Memaparkan catatan dengan label Handmade Greeting Cards. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Handmade Greeting Cards. Papar semua catatan

Kad Ucapan Tahniah

Selasa, November 14, 2023

Antara entri blog yang semakin jarang saya tulis ialah entri berkenaan seni dan kraf terutamanya kad ucapan handmade yang saya buat. Selalu lupa hendak ambil gambar hasil akhir. Kadang-kadang tu, gambar sudah ada… saya lupa tulis entri mengenainya.

Kad ucapan tahniah ini telah saya siapkan beberapa bulan lepas. Belakangan ini memang tidak ambil sebarang tempahan kad. Insya-Allah, apabila ada kelapangan kelak, barulah buka untuk tempahan semula.

Congratulations Card

Bahagian hadapan kad.

Selamat Datang, Ramadan

Khamis, Mac 23, 2023

Assalamualaikum. Salam 1 Ramadan.

Alhamdulillah, Allah beri kita peluang untuk bertemu bulan penuh barakah ini sekali lagi. 

Kad Ramadan untuk kalian ☺️

Egg untuk Ayah yang Eggcellent

Isnin, Julai 04, 2022

Assalamualaikum.

Ini sebenarnya aktiviti cuti sekolah awal bulan lepas untuk anak-anak cilik yang saya ajar. Kad telur mata sapi khusus buat ayah bersempena dengan sambutan hari bapa. Mereka hasilkan secara berperingkat. Setiap kali kelas bersama saya, 5 - 10 minit terakhir setelah kerja berjaya disiapkan, kami sambung dengan buat kad. Alhamdulillah, sempatlah kad masing-masing siap untuk diserahkan kepada ayah pada 19 Jun.

You’re An Excellent Father!

5 Idea Kad Raya DIY

Rabu, April 13, 2022

Assalamualaikum. Sudah mula fikir tentang kad raya? Saya ingin kongsikan 5 idea kad raya DIY yang menarik untuk dicuba. Apa kata tahun ini kita hidupkan semula tradisi pemberian kad raya macam dulu-dulu dengan kad raya DIY hasil tangan kita sendiri. Tidak perlu dapatkan bahan atau material yang mahal-mahal, hanya dengan bahan yang minimum kita boleh hasilkan kad hari raya yang cantik dan bermakna.


5 Idea Kad Raya DIY Kreatif

Di bawah ini, saya kongsikan idea-idea kad raya mudah menggunakan beberapa bahan yang senang diperoleh.


1. Balang Kuih Raya

Ini kad hari raya yang saya buat pada tahun 2019. Guna kertas kraf yang tebalnya 230gsm, kemudian cetak gambar balang kuih raya. Disebabkan saya malas hendak fikirkan kuih raya apa yang patut 'diisi' di dalam balang berkenaan, saya letak Fakta Nutrisi Lebaran. Tidak perlu pening kepala hendak lukis kuih tart atau biskut makmur. 😂

Kad raya - Fakta Nutrisi Lebaran

Nampak tak, nilai peratus harian saya melampau betul peratusannya. 😅 Sepatutnya apabila dijumlahkan dapat 100%, tapi saya buat ikut kepala sendiri sebab saya rasa 100% tu tak cukup banyak untuk gambarkan kegirangan hari raya. Jika berminat hendak buat kad raya bentuk balang kuih ini, boleh intai entri saya di sini ya.


2. Kelarai (Anyaman Mudah)

Salam Syawal, Salam Lebaran

Dikelilingi Rama-rama

Rabu, November 03, 2021

Bulan lepas, banyak juga kad ucapan yang saya buat.  Ada yang orang tempah, ada yang saya guna sendiri. Sewaktu tengok semula gambar dalam galeri telefon, baru saya perasan ada beberapa kad dan projek kraf saya bertemakan rama-rama.


#1 Best Wishes - Kad ucapan selamat maju jaya.

Rama-rama dan bunga. Kad ini jenis easel fold. Apabila dibuka, bahagian hadapan kad boleh dilipat lalu ditegakkan. Kad sebegini akan jadi lebih menarik andai ada elemen 3d. Jadi, saya hanya tampal gam sedikit sahaja pada bahagian bawah rama-rama besar dan kecil supaya sayap dapat dijongketkan. Nampaklah efek seolah-olah rama-rama berkenaan terbang atau menggerakkan sayap. 😊

Kad Semoga Cepat Sembuh - Healing Hugs

Rabu, Oktober 13, 2021

Salah satu kad yang saya buat baru-baru ini. Kad ucapan Semoga Cepat Sembuh.


Kad ini jenis kad poket. Maksud saya, kad ini jenis kad sekeping tanpa lipatan (seperti poskad) diletakkan di dalam poket khas yang berperanan sebagai sampul. Kiranya kad ini tidak menggunakan sampul surat biasa sebaliknya poket yang dibuat senada dengan tema dan warna pilihan.

