"Bulan depan panggil lagi ye..."

Jumaat, Disember 30, 2011

Hari ini aku kena 'stand by' di rumah sebab dah buat janji dengan pak cik (rasanya layak panggil atuk) tukang potong rumput. Selalunya bab-bab potong rumput ni arwah nenek aku yang uruskan sendiri. Setiap bulan, bila dah dapat wang pencen, nenek akan telefon Pak Cik/Atuk K untuk potong rumput. Pak Cik/Atuk K ni baya-baya nenek, kurus orangnya, ada sakit semput pulak tu. Selalu masa potong rumput aku tengok dia batuk-batuk. Rasa penat sikit, dia akan rehat sekejap lepaskan lelah. Tapi Pak Cik K ni orangnya teliti. Kemas dia potong rumput. Lambat sikitlah rumput nak panjang.

Selepas arwah nenek pergi, urusan 'rumput panjang' tergalas di bahu ibu hehehe. Ibu pula tak ada nombor telefon Pak Cik K. Jadi, ibu panggil dan cari orang-orang yang dia kenal. Malangnya semua tak memuaskan hati. Ada yang ambil upah macam potong rumput satu stadium. Ada pula yang dah potong rumput tapi tak kemas sisa rumput. Yang paling menyedihkan, ada yang potong serupa tak potong. Baru 3 hari rumput dah meninggi balik. Pening juga kepala ibu aku. Ibu selalu nak pastikan rumput laman dan keliling rumah pendek.  

"Senang kakak nak main badminton,"katanya. Hehehe terukkan aku. Irresponsible betul. Dah aku yang selalu main badminton kat laman tu, akulah yang patut in-charge potong rumput!

Akhirnya, setelah 4 bulan, ibu berjaya dapatkan nombor telefon Pak Cik K. Seawal pukul 8 pagi Pak Cik K dah datang rumah. Dengan muka ceria dia mulakan kerja. Sempat juga berbual-bual dengan aku sambil memotong rumput di sekeliling rumah. By the time ibu balik (dari hospital - pergi ambil ubat), Pak Cik K pun datang jumpa ibu. Dah beres kerjanya!

"Bahagian belakang luar pagar tu dah potong rumputnya?" Ibu tanya minta kepastian. Masa tu aku dah tepuk dahi. Alamak!! Macam mana Pak Cik K nak potong rumput kat luar pagar yang berkunci tu kalau aku - si irresponsible kuasa 2 nih lupa nak bukakan pintu pagar pagi tadi! Terkedek-kedek aku lari dapatkan kunci pagar belakang tapi sempat tangkap perbualan pakcik K dengan ibu.

"Dah potong dah. Macam biasa yang tepi-tepi longkang tu pun saya dah potong,"balas Pak Cik K. Ibu masa tu dah dapat hidu 'kecuaian' aku.

"Pak Cik ikut mana? Saya terlupa buka kunci pagar belakang."

"Saya pusing dari pagar depan," balasnya dengan senyuman. 

Ya Allah, boleh je dia tanya tentang kunci pada kami yang ada di rumah ni. Tahan dia bersusah payah keliling pagar luar rumah aku untuk langsaikan tugasnya. Dapat sesetengah orang, dah tahu pagar kunci,  tak akan berpotonglah rumput kat luar tu. Rasa bersalah pula aku menyusahkan orang tua ni.

Ibu pun segera keluarkan sejumlah wang dan bayar pada Pak Cik K.

"Bulan depan panggil lagi ye..." Perlahan suaranya tapi jelas di pendengaran aku.

Hati aku betul-betul tersentuh. Mesti Pak Cik K tertanya-tanya kenapa dah 4 bulan kami tak panggil dia untuk potong rumput. Betapa besarnya erti dan nilai sebuah rezeki pada Pak Cik K. Upahnya tak adalah banyak mana. Dengan kudrat yang tak seberapa sanggup dia berpanas, membuat tugasnya seikhlas dan sebaik mungkin demi dapatkan sedikit wang poket.

Ya Allah, semoga aku dapat contohi keikhlasan Pak Cik K dalam mencari rezeki yang halal. Yang penting, at the end of the day aku dan ibu senyum lebar....hasil kerja Pak Cik K memang tip-top!!!

Kerepek Biji Durian

Selasa, Disember 27, 2011


Tattadaaaaa! Inilah kerepek biji durian yang berjaya saya hasilkan petang semalam. Pernah rasa tak? Rasa dan tekstur ala-ala macam kerepek ubi cuma rasanya lemak sikit. Nak buat kerepek ni kenalah kumpul biji-biji durian dulu. Terima kasih kepada jaguh-jaguh makan durian ~ Angah & Uje yang secara tidak langsung menyumbang kepada penghasilan kerepek biji durian ini.

Macam mana nak buat? Senang je...

1. Mula-mula bersihkan semua biji durian dan basuh. Kemudian rendam di dalam bekas selama 2 - 3 hari. Tujuannya adalah untuk kembangkan biji durian tu sehingga lapisan kulit luarnya merekah dan senang dikupas.

2. Kupas kulit luar biji durian. Ambil biji bahagian dalam. Haaa...kat bawah ni gambar biji durian yang telah dikupas dan dibersihkan.

