Kentang Ikan Bilis Air Asam

Selasa, Jun 04, 2024

Hari ini memasak edisi menghabiskan apa bahan-bahan yang ada di dapur sebelum pergi shopping barang basah. Mula-mula ingat hendak buat lauk kentang berlada. Tetapi, macam tiada angin nak makan sambal berlada pula. Lebih kepada teringin lauk berkuah yang masam-masam.

Jadi, saya sediakan kentang ikan bilis air asam. Mudah, yang penting sedap! Kentang dan ikan bilis goreng, disimbah dengan air asam. Nikmati dengan nasi panas dan ulam-ulaman. Tentu-tentu bertambah nasi. 😂


Kentang Ikan Bilis Air Asam

Resepi Kentang Ikan Bilis Air Asam

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 2 - 3 biji kentang. (Kupas kulit, bersihkan, potong dan goreng sehingga empuk.) 
  • Segenggam atau dua ikan bilis (buang kepala dan bersihkan)
  • 1 labu bawang besar (dimayang atau dipotong bulat)
  • 5 ulas bawang putih (dihiris) Saya suka lebihkan bawang putih.
  • 7 batang cili api (dihiris). Saya belah dua sahaja cilinya. Andai tidak makan pedas, tidak perlu guna cili api.
  • 1 cawan air asam jawa (Asam jawa dilarutkan dengan air.) Banyak mana kuantiti yang hendak digunakan bergantung kepada tahap kemasaman yang kalian inginkan.
  • garam jika perlu
  • minyak masak secukupnya


Langkah-langkah:

  1. Panaskan minyak, goreng potongan kentang dan ikan bilis. Angkat dan ketepikan.
  2. Tinggalkan dalam lebih kurang dua sudu minyak. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili api.
  3. Masukkan air asam jawa. Jangan terus tuang semua. Agak-agaklah kemasamannya. Biarkan seketika hingga mendidih. Perasakan dengan garam jika perlu.
  4. Untuk kekalkan kerangupan ikan bilis, tuangkan kuah asam ke atas ikan bilis dan kentang hanya apabila lauk sedia untuk dihidangkan.

Siap! Jemput makan 😊

Pstt! Saya belum sempat balas kunjungan kawan-kawan semua. Tunggu ya. Insya-Allah, saya sampai juga nanti. 

2 ulasan

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.