Doa Apabila Dipuji

Khamis, Mac 17, 2022

Assalamualaikum. Apa khabar semua hari ini?

Dahulu pernah saya kongsikan ucapan atau kata-kata yang wajar dilafazkan tatkala kita menerima pujian. Boleh lihat entri ini --> Ini adalah limpah kurniaan Tuhanku. 

"Eh, orang puji cakap terima kasihlah. Nanti orang kata kita rude atau perasan bagus pula."

Saya tiada masalah dengan ucapan terima kasih sebegitu. Iyalah, kita pun kena ada budi bahasa. Tetapi, andai ada amalan yang lebih baik buat kita ... tidak salah jika kita praktikkan sekali. Mudah sahaja. Sambil cakap terima kasih tanda menghargai kata-kata baik si pengucap, lafazkan sekali hadza min fadhli rabbi.

Saya pun masih dalam proses untuk amalkan perkara ini secara konsisten. Selalu apabila kena puji, sengih macam kerang busuk je. Habis lupa apa yang hendak dibaca. 

Kali ini, saya ingin kongsi satu lagi bacaan berbentuk doa (sumbernya daripada hadith) yang boleh kita baca dan amalkan bilamana menerima pujian atau kata-kata baik. Kredit kepada Jabaran Mufti Negeri Perlis untuk poster doa ini. Perhatikan maksudnya. Elok untuk kita sama-sama amalkan.

Bacaan apabila dipuji.



Ya Allah,
janganlah Engkau hukum salah ke atasku
dengan segala yang mereka katakan kepadaku
dan ampuni semua kesalahanku 
yang mereka tidak mengetahuinya
serta jadikanlah diriku lebih baik
daripada sangkaan yang mereka sangkakan.



Dalam betul intipati doa ini, bukan?

Sesungguhnya, hanya Allah yang mengetahui siapa kita yang sebenar. Baik buruk kita. Kelemahan dan kekurangan kita yang jauh dari sempurna. Jadi, apabila sesekali kita menerima pujian daripada orang lain, jangan terus rasa melambung! Jangan riak! Ini tidak. Baru kena puji sedikit dah kembang lubang hidung. Mula rasa diri bagus dan lebih baik daripada orang lain. Jika diikutkan, kita patut risau apabila dipuji. Bimbang pujian-pujian tu akan buat kita lalai malah boleh memudaratkan kita di kemudian hari.

Orang puji sebab orang cuma nampak sisi baik kita. Sisi kurang baik, aib kita masih terlindung. Allah jaga. Cuba kalau setiap dosa, setiap kelemahan kita dipaparkan secara terbuka, mahu pagi petang siang malam kena kecam! Jadi, sentiasalah beringat untuk mohon keampunan Allah. Senang cakap, jangan mudah lupa diri. 

Moga kita semua diberi peluang untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik di mata Allah juga di mata makhluk-makhluk ciptaan-Nya.

3 ulasan

  1. thanks for sharing kak Farrah. Saya kalau kena puji tak tau nak buat apa. I is pemalu..hihi

    BalasPadam
  2. Terima kasih share kak Farrah. Kadang orang puji memang tersipu malu.Paling ringkas ucap terima kasih. Lepas ni boleh amalkan hadza min fadhli rabbi dan doa.

    BalasPadam
  3. terima kasih berkongsi. sy paling krg pun ucap terima kasih je kalau kena puji

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.