3. Panaskan minyak dalam kuali dan sagatla biji durian tu hingga jadi hirisan halus. Bagi yang expert boleh terus sagat masuk ke dalam kuali (bila minyak dah panas tau!). Yang masih baru nak coba-coba, bolehlah sagat masukkan ke dalam bekas. Tapi gaulkan dengan sedikit garam supaya hirisan-hirisan tu tak melekat antara satu sama lain.

4. Goreng hingga keperang-perangan. Angkat dan toskan. Perasakan dengan garam.

5. Kerepek dah sedia untuk dimakan. Ngapppppp! Krup krap krup krap!


Nota Senyum: Oh, kalau nak lagi umpphhh...bolehlah dihiris beberapa biji bawang merah dan beberapa ulas bawang putih. Gorengkan hingga rangup macam nak buat bawang goreng tu dan gaulkan sekali dengan kerepek biji durian tadi.

90kg Sampah = RM18

Rabu, Disember 14, 2011


Hari ini, aku & Bott uruskan sampah-sampah untuk kitar semula. Kebetulan kitorang baru saja selesai pindah, maka banyaklah buku-buku, kertas-kertas lama yang kena classified "BUANG". Tapi tak buang dulu... Kitorang ikat kemas-kemas dengan tali rafia (supaya senang nak bawa) dan angkut pergi kedai yang beli barangan kitar semula.

Sebelum ni kertas-kertas, majalah dan buku-buku yang dah tak boleh digunakan lagi memang aku akan jual di kedai recycle. Apa yang penting, aku tak bakar sampah-sampah tu. Ulang sekali lagi - AKU TAK BAKAR SAMPAH! Dapatlah dalam RM2-RM5. Siapa nak bagi, kan? Sekurang-kurangnya sampah kita tu ada jugak nilainya hehehe

Trip ke kedai recycle kali ni, penuh satu kereta dengan sampah kertas. Pekerja tu nampak kitorang terus tanya, "Semua kertas?"

Bott angguk.

Lepas tu pekerja tu suruh Bott reverse kereta dan naik pada tempat yang ditunjukkan. Eh, nak buat apa ni? Selalunya pekerja tu ambil dari bonet kereta pakai kereta sorong je...Rupa-rupanya dengan kitorang sekali kena timbang! Hahaha

Mula-mula, apabila kita sampai, berat keseluruhan kenderaan akan ditimbang. Err,..termasuklah berat aku & Bott yang terpinga-pinga dalam kereta. Kemudian, semua sampah kertas akan dikeluarkan dan kenderaan akan ditimbang semula. Dua nilai timbangan ini ditolak untuk dapatkan berat sampah kertas yang kitorang bawa.

Tengok gambar kat bawah ni:


Nilai timbangan 1 - 990kg
(aku penyumbang utama kepada nilai ini hehehe)
Nilai timbangan 2 - 900kg 
(kertas-kertas dah tak ada...hanya berat aku, Bott & kereta)

Maka berat kertas = 90kg x RM0.20 (utk setiap kg) = RM18.00

Punyalah kitorang excited sebab first time kena timbang sekali! Apapun, hari ni, bertambah duit tabung kitar semula aku (tabung ni aku adakan untuk simpan semua wang yang aku dapat hasil recycle).At the end of the day, rumah bersih daripada sampah, aku tak cemarkan alam dengan bakar sampah & the best part aku dapat sejumlah wang untuk sampah-sampah aku. Let's Go Green!

Lemon Cupcakes

Isnin, November 21, 2011

Hari Sabtu hari tu tetiba kepingin nak makan cupcake. Tak mahu cupcake yang cantek-cantek tu. Nak yang simple, gebu dan ringan je teksture nya. Kebetulan stok lemon ada di rumah, so, buatlah lemon cuppies!


Ini gambar lemon cupcakes yang plain. Ada 1 batch yang aku 'solek' dengan 'lemon creamcheese frosting' lebihan frosting aku buat butter cake beberapa hari lepas. Yang itu lupa pulak nak ambil gambar. Rasanya memang uummmphhh! Masa dalam oven, bau lemonnya semerbak satu rumah!

Resepinya aku tak pasti dari mana. Yelah, dulu-dulu zaman rajin carik resepi di internet,...main copy resepi dan save terus dalam komputer. Tak terfikir pun nak catat sumbernya.

Resepi Lemon Cupcake

A.
220gm tepung gandum
2 sudu teh serbuk penaik
1/2 sudu teh garam

B.
180gm mentega 'unsalted'
150gm gula
2 biji telur saiz 'A'

1 sudu teh esen vanila
1 sudu besar parutan kulit lemon 

C.
80ml susu segar
2 - 3 sudu besar jus lemon

Cara-caranya:
  1. Ayak bahan-bahan A. Ketepikan.
  2. Pukul mentega dan gula hingga gebu dan putih. Masukkan telur sebiji demi sebiji. Pukul hingga sebati. Masukkan esen vanila dan parutan kulit limau. 
  3. Masukkan tepung (Bahan A yang telah diayak) secara berperingkat. Selang-seli dengan susu dan jus lemon. Maknanya, masukkan tepung -- pukul hingga sebati -- susu dan jus lemon -- pukul hingga sebati -- tepung -- pukul hingga sebati -- susu dan jus lemon -- dan akhiri dengan tepung. Pastikan semuanya sebati tetapi jangan overbeat.
  4. Isi adunan ke dalam acuan hingga 3/4 penuh.
  5. Bakar pada suhu 180 darjah Celcius selama 23 - 25 minit.

Selamat Mencuba!