Kuih Bom Bijan Inti Kentang

Khamis, Februari 15, 2024

Ada yang panggil kuih bom...  kuih bijan… kuih bom bijan. Ada juga yang panggil onde-onde manis. Apapun namanya, kuih ini memang antara kuih tradisional kegemaran saya. Saya paling suka bahagian kulit luarnya. Inti tidak kisah inti apa… inti kelapa manis ke… kacang hijau ke… janji kulit luar tu best

Pernah masa musim PKP dulu, walaupun bahan serba tak cukup saya buat juga kuih bom bijan ini semata-mata hendak menikmati kulitnya. Itu yang jadi kuih bom mentega kacang tanpa salutan bijan tu. Janji lepas craving kulit kuih bom sudah. 😂

Kali ini saya buat kuih bom inti kentang. Memang ada sesetengah adunan kuih donat dan kuih bom menggunakan kentang yang telah dilenyek untuk mendapatkan tekstur kulit yang lebih lembut. Tetapi, kuih bom yang saya buat ini tidak guna kentang untuk doh kulit sebaliknya kentang dijadikan sebagai inti.


Kuih bom sedia untuk digoreng.

Semasa buat rasa dah cukup bulat kuih bom saya tetapi apabila tengok gambar ... alahai, banyak pula bucu dan benjol di sana sini. Mungkin semasa golek doh dengan bijan tu saya tidak cukup lemah gemalai. Itu yang jadi tidak sempurna bulatnya. 😂

Siap digoreng!

Mujurlah rupa paras selepas digoreng masih kelihatan seperti kuih bom hahaha! Okey, jom tengok resepi. Saya tidak gunakan tepung pulut sepenuhnya. Saya letak tepung gandum sedikit supaya kulit luar kuih tidak jadi terlalu keras atau liat sesudah digoreng. Yang lembut beginilah yang tak cukup sebiji kalau makan, lagi-lagi ketika masih panas.


Resepi Kuih Bom yang Sedap, Lembut dan Tidak Liat


Bahan-bahan yang diperlukan:

Untuk kulit

  • 2 cawan tepung pulut
  • 1/2 cawan tepung gandum
  • 3/4 - 1 cawan air
  • 1/2 sudu teh garam
  • bijan putih secukupnya untuk saluti kuih

Untuk inti kentang

  • 3 - 4 biji kentang bersaiz sederhana, direbus kemudian dilenyek
  • perasakan dengan serbuk lada sulah dan garam secukup rasa


Langkah-langkah penyediaan:
  1. Masukkan tepung pulut, tepung gandum dan garam ke dalam sebuah mangkuk sederhana besar. Gaul sehingga semua sebati.
  2. Kemudian, masukkan air sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan.
  3. Gentel menjadi bebola kecil mengikut saiz yang dikehendaki, letak inti kentang dan bulat-bulatkan.
  4. Gelekkan kuih dengan bijan putih sehingga permukaan luar tersalut sepenuhnya.
  5. Goreng dengan api sederhana sehingga warna bertukar keperangan. Sedia untuk dihidangkan.


Tips Goreng Kuih Bom Supaya Tidak Pecah atau Merekah

Untuk dapatkan kuih bom atau kuih bijan yang cantik, yang tidak pecah atau merekah, ini tips yang boleh kalian praktikkan.

Rehatkan kuih sebelum digoreng

Setelah siap masukkan inti dan salut dengan bijan, jangan goreng terus kuih bom kita. Seeloknya, kuih direhatkan sekejap. Susun kuih dalam pinggan atau dulang, kemudian tutup kuih dengan sehelai kain lembap. Biarkan selama satu hingga dua jam. Dengan cara ini, insya-Allah kuih bom akan tetap cantik bulat rupa parasnya tanpa rekahan setelah digoreng.


Jom tengok inti kentang di dalam kuih pula.

Kuih bom bijan inti kentang lenyek

Dari luar kulit sehinggalah ke intinya, semua lembut, gebu dan tak liat. Memang akan enjoy bila makan. 


Kuih Bom, Kuih Bijan Frozen

Jika hendak buat kuih bom bijan frozen pun boleh guna resepi ini. Kita dah nak masuk bulan puasa... tak lama je lagi. Manalah tahu ada yang hendak buat stok kuih untuk sahur atau berbuka sepanjang Ramadan. Bolehlah pertimbangkan untuk buat kuih ni.

Goreng sekejap sahaja cukup sekadar untuk kekalkan bentuk kuih. Biarkan sejuk. Kemudian, simpan di dalam peti dingin beku. Apabila hendak dinikmati, goreng kuih sehingga masak. Selalunya saya goreng di dalam air fryer sahaja.


Selamat mencuba!


8 ulasan

  1. saya tak pernah buat
    tapi pernah terbeli
    inti kentang ni
    memula rasa pelik
    tapi telan je laa...
    takkan nak buang pula kannn

    BalasPadam
  2. mama sy, utk kulit tu dia campurkan sikit dgn keledek rebus then uli mcm biaasa. ia bagi elak liat walaupun dah sejuk. letak sikit pun dah memadai...

    BalasPadam
  3. antara kuih favourite masa kecik tp yg berintikan kelapa manis tulah. skrg ni takut juga nak makan...tapi sesekali layan juga seketul

    BalasPadam
  4. kulit kuih ni mainkan peranan penting. kalau kulit tak sedap, the whole jadi tak sedap

    BalasPadam
  5. sedasp ni... buah tradisi yg wajib ada waktu raya..

    BalasPadam
  6. Kue favoriiiit saya 😍😍😍. Kalo di sini namanya onde-onde kak.

    Saya kaget saat ke Korea Utara 2019 lalu, di salah satu restoran dia juga menyajikan onde2. Ternyata kalo menurut guide, ondel2 ini memang asal pertama dari China kan. Dan karena Korea Utara juga sahabat China, pastilah kue ini ada juga di sana.

    Dulu saya pikir asalnya dari Asia tenggara. Kalo tak Singapur, Indonesia atau malaysia. Ternyata China .

    Rasa onde onde yg di Korea Utara pun sama persiiiis dengan yg saya coba di Indonesia, isinya kacang atau kentang gitu lah. Manis dikit. Sedaap memang

    BalasPadam
  7. Lama tak makan kuih bom . Selalu CCL makan inti kacang hijau . Kalau berintikan kentang ni belum pernah rasa

    BalasPadam
  8. Puas hati kalau buat sendiri kan. Unik sikit inti kentang, biasa inti kelapa tu.

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.