Memaparkan catatan dengan label Resepi TikTok. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Resepi TikTok. Papar semua catatan

Buat Chilli Oil Garing dan Beraroma

Khamis, November 10, 2022

Baru-baru ini saya buat chilli oil. Bukan jenis curah minyak panas seperti yang lalu-lalang di TikTok tu. Saya buat versi yang kena masak. Kita goreng cincangan bawang putih di dalam minyak bersama beberapa rempah sehingga warnanya bertukar perang keemasan, barulah dimasukkan bahan-bahan lain.

Andai kalian suka nikmati chilli oil yang ada cincangan bawang putih garing ... yang wangi beraroma ... boleh cuba resepi ini.

Resepi Chilli Oil

Minyak cili siap!

Bebola Keledek Viral yang Rangup dan Enak Dimakan

Jumaat, Ogos 12, 2022

Assalamualaikum. 

Sebenarnya sudah beberapa hari asyik tergoda dan terliur tengok bebola keledek viral yang lalu lalang di Instagram dan TikTok. Tetapi, tidaklah tergerak hati untuk cuba masak. Pagi ini dalam tercari-cari apa yang hendak dibuat untuk sarapan, nampak pula beberapa keledek manis dalam bakul.

Apa lagi, teruslah kelentung-kelentang di dapur dengan harapan bebola keledek viral yang diimpikan berjaya jadi hidangan makan pagi.

Alhamdulillah, inilah bebola keledek viral saya. Panas-panas lagi dari kuali.

Bebola Keledek Viral

Resepi Bebola Keledek Manis

Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat bebola keledek manis ini tidak banyak. Langkah-langkah penyediaan pun tidaklah serumit mana. Jom tengok bahan-bahan yang diperlukan!

Bahan-bahan:

  • 400g keledek oren
  • 140 gram tepung ubi kayu
  • 140 gram gula
  • 1 - 2 sudu besar air (digunakan hanya jika perlu untuk melembutkan adunan)
  • minyak masak secukupnya untuk menggoreng jeluk (deep fry)


*Selain keledek oren, resepi bebola keledek ini juga boleh diolah dengan menggunakan keledek ungu atau keledek Jepun.


** Jika diikutkan, sukatan gula yang digunakan sama dengan sukatan tepung ubi. Tetapi, terpulanglah pada selera kalian. Andai tidak mahu bebola keledek kalian terlalu manis, kurangkanlah penggunaan gula sesuai selera.

Lihat juga: Resepi Cucur Keledek Kembung


Cara Buat Keledek Viral Rangup

Pertama sekali, bersihkan keledek. Kupas kulit, potong kepada beberapa bahagian supaya lebih mudah empuk dan kukus.

Keledek saya sedia untuk dikukus.

Setelah keledek empuk, lenyek keledek. Kemudian, masukkan tepung ubi kayu dan gula. Gaul sekata dan uli sehingga menjadi doh seperti di bawah ini. Saya tidak guna kesemua tepung ubi sekali gus. Masukkan secara berperingkat dan uli sampai dapat adunan yang tidak melekat di tangan.

Sekiranya doh agak berderai disebabkan terlebih tepung, masukkan satu ke dua sudu besar air. Jika doh lembik, tambahkan sedikit tepung.

Pucat pula doh saya dalam ni. Sebenarnya warnanya lebih oren :)


Setelah itu, gentel-gentel doh sehingga menjadi bebola kecil. Bulat-bulatkan asal jadi bebola sudah. Tidak perlu teliti sangat kerana semasa proses menggoreng nanti bebola keledek kita akan mengembang bulat dengan jayanya.

♫ Bulat kecil ... bulat kecil ... bebola keledek! 🎝🎜


Selesai proses buat bebola, panaskan minyak masak. Guna api sederhana. Minyak memang kena banyak supaya bebola boleh tenggelam. Kita nak deep fry, kan?

Setelah minyak panas, masukkan bebola dan goreng sehingga agak-agak separuh masak. Proses selepas ini yang penting. Jangan lupa buat! 

Apabila bebola keledek kita sudah separuh masak, gunakan sudip untuk tekan bebola di dalam kuali. Proses ini bertujuan untuk mendapatkan bebola yang ringan, rangup dan berlohong di dalamnya. Jika kita balik-balikkan seperti gorengan biasa, tidak dapat lubang kuih. Nanti tepung dalamnya jadi gooey.

Tekan-tekan seolah-olah kita hendak penyekkan bebola yang sedang digoreng. Jangan bimbang bebola tu jadi pipih ke ... kemik ke .... Bebola akan menjadi lebih ringan dan cantik terbentuk kembungnya. Terus tekan dan tekan lagi sambil menggoreng sehingga kulit luarnya mengeras.

Angkat bebola yang sudah masak cantik. Tuskan minyak. Biarkan sejuk seketika sebelum dihidang.

Maaf, gembira sangat bebola keledek viral saya menjadi sampai lupa untuk ambil gambar bahagian dalam bebola yang berlohong tu. Kalian dapat bayangkan bagaimana, kan?


Nikmatilah dengan senyuman. 😊


Bebola Keledek Viral Guna Air Fryer

Bolehkah bebola keledek ini dimasak menggunakan air fryer? Jadi tak lohong di bahagian dalam bebola? Saya betul-betul terlupa. Hasrat asal hendak cuba goreng sebahagian daripada bebola keledek ini menggunakan air fryer. Tetapi, disebabkan teruja tengok hasil gorengan cantik bulat-bulat guna kuali, tahu-tahu habis semua bebola saya goreng sekali.

Insya-Allah, ada kesempatan lain saya cuba bereksperimen masak bebola keledek viral guna air fryer. Kalau ada antara kalian yang sudah cuba resepi bebola keledek viral ini pakai air fryer, jangan lupa kongsi di sini! 

