Kentang Ikan Bilis Air Asam
Selasa, Jun 04, 2024
Hari ini memasak edisi menghabiskan apa bahan-bahan yang ada di dapur sebelum pergi shopping barang basah. Mula-mula ingat hendak buat lauk kentang berlada. Tetapi, macam tiada angin nak makan sambal berlada pula. Lebih kepada teringin lauk berkuah yang masam-masam.
Jadi, saya sediakan kentang ikan bilis air asam. Mudah, yang penting sedap! Kentang dan ikan bilis goreng, disimbah dengan air asam. Nikmati dengan nasi panas dan ulam-ulaman. Tentu-tentu bertambah nasi. 😂
Kentang Ikan Bilis Air Asam |
Resepi Kentang Ikan Bilis Air Asam
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 2 - 3 biji kentang. (Kupas kulit, bersihkan, potong dan goreng sehingga empuk.)
- Segenggam atau dua ikan bilis (buang kepala dan bersihkan)
- 1 labu bawang besar (dimayang atau dipotong bulat)
- 5 ulas bawang putih (dihiris) Saya suka lebihkan bawang putih.
- 7 batang cili api (dihiris). Saya belah dua sahaja cilinya. Andai tidak makan pedas, tidak perlu guna cili api.
- 1 cawan air asam jawa (Asam jawa dilarutkan dengan air.) Banyak mana kuantiti yang hendak digunakan bergantung kepada tahap kemasaman yang kalian inginkan.
- garam jika perlu
- minyak masak secukupnya
Langkah-langkah:
- Panaskan minyak, goreng potongan kentang dan ikan bilis. Angkat dan ketepikan.
- Tinggalkan dalam lebih kurang dua sudu minyak. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili api.
- Masukkan air asam jawa. Jangan terus tuang semua. Agak-agaklah kemasamannya. Biarkan seketika hingga mendidih. Perasakan dengan garam jika perlu.
- Untuk kekalkan kerangupan ikan bilis, tuangkan kuah asam ke atas ikan bilis dan kentang hanya apabila lauk sedia untuk dihidangkan.