Isnin, Januari 31, 2022

9 Makanan Membantu Mengurangkan Nafsu Makan

Awal-awal tahun ni, saya masih gigih dan berkobar-kobar lagi jaga pemakanan, pantau aktiviti fizikal. Maklumlah hujung tahun lepas banyak lupa diri (baca: lupa kawal makan, lupa exercise) Esok lusa tidak tahu lagi. Harap-harap saya dapat terus konsisten.

Sekarang, masalah utama saya ialah selera makan yang tidak terkawal. Mulut tu asyik hendak mengunyah sahaja. Kadangkala bukan lapar pun, tapi mulut terlebih sunyi. 🤣

Jadi, mulalah episod saya menyusun balik pola makan. Gali balik tips dan ilmu pemakanan yang boleh dipraktikkan semula. 

Di bawah ini, saya ingin kongsi bersama-sama kalian beberapa makanan yang boleh dimasukkan ke dalam diet harian kerana makanan-makanan ini dapat mengekang selera selanjutnya membantu mengurangkan nafsu makan. Tidaklah terlajak makan nanti.


Natural Appetite Suppressants

Sabtu, Januari 29, 2022

Kerabu Kulit Tembikai yang Rangup dan Mudah Disediakan

Minggu  lepas, Bott beli tembikai. Kulitnya awal-awal kami asingkan, tidak dibuang sebab teringin hendak buat kerabu kulit tembikai. Bahan-bahan untuk menyediakan kerabu kulit tembikai ini tak banyak pun. Nak buat pun mudah. Alhamdulillah, puas kami berdua makan. 


Jom intai resepi di bawah.


Hidangan Kerabu Kulit Tembikai


Resepi Kerabu Kulit Tembikai

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Kulit tembikai - dikupas kulit luarnya dan dihiris memanjang. 
  • 1 biji bawang besar dihiris
  • 5-6 biji cili padi dihiris
  • sebiji tomato dipotong dadu
  • beberapa helai daun limau diracik halus
  • sedikit perahan jus limau kasturi (*)
  • sedikit air asam jawa (*)
  • sedikit belacan (*)
  • sos ikan (*)
  • garam (hanya jika perlu)

Bahan-bahan bertanda (*) tiada sukatan khusus. Saya main agak-agak sahaja sesuai selera. Jika ingin rasa masam lebih, lebihkanlah penggunaan air asam jawa dan jus limau kasturi. Jika suka rasa belacan yang ketara, banyakkan kandungan belacan.

Selain itu, bahan lain yang boleh dimasukkan ke dalam kerabu kita ialah udang kering dan kacang tanah yang disudah disangai. Tetapi, untuk sajian kali ini saya memang tidak letak.


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Satukan hirisan kulit tembikai, bawang, cili padi dan tomato di dalam sebuah mangkuk.
  2. Masukkan perahan jus limau kasturi, air asam jawa, belacan, sos ikan dan racikan daun limau. Gaul sehingga semua bahan jadi sekata. Tambah garam hanya jika perlu kerana kita sudah guna belacan dan sos ikan.
  3. Sedia untuk dihidangkan.




Tips untuk kerabu tembikai yang rangup dan menyelerakan.

  1. Untuk kulit tembikai rangup krup krap krup krap apabila dimakan, rendamkan kulit tembikai dengan ais dan setengah sudu kapur makan buat beberapa ketika. Andai rasa renyah hendak guna air kapur, boleh sahaja langkau proses ini. Kulit tembikai tetap rangup tetapi tak bertahan lamalah. Akan soggy sedikit.
  2. Masukkan ke dalam peti sejuk selama beberapa jam sebelum dinikmati. Kerabu kulit tembikai ini lebih sedap dihidangkan dingin.

Selamat mencuba dan mengolah resepi kerabu kulit tembikai. Selain dibuat kerabu, kulit tembikai boleh juga dimasukkan ke dalam gulai lemak (pautannya saya kongsi di atas) atau lauk taucu. 

Jumaat, Januari 28, 2022

Pilih Kopi dan Lihat Gambaran Personaliti Anda

Assalamualaikum. Mudah-mudahan kalian semua baik-baik sahaja hari ini. Jom main pilih-pilih! Kalian jenis kopi yang mana?

Kredit Imej - Instagram Something's Brewing

Khamis, Januari 27, 2022

Kintry Gift Box yang Hantar Segantang Ceria

Sebelum ini melalui entri Warna-warna Pastel yang Menggembirakan, saya ada kongsi mengenai Kintry Gift Box pemberian adik saya, si Cekengah. Namanya Kintry Anak Malaysia Gift Box.