Sarapan Selepas Lengkap 2 Dos Vaksin

Jumaat, September 03, 2021

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, semalam saya terima suntikan vaksin dos kedua. Lengkap sudah vaksinasi untuk tubuh ini. Saya terima vaksin di klinik kesihatan tempat saya dapatkan rawatan untuk asma dan hipertiroid. Jadi, tak kalut sangatlah. Dekat je dengan rumah.

Saya antara orang yang terawal dapat masuk ke dewan vaksinasi untuk sesi pagi. Tetapi, disebabkan keadaan kesihatan saya, lama sedikitlah kena luangkan masa di dalam bilik pantauan. Mana tahu ada kesan pada pernafasan atau degup jantung. Alhamdulillah, semua okey.

Balik rumah, masih kuat buat itu ini. Tetapi, lengan yang disuntik mula berat dan sengal. Menjelang malam, otot dan sendi sengal-sengal, macam nak demam.


Sarapan Pagi untuk Pulih Tenaga

Pagi ini apabila bangun, badan rasa macam kena rempuh dengan lori. Tak larat betul! Mata memang berat. Nak tutup je rasa. Bott periksa suhu, mujurlah saya tidak demam. 

Mulut saya pula payau semacam. Ada nasi lemak untuk sarapan tapi rasa tak lalu nak makan. Ini sesuatu yang jarang-jarang berlaku. 😂 Jadi, Bott buatkan puding biji chia sementara badan nak kuat. Kebetulan, semalam memang dah rendam biji chia dengan serbuk koko untuk buat puding. 


Peanut butter and jam chia seed pudding

Puding Biji Chia Mentega Kacang dan Jem Rasberi

Puding Biji Chia untuk Sarapan dan Pencuci Mulut

Khamis, Ogos 26, 2021

Biji chia atau chia seed banyak manfaatnya untuk kesihatan. Mengandungi serat, antioksida, Omega-3, protein dan pelbagai vitamin dan mineral, pengambilan chia seed baik untuk jantung, sistem pencernaan, otot dan tulang, mengurangkan tanda-tanda penuaan dan membantu kita mendapatkan kulit yang lebih sihat.


Disebabkan khasiatnya, tidak hairanlah jika biji ini selalu dimasukkan ke dalam diet pemakanan harian.

Contoh hidangan mudah yang menggunakan biji chia:

  1. Air chia seed. Masukkan chia seed ke dalam minuman kalian. Air kosong, jus buah segar, air lemon, kopi atau teh tanpa gula dan biar seketika sehingga chia seed kembang. Saya suka buat teh dengan sedikit parutan halia atau hirisan lemon. Segar dinikmati dingin. Oh,  lagi satu, jadikan salah satu bahan untuk lai chi kang pun sesuai.
  2. Taburan di atas roti bakar atau salad. 
  3. Puding biji chia

Di bawah ini, chia seed pudding saya.

Baked Oat - Resepi Viral TikTok

Rabu, Jun 16, 2021

Sebenarnya, sejak mula-mula resepi baked oat ini viral di Tik Tok, saya hendak cuba buat. Teringin juga mahu pelbagaikan hidangan oat selain dibuat bubur dan overnight oat. Masalahnyasetiap kali beli pisang, pisang habis dahulu sebelum sempat jadi apa-apa juadah.

Baru-baru ini, beli sesisir pisang terus saya asingkan siap-siap. Enggan pisang berbuah dua kali hahaha 😂Alhamdulillah, dapat pun cuba resepi ini. Saya dan Bott menikmati baked oat untuk sarapan pagi.

Resepi Baked Oat

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1/2 cawan rolled oat
  • 1 biji pisang
  • 1 biji telur gred A
  • 1 sudu besar madu asli
  • 3 sudu besar susu
  • 1/2 sudu teh serbuk penaik 
  • secubit garam
  • coklat cip dan hirisan pisang secukupnya sesuai selera

Langkah-langkah penyediaan:

  1. Kisar semua bahan di dalam pengisar selama beberapa minit sehingga sekata.
  2. Tuangkan ke dalam ramekin, dulang mufin atau cawan kertas.
  3. Bakar di dalam ketuhar pembakar (oven) atau air fryer pada suhu 180 darjah celcius selama 15 - 18 minit atau sehingga benar-benar masak. Ambil lidi dan cucuk ke bahagian tengah kek. Jika lidi keluar dalam keadaan bersih, dah masaklah tu. Jika ada kesan bater, tambah lagi beberapa minit. 
  4. Sedia untuk dihidangkan.


Memandangkan kita guna oat, tidak digalakkan untuk bakar hidangan ini terlalu lama. Seelok-eloknya bawah 20 minit kerana dikhuatiri oat akan jadi terlebih kenyal atau keras.


Ini rupa setelah bahan-bahan dikisar. Saya guna pengisar smoothie je. 


Isi dalam paper cup. Beria-ia punggah barang cari ramekin, tak jumpa pula. Saya tambah hirisan pisang dan taburan cip coklat. Selain itu, boleh letak kekacang seperti gajus dan badam, kismis, beri biru atau beri goji. Satu adunan ini dapat 3 cawan. Kalau pakai ramekin dapat dua.

RASANYA? Sedap! Saya suka. Seolah-olah kita dapat makan kek untuk sarapan tetapi yang bagusnya, kek versi lebih sihat. Cuma disebabkan kita pakai tepung oat, teksturnya tidaklah ringan gebu gebas. Agak dense sedikit.

Ini cuma salah satu variasi resepi baked oat yang ada di luar sana. Ada banyak versi lain dengan cara olahan yang berbeza. Selamat mencuba!