Saya menggunakan kertas bercorak damask berwarna coklat dengan tona latar belakang yang lebih cair. Lebih ke arah warna krim. Kemudian, saya gunakan kad berwarna coklat gelap untuk wujudkan sedikit elemen kontra. 

Tidak perlu hias banyak-banyak kerana corak kertas sudah sarat, ada kemasan jalur emas (gold foil) pula. Sudah cukup cantik bagi saya.


Buat Birthday Explosion Box

Ahad, Oktober 03, 2021

Assalamualaikum. Sedang buat apa? Ada tak yang pergi jalan-jalan hari ini?

Saya bersiaran dari bilik kraf hari ini. Tengah menyiapkan beberapa kad hari lahir untuk October babies. Ramai juga kenalan saya yang sambut hari lahir bulan sepuluh. Kena mula buat kad perlahan-lahan. Bimbang nanti minggu depan sibuk, tak sempat hendak siapkan. Ada yang boleh beri by hand, ada yang perlu dipos. Jadi, kenalah rancang betul-betul supaya timing cantik. 

Di bawah ini, kad berbentuk kotak atau lebih dikenali sebagai explosion box. Cerita lanjut mengenai explosion box, jemput baca di sini. Buat kad kotak agak makan masa sedikit. Mungkin sampai separuh hari jugalah untuk saya siapkan hingga ke perincian terakhir. Dah lama tak buat explosion box sebenarnya. Waktu rajin terima tempahan untuk explosion box ini, laju je tangan siapkan. Benda semua dah ada, siap diukur siap dipotong. Tinggal pasang dan hias. Sekarang kena mula dari awal, potong, gunting, tampal ... masak jugalah saya. 😂


Kad Hari Lahir Burung Flamingo

Jumaat, Jun 04, 2021

Assalamualaikum. 

Saya buat satu lagi kad flamingo. Seronok sebenarnya apabila sekali-sekala ada tempahan kad bertemakan burung flamingo. Warna merah jambunya mengundang ceria. 😁 Nama flamingo datang dari perkataan latin 'flamenco' yang bermaksud flame (fire atau api), merujuk kepada warna terang bulu dan pelepahnya. Burung yang punya tabiat berdiri dengan satu kaki ini sering dikaitkan dengan perkara dan perlambangan positif seperti keberanian, keseimbangan dan sikap terbuka. Tidak hairanlah jika kita jumpa banyak quotes (kata-kata menarik) yang dikaitkan dengan flamingo.


Berbalik kepada kad ucapan tadi, saya pernah buat rekaan yang sama sebelum ini. Jenis kad yang sama (bridge card) menggunakan material yang sama. Tuan yang menempah memang minta design tersebut. Kebetulan bahan-bahan yang diperlukan ada dalam stok, tiada masalahlah. Cuma ada sedikit penambahan yang dibuat supaya lebih menarik.

Idea Kad Ucapan untuk Hari Bapa

Sabtu, Mei 22, 2021

Bulan Mei kita sudah meraikan Hari Pekerja, Hari Ibu dan Hari Guru. Bakal menyusul Jun nanti, Hari Bapa pula. Ada yang ingin buat sendiri kad ucapan Hari Bapa untuk insan istimewa bergelar abah, ayah, baba, walid atau daddy? Di bawah, saya kongsikan beberapa idea menarik (berserta tutorial) yang boleh kalian pertimbangkan untuk menghasilkan kad ucapan hari bapa. Tahun ini, rasanya tak dan saya hendak buat tutorial baharu. 


1. Kad Tuxedo

Tidak perlu bahan yang banyak atau mahal-mahal. Secara kasar, kalian hanya perlukan kad hitam, kad putih, gam dan gunting.

Projek Kad Raya 2021

Isnin, April 19, 2021

Assalamualaikum. Salam sejahtera. 😊

Sebenarnya kering idea hendak menulis apa. Tahun ni tak sempat buat tutorial kraf kertas kad raya DIY. Jadi, saya kongsikan progress kad hari raya saya jelah. Saya pernah cerita mengenai misi kad raya di sini. 

Mungkin kerana tahun ini saya asyik 'bergelumang' dengan junk journal, saya teringin nak hasilkan kad raya bertema vintage. Kad ala-ala scrapbook dengan tema junk journal. Dalam kepala dah dapat bayang dah, tapi tak pasti apabila dah siap nanti jadi tak seperti yang dirancang. 

Sewaktu suarakan pada Bott, Bott suruh fikir dua tiga kali sebab bimbang saya tak dapat siapkan kad-kad saya. Kad ni macam banyak proses sedikit. Kalau setakat sekeping dua tak mengapalah, tapi saya nak buat banyak. Dia sarankan buat something yang simple je sebab saya ada komitmen penting kena selesaikan bulan ni dan masa saya terhad.

Fikir-fikir ... campur tolak darab bahagi semua ... boleh kot. 🤔 Buat perlahan-lahan. Setiap hari curi masa untuk siapkan satu bahagian. Hari ini potong kad, esok tulis sentimen, lusa tampal hiasan-hiasan ... lama-lama siaplah. Beria-ia saya plan dalam kepala. 