Kintry Anak Malaysia Gift Box

Cantiknya! Berwarna-warni! Memang apabila buka bungkusan dan nampak kotak ni, automatik jadi ceria dan gembira! 😂 Kintry bekerjasama dengan artis berbakat Fazarizan Mukhtar dalam menghasilkan ilustrasi menarik untuk pembungkusan kotak hadiah ini. Semangat Malaysia sangat!

Selasa, Januari 25, 2022

Nasi Goreng Sardin Tak Cukup Sepinggan

Assalamualaikum. Apa khabar semua? Lama juga saya tidak bersiaran di blog ini. Sebenarnya, minggu lepas pergi cuti-cuti. Kononnya nak berehat. Cuti dekat-dekat sini je. Tak ke mana pun. Duduk di dalam bilik, baca novel, layan filem dan TV shows, cukup waktu turun pergi makan, jalan-jalan ambil angin, mengopi, ulang. Tak fikir pasal kerja, tak fikir pasal blog. Bila masuk tower, boleh buat-buat terkejut pula, "Lamanya aku tak masuk blog?" 😂

Cerita cuti-cuti cerita lain kalilah. Hari ini cerita tentang nasi goreng sardin yang sedap, menyelerakan sehingga makan bertambah-tambah. Tak cukup kalau cuma sepinggan. Hahaha ayat bukan main lagi! Saya yang masak, kalau tak sedap pun kena mengaku sedap juga. Kira masuk bakul angkat sendirilah ni.

Ala, dah nama pun lauk sardin, apa yang tak sedapnya, kan? Buatlah hidangan apa sekali pun, sandwic, gulai, pasta, nasi goreng ... asal ada sardin mesti laku.

Buka peti sejuk, ada dua tiga ketul ikan sardin lebihan sambal sardin lauk semalam. Masa untuk nasi goreng sardin! Saya memang gemar nasi goreng. Rasa-rasa malas fikir hendak masak apa, nasi goreng jadi pilihan utama. Pelbagai olahan nasi goreng boleh disediakan hanya dengan menggunakan bahan yang minima. Campak-campak pun jadi!


Nasi Goreng Sardin

Ahad, Januari 16, 2022

Kacang Kuda Sos Korea Adabi

Assalamualaikum. Salam Ahad! Selamat bersantai dan beristirahat.

Belakangan ini memang tidak sempat hendak masuk blog. Saya sibuk bantu beberapa orang pelajar buat persediaan untuk peperiksaan IGCSE. Dengan saya kena belajar sekali. Hari ini baru ada kelapangan intai blog.  Insya-Allah, kalau mata ini tidak berat dapatlah saya blogwalking sebentar lagi.

Kalian suka makan kacang kuda rebus tak? Biasa makan begitu sahaja atau yang berperasa dan bersira? Kalau suka makan kacang kuda, apa kata cuba buat kacang kuda rebus guna Sos Korea Adabi. Ya, kita guna Sos Korea Adabi. Lebih kurang macam kacang kuda pedas yang kita buat dengan cili giling cuma yang ini ada sentuhan rasa Korea. Best

Asalnya saya sedang kemas-kemas stok barang masak di dapur. Jumpalah satu pek Sos Korea Adabi. Dah lama beli konon-konon nak buat ayam goreng korea. Tetapi, setiap kali masak hidangan ayam, tahu-tahu sediakan menu ayam lain pula. Ayam geprek la ...ayam goreng mamak la ... . Sudahnya terbiar sepi sahaja pek sos ini di dalam almari.

Kebetulan saya baru lepas rebus kacang kuda untuk snacking. Lazimnya, saya makan kacang kuda rebus begitu sahaja tanpa garam atau perasa lain kalau time gatal gigi nak mengunyah. Tidak pun, jika ingin ubah selera, saya tumis sedikit bawang dan daun kari, letak sedikit garam dan gaulkan kacang kuda yang telah direbus. Dahulu, masa kecil-kecil Cekebon selalu buat begini. Memang penuhlah mulut saya makan. 

Kacang Kuda Rebus Bersalut Sos Korea Adabi



Apa itu Cold Brew Coffee

Makluman: Ini entri lama yang secara tidak sengaja statusnya jadi draf.  Saya terbitkan semula. 

Pernah cuba cold brew coffee?

