Scrunchies untuk Kenduri
Khamis, Oktober 24, 2024
Scrunchies | Getah Rambut - Baru-baru ini, Bott terima tempahan scrunchies untuk kenduri. Tuan rumah hendak masukkan getah rambut sebagai salah satu isi goodie bag atau door gift untuk diberikan kepada ahli keluarga dan jiran tetangga yang datang merewang, menolong membantu kelancaran majlis.
Mereka tempah 150 scrunchies saiz sederhana. Campur-campur corak tetapi semua mahu tona warna biru. Ukuran setiap satu lebih kurang 4.5 - 5 inci. Kain yang digunakan cotton batik. Kain jenis lembut, serap air dan selesa dipakai.
Tak sangka saya, sekarang ni corak kain batik cantik-cantik. Sudah tidak terikat dengan corak batik traditional sahaja. Ada bunga-bunga comel dah macam kain pasang coraknya. Tetapi, ini kain batik cetaklah. Bukan kain batik asli tu.
Setelah siap dijahit, tugas saya untuk bungkus dan letak pelekat Thank You.
Sebahagian daripada scrunchies yang telah dibungkus. |
Lenguh jugalah pinggang nak pleat scrunchie satu demi satu supaya lebih kemas sebelum dibungkus di dalam plastik. Barulah cantik berseri. Setelah dipek sebegini, tuan rumah tinggal pilih, ambil dan masukkan ke dalam goodie bag.
Sebenarnya, saya sendiri tidak pernah terfikir yang scrunchie boleh dijadikan hadiah atau tanda mata dalam keraian dan kenduri-kendara. Semasa mula-mula Bott dapat tempahan ini, saya terkejut. Untuk kenduri? Nak beri tetamu? Rupa-rupanya ramai juga yang buat tau. Huhuhu nampak sangat saya jarang alert apa yang orang beri semasa kenduri. 😅
Good idea juga bagi scrunchie. Yalah, kalau pun yang dapat tu berambut pendek atau tidak pakai scrunchie, boleh jadi rezeki ahli keluarga yang lain. Barang tu tetap dapat dimanfaatkan. Tidaklah sia-sia atau terbuang begitu sahaja.
Sekarang, Bott tengah siapkan tempahan untuk goodie bags majlis akikah pula. Kali ni, tuan badan yang menempah minta scrunchie kain satin.
Ada antara kalian yang pernah dapat scrunchie sebagai salah satu isi goodie bags kenduri? Bagi yang berambut panjang tu, kalian lebih gemar pakai scrunchie atau kepit rambut?