Resepi Kuih Bom Mentega Kacang | Kuih Bijan

Isnin, November 16, 2020

Assalamu'alaikum,

Kuih Bom Mentega Kacang. Kuih Bijan Mentega Kacang. Bebola Mentega Kacang. Sebenarnya tidak ada nama spesifik untuk kuih ini. Ini kuih musim PKP. Lama peram dalam draf. Baru hari ini sempat terbit entri. 

Waktu tu, saya teringin sangat hendak makan kuih bom. Tidak kiralah yang intinya kelapa parut manis atau inti kacang, janji kuih bom. Tetapi, manalah nak cari. Zaman PKP beberapa bulan dahulu kan gerai-gerai kecil ni tidak boleh berniaga.

Makanya, saya cuba buat sendiri. Dah nama pun kuih musim PKP, guna bahan apa yang ada dalam pantri sahajalah. Yang penting, dapat menikmati tektur kuih bom yang kenyal-kenyal dengan inti manis.

Tanpa bijan putih, inilah kuih bom togel saya. Berintikan lepa kacang. Kebetulan, mentega kacang saya ini dah nak tamat tempoh. Kita jadikan kuih supaya tidak membazir. OK, jom intai resepi.


Resepi Kuih Bom Mentega Kacang | Kuih Bijan


Bahan-bahan yang diperlukan:
  • 2 cawan tepung pulut
  • 1/2 cawan tepung gandum
  • 3/4 - 1 cawan air
  • 1/2 sudu teh garam
  • bijan putih secukupnya untuk saluti kuih
  • mentega kacang secukupnya untuk inti kuih

Langkah-langkah penyediaan:
  1. Masukkan tepung pulut, tepung gandum dan garam ke dalam sebuah mangkuk sederhana besar. Gaul sehingga semua sebati.
  2. Kemudian, masukkan air sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan.
  3. Gentel menjadi bebola kecil mengikut saiz yang dikehendaki, letak inti dan bulat-bulatkan.
  4. Gelekkan kuih dengan bijan putih sehingga permukaan luar tersalut sepenuhnya.
  5. Goreng dengan api sederhana sehingga warna bertukar keperangan. Sedia untuk dihidangkan.

Tips Goreng Kuih Bom Supaya Tidak Pecah atau Merekah

Untuk dapatkan kuih bom atau kuih bijan yang cantik, yang tidak pecah atau merekah, ini tips yang boleh kalian praktikkan.

#1 Rehatkan kuih sebelum digoreng
Setelah siap masukkan inti dan salut dengan bijan, jangan goreng terus kuih bom kita. Seeloknya, kuih direhatkan sekejap. Susun kuih dalam pinggan atau dulang, kemudian tutup kuih dengan sehelai kain lembap. Biarkan selama satu hingga dua jam. Dengan cara ini, insya-Allah kuih bom akan tetap cantik bulat rupa parasnya tanpa rekahan setelah digoreng.

#2 Masukkan ke dalam minyak, baru hidupkan api dapur
Tips ini dikongsikan oleh seorang teman, tetapi saya belum pernah mencubanya. Disarankan, apabila kita hendak menggoreng, isi minyak ke dalam kuali pada aras yang menenggelamkan kuih bijan. Tanpa menghidupkan api dapur, masukkan kuih bom ke dalam kuali dan biarkan seketika. Agak-agak kuih dah bersalut minyak, barulah api dipasang dan kuih digoreng sehingga masak.

Cubalah mana-mana yang memudahkan kalian. Jika hendak goreng terus pun tak ada masalah. Jangan tension. Anggap sahaja kuih bom yang merekah tu tengah tersengih ucap 'Moga harimu menyenangkan!'




20 ulasan

  1. Nampak menarik ni...nak plak guna peanut butter yang sihat tu...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bolehlah rasa less guilt sebab guna mentega kacang sihat 😂

      Padam
  2. Sedaplah bubuh inti mentega kacang! Kak Amie suka sangat mentega kacang tau!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kita geng, kak! Sep sikit! Saya memang hantu mentega kacang 😂

      Padam
  3. Kuih bom orang putih. Hehe untuk yang tekak suka mentega kacang.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hahahah feeling-feeling tekak orang putih 😂

      Padam
  4. Nmpk mcm sedap je.. inovasi kueh bom ni 👍🏻👍🏻

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sedap, Kakmim. Saya rasa kalau guna mentega kacang yang crunchy tu mesti lagi mengancam!

      Padam
  5. Memalam skroll kuih muih ni..lapar jadiknya kak😂

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alahai, sorry ... sorry. Pergi cari apa yang boleh mamam kat dapur cepat 😂

      Padam
  6. Baca tips tu aje saya dah boleh agak saya buat mesti tak jadi. Haha. Lemah sikitla bab kuih ni. Beli je, alasan untuk support flow ekonomi.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Usah bimbang, alasanmu amat kukuh sekali 😂

      Padam
  7. rare ni intin mentega kacang...fav kuih bom inti kacang merah tp kt kl susah sgt nk jmpa org jual sbb slalunya inti kelapa org jual..nasibaik mak kita buat jual frozen food kuih bom inti kacang dpt la mkn

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wah, untunglah mama tisya ada stok kuih bom 😂

      Padam
  8. Sedapnya kuih bom.. inti mentega kacang pula.. lagilah umph..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yummeh! Bolehlah Sha buat lepas teringin tekak ni 🤪

      Padam
  9. Masa zaman kanak-kanak riang suka kuih ni.

    BalasPadam
  10. Dah lama tak nampak kuih bijan ni. Biasa nampak gerai tepi jalan jual kuih muih. Kuih yang sedap bila inti dia manis dan banyak.

    Tak pernah lagi rasa inti peanut butter.

    BalasPadam
  11. Cik TK jarang nak buat kuih, sebabnya bentuknya nanti mesti ada je yang kelakar2. Huhuuu

    Macam best isi peanut butter kat dalam tu..!

    BalasPadam
  12. eheheh seksi laaa depa togel cemtu kak.. maluuuu..
    kalau saya mesti ingat tu cekodok pisang besar2 or roti beger malaysia x potong lagi. hehe.. saya suka inti kacang.. kelapa kurang sikit. peanut butter kenooottt.. tapi ikutla selera kita masing2.. hehe.. janji sodap =D

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.