Kopi Bru Sejuk

Ini percubaan pertama saya. Selama ini, setiap kali teringin menikmati kopi bru sejuk (cold brew coffee), saya akan fikir dua tiga kali. Kononnya malas hendak menunggulah, kena ada kesabaran tinggilah ... Hahaha, jikalau hendak seribu daya, bukan? Okey, sebelum itu, mari kita belajar sedikit apa itu cold brew coffee dan mengapa proses bru yang ini berbeza dengan hot brew coffee.

Kebiasaannya, apabila kita hendak bancuh atau bru kopi kita akan guna air panas. Ini kita panggil hot brew. Haba panas yang kena pada serbuk kopi akan keluarkan minyak pada serbuk kopi tersebut. Dari situlah datangnya rasa pahit-pahit kopi. Sifatnya akan jadi berasid. Jadi, itulah sebabnya sesetengah orang alah pada kopi sebab tak tahan dengan keasidannya.

Cold brew coffee berbeza kerana kopi dibru menggunakan air sejuk atau air pada suhu bilik. Tetapi, proses penyediaan kopi bru sejuk mengambil masa lebih kurang satu hari satu malam! Kita bru kopi dalam tempoh 12 - 24 jam. Maknanya, kalau tiba-tiba rasa teringin cold brew coffee, bertindak segera rendam kopi hari ini supaya dapat minum pada esok hari.

Rabu, Januari 12, 2022

Kerepek Ngaku yang Rangup dan Sedap, Tak Henti Mengunyah

Tahun ini hendak buat sendiri kerepek ngaku banyak-banyak! Biar puas makan. Itulah hasrat saya setelah beberapa tahun tidak berpeluang makan kerepek ngaku. Kerepek ngaku ni mudah sahaja cara membuatnya. Tetapi, hendak dapatkan ngaku itu yang sukar. 

Ngaku, tangku atau turut dikenali sebahai China arrowhead ni kira buah bermusim. Setahun sekali je jumpa. Waktu raya Cina beginilah.

Semalam pergi beli barang dapur, berkobar-kobar semangat ingin beli ngaku. Malangnya tiada rezeki. Jangankan buahnya, tonjet (tangkai) ngaku pun tak nampak bayang! Bagi yang kurang jelas bagaimana rupa buah ngaku, ini saya kongsi gambar lama.


Ngaku | Tangku | China Arrowhead 

Isnin, Januari 10, 2022

Buat Roti Jala untuk Sarapan

Assalamualaikum. Selamat memulakan minggu baharu. Pagi ini saya sarapan roti jala. Semalam tengah-tengah buat kerja tiba-tiba pula boleh terlintas hendak makan roti jala.

Lepas Subuh terus masuk dapur. Nak menebar roti, nak buat kari ayam … kuali leper dahlah ada sebuah je di rumah ni. Jadi, makan masa sedikitlah hendak siapkan rotinya.

Alhamdulillah, inilah hidangan sarapan saya.

Roti jala lembut gebu nyum nyumm

Ahad, Januari 09, 2022

Rezeki Sangkut Pagar

Assalamualaikum. Ahad kalian okey tak setakat ini?

Saya dua hari ini duduk di rumah sahaja. Tidak ke mana-mana. Badan rasa macam tak sihat sangat. Jadi, tak perlulah rajin sangat nak merayau. Cubalah cari mood untuk tulis entri.

Rezeki sangkut pagar ini kisah saya semalam. Pagi-pagi lagi apabila tengok cuaca cantik, saya terus grabbed Yuri untuk mandikan dia. Bulu dah macam ambal lunyai saya tengok. Sekali-sekala keliru juga, ini kucing ke tenggiling?

Tengah bergelut mandikan Yuri, tiba-tiba dapat panggilan daripada Khudri, anak jiran lama saya yang datang hantar makanan. Apabila saya cakap saya sedang mandikan Yuri (Bott pula tiada di rumah ketika itu), terus dia gelak besar dan beritahu yang dia sangkut makanan pada pagar. Sebelas tahun jaga kucing seekor ini, usaha memandikan Yuri memang tidak pernah mudah. 

Selesai sesi lencun bersama Yuri (dan kemungkinan besar saya juga berjaya melengkapkan satu sesi kardio), saya keluar ambil makanan. Tersengih-sengih seorang diri apabila lihat apa yang tergantung di pagar rumah.

Lontong Pecal Saujana Utama dan Roti John Ayam

Lontong pecal dan roti John

Jumaat, Januari 07, 2022

Mi Udon Bolognese

Assalamualaikum. 

Nama resepi bukan main fusion lagi, kan? Mi Udon Bolognese. Konon-konon menu kacuk negara matahari terbit dengan Itali. Hakikatnya, ini hidangan leftover. Saya kelaparan. Buat kerja di komputer sampai terlajak waktu makan. Mulalah menyelongkar peti ais tengok lebihan makanan yang boleh dimakan.

