Assalamualaikum. Entri pertama saya untuk bulan lapan. Baru hari ini berpeluang intai tower setelah lima hari asingkan diri dari dunia. Sebenarnya, saya terima satu kerja terjemahan yang perlu disiapkan segera. Jadi, memang pagi petang siang malam translate … terjemah … translate … terjemah. Alhamdulillah, semalam dah selesai semuanya. Bolehlah berlapang dada nak menulis blog. 😊
Kalian suka makan lepat tak? Baru-baru ini, saya rasa teringin hendak makan lepat. Lepat pisang ke … lepat ubi … lepat labu.
Dapat pula tiba-tiba Bott cakap mahu keluar beli nasi lemak masjid. Gerai yang menjual hidangan sarapan di hadapan masjid kariah tempat tinggal kami ini memang biasanya ada orang letak aneka kuih lepat di situ. Terus kirim pada Bott. Mudah-mudahan adalah rezeki saya.
Alhamdulillah, Bott balik dengan ketiga-tiga lepat yang saya idamkan. Punyalah saya teruja, belum siap bancuh kopi, satu lepat ubi saya dah habis makan. Apabila hendak makan lepat labu, saya terkejut sendiri. Ini bukan lepat labu, ini lapek sagan!
|
Lapek Sagan dan Lepat Pisang |
Lapek Sagan atau lepat segan merupakan hidangan yang berasal dari Minangkabau, Indonesia. Lepat ini mendapat nama daripada frasa 'sagan karajo' (malas kerja) dek kerana cara pembuatannya yang sangat mudah dan memerlukan sedikit bahan yang biasanya ada di dapur rumah kita - pisang, beras pulut, gula merah dan kelapa parut. Kiranya, disebabkan penyediaannya yang ringkas, orang yang malas pun mampu buat lapek sagan ni.