepas. Kelas malam tu kelas one-to-one. Murid hanya dua orang, H dan S. Kedua-duanya Tahun 5.

Kelas bermula seperti biasa pada pukul 8.15 tetapi tanpa kehadiran S. Mungkin lambat sedikit kerana saya tidak dimaklumkan yang dia tidak dapat hadir.

Saya dan H teruskan kelas sehinggalah S masuk pada pukul 8.25. Saya perasan suara S seperti tersedu-sedu. Kebetulan, pada masa tu sambungan internet pula ada masalah. Jadi, saya hanya dapat dengar suara S tanpa melihat paparan wajahnya.


Rabu, Ogos 11, 2021

Ada Apa dengan Stardenburdenhardenbart

Jangan pening kepala dahulu! Memang kita cakap Jerman hari ni. Stardenburdenhardenbart. Apa bendanya tu?

Sebenarnya, saya lihat seorang pengguna Instagram ni (atau di Youtube, saya tak berapa ingat) buat eksperimen memanggil kucing dengan pelbagai panggilan dan bahasa, kemudian lihat reaksi kucing sama ada akan respons pada panggilan tersebut ataupun tidak.

Kelakar juga. Faham-faham sahajalah ragam kucing. Waktu hendak menoleh, kucing tu menolehlah. Jika tidak, buat derk sahaja. Tetapi, apa yang menarik, kucing-kucing yang 'disapa' memang akan beri reaksi apabila dipanggil menggunakan stardenburdenhardenbart.

Pelik. 

Kenapa stardenburdenhardenbart

Selasa, Ogos 10, 2021

Selamat Tahun Baharu Islam 1443 H

Assalamualaikum. Hari ini 1 Muharam 1443 Hijrah. Selamat Menyambut Tahun Baharu Islam!

Walau di mana pun kalian berada, dalam situasi apa sekali pun, moga ketibaan tahun baharu ini dapat kita dialu-alukan dengan hati dan minda yang lapang, penuh kesyukuran, penuh pengharapan.

Isnin, Ogos 09, 2021

Cucur Keluar Gua

Assalamualaikum. Selamat memulakan minggu baharu. Ada tak yang bersarapan cucur hari ini?

Tempoh hari, jiran sebelah rumah saya, Nenek P beri cucur untuk minum pagi. Kebetulan pagi tu, saya baru selesai hantar kerja kepada client. Setelah 3-4 hari berkurung buat kerja suntingan, keluar bilik disambut dengan cucur comel-comel ni. Alhamdulillah, rezeki! Ada cucur sedap untuk raikan saya keluar gua. Terus pergi bancuh kopi!

Inilah cucur keluar gua saya. Cucur nuget dan sosej. 

Adunan bater ditambah dengan hirisan nuget dan sosej lalu digoreng garing. Sos cecahnya pula Bott yang buat - mayones digaul dengan sedikit sos Sriracha. Enak betul setiap suapan ada potongan nuget dan sosej yang dilawan dengan rasa masam pedas lemak mayones Sriracha. Memang sekejap je licin-licau cucur pemberian Nenek P kami makan.

Ahad, Ogos 08, 2021

Rezeki Kopi Gantang

Baru-baru ini saya dapat sepek Kopi Cap Gantang. Ya Allah, memang lama benar tidak menikmati Kopi Cap Gantang ini. Hampir lupa terus tentangnya. Saya dah jarang beli serbuk kopi campuran. Stok kopi saya jenis yang freeze-dried instant coffee atau saya beli biji kopi dan kisar sendiri. 

Apabila terima Kopi Cap Gantang punyalah gembira. Sekali-sekala rindu juga nak nikmati kopi kampung yang dipanggang dengan marjerin. Rasa kopinya memang extra special. Bagi saya serbuk kopi campuran Cap Gantang merupakan antara yang sedap dan ada rasa tersendiri.


Sabtu, Ogos 07, 2021

Mr. DIY Barang RM20 Bayar RM5

Assalamualaikum.

Minggu lepas semasa sedang layari aplikasi Lazada, saya perasan ada baucar 50% untuk pembelian di Mr. DIY. Saya dah teruja dah. Bott ada cakap nak beli ice tray yang berpenutup buat tambah stok. Selalu kami bekukan pes cili, jus lemon, jus limau, herba dan lebihan kopi saya. Kalau ada banyak, bolehlah ice tray tu diasingkan ikut penggunaan. Tetapi, tak adalah berharap sangat sebab barang-barang di Mr. DIY ni selalu habis stok.

Alhamdulillah, ice tray yang dicari ada. Dah alang-alang tu belilah beberapa item tambahan. 


Barang dah sampai 😊

7 Nasihat Ali B Abi Thalib

Sekadar perkongsian buat renungan kita semua. Nasihat-nasihat di bawah ini, bukan sesuatu yang baharu. Kita sudah tahu. Kita sudah biasa. Namun, adakala kita kena ingatkan diri dari semasa ke semasa. Tambahan pula dengan situasi semasa, macam-macam benda yang bergolak, kiri-kanan orang bergaduh, sana-sini manusia saling tabur fitnah. 


Sumber imej - Pinterest (Pemilik asal tidak dapat dipastikan.)

  • Jangan membenci siapa pun, walau ada yang menyalahi hakmu.
Apabila umur dah lanjut ini, saya memang ajar diri untuk tidak membenci orang. Rasa-rasa ada orang yang buat saya, saya tidak suka ... saya ambil langkah untuk jauhkan diri. Emosi benci terhadap individu lain bukan sahaja tidak elok, tetapi perasaan benci yang bottled up dalam diri kita ni tidak baik untuk diri dan kesihatan kita. Benci itu satu perasaan negatif yang kuat, yang akan makan kita dari dalam. Nanti, orang yang kita benci itu tidak terkesan apa-apa, kita pula hancur dimamah perasaan sendiri.