Ada beberapa batang sosej ayam yang Cekengah beri. Dia pergi bersarapan di luar, pesan menu Big Breakfast. Memang betul-betul big! Dalam pinggan tu (mungkin boleh tepat lagi dulang hahaha) ada segala macam benda - telur dadar, sosej, chicken slice, beef slice, salami, pepperoni. Belum campur dengan dua tiga jenis roti, dua tiga jenis keju dan jem. Tidak ketinggalan salad. 

Terkejut jugalah Cekengah melihat saiz hidangan. Sudahnya, dia berkongsi makan dengan kawan yang turut memesan menu sama. Bahagian dia, bungkus bawa balik hantar pada Along.

Mula-mula ingat nak buat roti sosej sahaja. Tetapi, takut tak kenyang! Pagi tadi dahlah tidak ambil sarapan berat. Jadi, untuk hidangan merarap yang dah nak membawa ke waktu minum petang, saya masaklah proper meal yang mengenyangkan.

Mi Udon Bolognese

Khamis, Januari 06, 2022

Seperti Berewok Pulang ke Dagu

Assalamualaikum.

Dari hujung minggu lepas kecoh pasal janggut! Janggut rebonding, janggut tanglung, janggut kena iron, janggut ikut sunnah, janggut Maharaja Cina … .

Tak sangka isu cambang bauk boleh jadi tular satu Malaysia. Apabila sudah tular, perkara tersebut tidak akan berakhir di situ sahaja. Mulalah sesak media sosial dengan pelbagai hantaran, ciapan dan perkongsian berkaitan janggut.

Tidak cukup itu, iklan produk untuk janggut muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan. Pomade untuk janggut … krim untuk lebatkan janggut …. Yalah, kenalah ambil peluang sementara isu janggut masih relevan dan hangat diperkatakan. 😂

Tetapi, dalam banyak-banyak itu saya rasa hantaran infografik DBP paling mencuri perhatian saya. Pihak DBP memanfaatkan isu janggut yang kini sohor di media-media sosial untuk membawa perhatian umum kepada peribahasa lama - seperti janggut pulang ke dagu.


Rabu, Januari 05, 2022

Wordless Wednesday - MINI

 

Rafael Selgado Refined Olive Pomace Oil Blend with Extra Virgin Olive Oil 40ml


Selasa, Januari 04, 2022

Doa Mohon Hindari Penyakit Nyanyuk

Sebelum ini saya pernah tulis entri berkaitan doa dan  zikir yang patut dibaca apabila kita terlupa sesuatu juga doa untuk elak lupa. Boleh lihat entri ini. Hari ini saya ingin berkongsi satu lagi doa yang bermanfaat buat kita semua - doa agar dihindari daripada penyakit nyanyuk.

Nyanyuk sering dikaitkan dengan faktor lanjut usia dan kesihatan seseorang. Pada dasarnya nyanyuk merupakan masalah gangguan pada fungsi kognitif sehingga mengakibatkan seseorang itu menjadi pelupa, menghadapi kesukaran untuk berfikir dan mengalami masalah daya ingatan yang teruk. Nyanyuk juga sering dikaitkan dengan Alzheimer dan Dementia.

Dari segi perubatan, terdapat pelbagai kaedah yang boleh digunakan untuk mengawal kondisi pesakit nyanyuk dan mengurangkan perkembangan nyanyuk ke tahap yang lebih serius. Saya tidak akan bincangkan tentang itu. Kalian boleh baca pelbagai artikel berkenaan penyakit ini di internet.

Hari ini, saya cuma ingin kongsi doa. Sama-samalah kita konsisten berusaha amalkan doa ini agar dengan izin-Nya kita akan terpelihara dari penyakit nyanyuk. Mudah-mudahan Allah jaga fungsi otak dan daya ingatan kita.

Doa Mohon Hindari Penyakit Nyanyuk



Beli Teh Kamomil Lale di Mahnaz Food

Saya memang penggemar kopi tetapi pada masa yang sama saya rajin juga bereksperimen dengan pelbagai jenis teh yang terdapat di pasaran.

Sekali-sekala tukar selera apa salahnya, kan? Lagi pula sekarang ini ada beraneka teh di pasaran. Dari daun teh, serbuk teh hinggalah bunga-bungaan yang dikeringkan. Ada yang dalam uncang, dalam bentuk stick yang merembes keluar apabila direndam ... macam-macamlah. Teh cold brew yang uncang boleh terus rendam dalam air sejuk pun ada.

Baru-baru ini saya beli teh kamomil. Sebenarnya, saya tiada jenis atau jenama tertentu untuk produk teh. Tetapi, teh kamomil memang akan sentiasa ada sebab merupakan antara kegemaran saya.

Kamomil ialah bunga dari spesies tumbuhan Asteraceae yang kelihatan seperti bunga daisy. Bunga dan tangkainya dikeringkan untuk dijadikan teh.

Teh bunga kamomil

Ahad, Januari 02, 2022

Kopi Labu untuk Cuaca Dingin

Assalamualaikum. Salam 2 Januari! Setakat ini 2022 okey? 

Di tempat saya, semalam hujan sepanjang hari. Sekejap lebat, sekejap gerimis. Gusar kalau hujan tidak berhenti, nanti kawasan yang rendah naik air lagi. Alhamdulillah, hari ini tidak hujan. Tetapi, dari pagi sehinggalah menjelang tengah hari cuaca sejuk sangat. Kedinginan saya dibuatnya. 

Dah kesejukan tu, mulalah mencari kopi. Siap cakap dengan diri sendiri, sejuk-sejuk begini kena buat kopi istimewa. Extra lemak berkrim, extra sedap. 


Secangkir kopi labu.

Kopi labu untuk cuaca dingin


Abaikan contengan sos coklat yang saya lukis di atas kopi tersebut. Semasa hendak ambil gambar, saya terima panggilan telefon. Terabailah kopi saya sebentar. Buih kecil surut, sos coklat tu pun dah tenggelam sedikit apabila saya kembali.

Kopi labu ini mengandungi puri atau pes labu. Sebelum ini saya ada beli sebiji buah labu yang boleh tahan besar saiznya. Macam-macam hidangan dah saya hasilkan, masih ada baki lagi. Jadi, saya buat puri labu, masukkan ke dalam kiub ais dan dinginbekukan. Lebih kurang cara saya bekukan cili kisar yang saya kongsikan di sini.

Mudahlah nanti hendak guna kiub puri labu jika ingin bancuh kopi atau masak hidangan pasta labu. 


Pernah cuba kopi avokado? Kopi avokado atau kopi alpukat pun sedap tau. Nak cuba? Lihat resepi di sini.


Resepi Kopi Labu Tahun Baharu 😊

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 cawan susu pilihan. Kali ini saya guna susu badam.
  • 2 sudu besar puri labu
  • 2 sudu teh sirap mapel atau madu
  • 1/2 sudu teh ekstrak vanila
  • 1/2 sudu teh rempah pai labu. Jika tiada rempah pai labu, boleh juga tukar kepada serbuk buah pala atau serbuk kayu manis. Tetapi, untuk serbuk buah pala saya sarankan guna 1/4 sudu teh dahulu. Bimbang terlalu kuat rasanya untuk kopi yang dibancuh.
  • 1/2 cawan kopi yang telah dibru. Ini saya bru pakai mesin kopi biasa. Perlukan setengah cawan sahaja kerana nanti kita hendak gabungkan dengan campuran susu dan labu.


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Masak susu, puri labu, sirap mapel, ekstrak vanila dan rempah pai labu di atas api sederhana selama beberapa minit. Kacau hingga semua bahan larut sekata. Tidak perlu tunggu sehingga campuran susu mendidih membuak-buak. Memadai dengan buih-buih kecil halus di permukaan susu.
  2. Pindahkan campuran susu hangat tadi bersama kopi ke dalam pengisar. Kisar seketika supaya bancuhan tergaul sebati dan lapisan froth dapat dihasilkan. Tuang ke dalam kole, sedia untuk dinikmati.

Jika miliki milk frother, lakukan langkah 1 menggunakan milk frother. Setelah itu masukkan ke dalam kole yang berisi kopi panas.


Selamat mencuba!


Psstt! Terima kasih kerana sudi datang jenguk blog saya. Nanti perlahan-perlahan saya balas kunjungan kalian ya. 



Sabtu, Januari 01, 2022

Selamat Menggubah Rapsodi Bahagia Dua Kosong Dua Dua

Assalamualaikum. Salam 2022! Selamat tahun baharu!


Ya Allah, jadikanlah hari ini,
di pagi hari penuh dengan kebaikan, 
di tengah hari disuburi dengan kebajikan dan 
di akhir hari penuh dengan keberkatan dan redha-Mu, Ya Allah.

Salam Dua Kosong Dua Dua