Khamis, Ogos 05, 2021

Lepat Labu Lapek Sagan

Assalamualaikum. Entri pertama saya untuk bulan lapan. Baru hari ini berpeluang intai tower setelah lima hari asingkan diri dari dunia. Sebenarnya, saya terima satu kerja terjemahan yang perlu disiapkan segera. Jadi, memang pagi petang siang malam translate … terjemah … translate … terjemah. Alhamdulillah, semalam dah selesai semuanya. Bolehlah berlapang dada nak menulis blog. 😊


Kalian suka makan lepat tak? Baru-baru ini, saya rasa teringin hendak makan lepat. Lepat pisang ke … lepat ubi … lepat labu.

Dapat pula tiba-tiba Bott cakap mahu keluar beli nasi lemak masjid. Gerai yang menjual hidangan sarapan di hadapan masjid kariah tempat tinggal kami ini memang biasanya ada orang letak aneka kuih lepat di situ. Terus kirim pada Bott. Mudah-mudahan adalah rezeki saya.

Alhamdulillah, Bott balik dengan ketiga-tiga lepat yang saya idamkan. Punyalah saya teruja, belum siap bancuh kopi, satu lepat ubi saya dah habis makan. Apabila hendak makan lepat labu, saya terkejut sendiri. Ini bukan lepat labu, ini lapek sagan!

Lapek Sagan dan Lepat Pisang

Lapek Sagan atau lepat segan merupakan hidangan yang berasal dari Minangkabau, Indonesia. Lepat ini mendapat nama daripada frasa 'sagan karajo' (malas kerja) dek kerana cara pembuatannya yang sangat mudah dan memerlukan sedikit bahan yang biasanya ada di dapur rumah kita - pisang, beras pulut, gula merah dan kelapa parut. Kiranya, disebabkan penyediaannya yang ringkas, orang yang malas pun mampu buat lapek sagan ni.

Selasa, Ogos 03, 2021

Kerabu Taugeh Kacang Botol

Kerabu taugeh kacang botol ini sebenarnya dah lama saya buat. Terperuk dalam draf. Hari ini kemas-kemas apa yang patut baru perasan ada beberapa entri resepi yang belum saya terbitkan lagi. Bagi penggemar kerabu atau urap, kalian akan suka hidangan ini. Dapat lauk kerabu sebegini, makan ratah begitu sahaja pun sedap! Kerangupan kacang botol dan taugeh segar memang akan buat suapan kita berulang.

Untuk kerabu ini, saya tidak menggunakan kerisik atau kelapa parut sangai. Sebaliknya, ramuan asas yang digunakan ialah ramuan untuk buat Sambal Matah Bali.


Lihat juga: Kerabu Jambu Batu


Resepi Kerabu Taugeh Kacang Botol

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 3-5 biji bawang merah atau 1 labu bawang besar dihiris halus. Jika suka guna banyak bawang, boleh lebihkan sesuai selera.
  • 5 ulas bawang putih dihiris halus.
  • + 2.5 cm belacan. 
  • 2 batang serai dihiris halus.
  • 5-7 helai daun limau, dibuang urat di tengah dan dihiris halus.
  • Cili api segenggam kecil, dihiris halus.
  • Segenggam taugeh
  • Beberapa batang kacang botol, dihiris.
  • 3-4 sudu besar minyak kelapa. Jika tiada, boleh sahaja digantikan dengan minyak canola, minyak bunga matahari atau minyak masak biasa.
  • Garam secukup rasa jika perlu.

Isnin, Ogos 02, 2021

Buat Karipap Air Fryer

Minggu lepas, saya buat karipap air fryer. Tiba-tiba teringin hendak makan karipap. Dah teringin tu kenalah usaha untuk buat, kan? Alhamdulillah, bahan-bahan asas semua ada. 

Projek buat karipap pun bermula. Tetapi, jangan salah faham ya. Bukan semua proses pembuatannya menggunakan air fryer. Inti karipap saya buat seperti biasa dalam kuali. Cuma bab goreng karipap tu sahaja guna air fryer

Untuk inti karipap, saya buat main agak-agak sahaja. Kentangnya saya rebus dan lenyek terlebih dahulu sebelum dimasak dengan rempah kari dan bahan-bahan lain. Dahulu, di kawasan perumahan kami, ada orang jual karipap inti lenyek ni. Saya dan adik-beradik memang suka sangat beli dan makan panas-panas.

Kulit karipap pula saya guna resepi di bawah. Tetapi, saya buat setengah adunan sahaja. Dapatlah dalam 24 - 26 biji.

Resepi Kulit Karipap

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 500g tepung gandum
  • 2 sudu makan mentega
  • 1/4 sudu teh garam
  • 1/2 cawan minyak masak
  • 1 cawan air dingin

Langkah penyediaan:

  1. Mula-mula, satukan tepung gandum dan garam. Gaul sekata.
  2. Panaskan minyak masak. Setelah panas, masukkan mentega supaya turut cair bersama minyak masak.
  3. Tuangkan minyak dan mentaga cair ke dalam tepung dan gaul dengan garpu sehingga tekstur menjadi seperti serbuk roti. 
  4. Sesudah itu, masukkan air dingin (air sejuk dari peti sejuk) sedikit demi sedikit dan uli sehingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan. Saya akan biarkan doh rehat dalam lebih kurang satu jam. Sementara itu saya siapkan intinya. 😊

Proses mengelim karipap