Alhamdulillah, setakat ini semua berjalan seperti yang dirancang. Antara proses awal kad raya saya:

Tempahan Kad daripada Sha Mohamed

Rabu, Mac 10, 2021

Assalamualaikum.

Hari ini kita bersiaran dari bilik kraf. Saya ingin kongsikan rupa paras kad hari lahir bertema burung flamingo yang ditempah oleh rakan blogger, Sha Mohamed.

Kad dengan tona merah jambu ini merupakan antara tempahan kad yang saya seronok siapkan. Salah satu sebabnya, saya memang suka flamingo. Warnanya, positive attitude yang selalu dikaitkan dengan flamingo ... bagi saya memang comellah burung berleher jinjang ini. 

Kemudian, Sha hubungi saya untuk tempah kad hari lahir agak awal, dalam pertengahan Februari sedangkan kad hendak diberikan kepada puteri bongsunya, Nur Imani pada awal Mac. Saya ada banyak masa untuk siapkan. Tidak perlu tergesa-gesa. 

So, both of us took our own sweet time untuk hasilkan kad yang diingini. Mula-mula pilih kertas dan kad. Esoknya tentukan layout, hari lain pilih hiasan sampailah ke proses akhir untuk Sha finalize design.

Antara proses awal. Comel kan burung flamingo tu ...

Tutorial Kraf Kertas - Kad Ucapan Istimewa

Isnin, Februari 22, 2021

Hari ini saya kongsi semula beberapa entri tutorial buat kad ucapan DIY. Jika ingin hasilkan DIY kad ucapan istimewa, bolehlah tengok jenis-jenis kad di bawah untuk dapatkan idea. Kebanyakannya tidak sukar, cuma kena teliti sedikit ketika hendak membuatnya. Selamat mencuba!


Impossible Card

Tiada apa yang mustahil tentang kad ini sebenarnya. Cuma cara kad ini dilipat kelihatan unik dan seolah-olah menggunakan beberapa keping kad. Hakikatnya, hanya sekeping kad yang diperlukan untuk menghasilkan kad ini. Teknik potongan dan lipatan yang menjadikan kad ini kelihatan sedemikian rupa. Lihat template kad  di sini.

Simple Explosion Card

Usah bimbang! Tiada apa yang meletup! Hahaha! Kadang-kadang saya terfikir juga, dramatik betul nama-nama kad ucapan buatan tangan ni, kan? Satu kat atas tu impossible, yang ini explosion. 😂



Apabila kad dibuka, kertas bahagian dalam macam buat explosion effect. Jika mahukan kesan yang lebih wow, bolehlah letakkan confetti di dalam kad ini. Lihat siri tutorial di bawah:


Buat Bridge Card

Khamis, Januari 28, 2021

Assalamu'alaikum. Hari ini bersiaran dari bilik kraf. Tengah kemas-kemas stok kad ucapan dalam simpanan. Sambil belek-belek kad dan gambar kad dalam komputer, baru perasan banyak juga 'bridge card' yang saya dah buat.

'Bridge card' ni saya peroleh inspirasi daripada seorang crafter, Jennifer McGuire. Dari dulu memang suka sangat tonton video-videonya di Youtube Jennifer McGuire Ink. Seronok tengok kad-kad yang dibuat menggunakan bahan dan peralatan kraf yang bukan calang-calang. Masa nilah selalu berangan nak ada ini, nak ada situ, semua naklah!

Kad ini dipanggil 'bridge card' kerana bahagian panel hadapannya seakan jambatan yang mengikat sisi kad. Jadi, kad boleh ditegakkan untuk display. Haaa, lihat kad tema flamingo di bawah.


'Bridge card' ini boleh dilipat dan dimasukkan ke dalam sampul surat seperti kad-kad biasa. Apabila dikeluarkan dari sampul, boleh dibentuk dan ditegakkan sebegini.

Kad Tahniah untuk Orang Kahwin Bahagian 2

Isnin, Disember 14, 2020

Dalam entri sebelum ini (Kad Tahniah untuk Orang Kahwin Bahagian 1), saya telah tunjukkan beberapa kad ucapan tahniah yang saya buat untuk mempelai yang diraikan. Ada yang berbentuk kotak (explosion box); ada yang bertema damask, hitam putih, reben-reben ... flamingo in love pun ada. Kad-kad berkenaan, jika hendak dibuat sendiri memang kena ada material dan peralatan asas untuk kraf kertas seperti border punch, adhesive diamentes, fonts stickers, reben dan macam-macam lagi. 

Untuk bahagian 2 ini, saya ingin kongsikan dua contoh kad tahniah yang boleh dihasilkan sendiri hanya dengan menggunakan bahan-bahan yang minimal. Jadi, sekiranya kalian hendak buat kad DIY, lebih mudah dan praktik kerana tidak perlu membazir beli bahan-bahan tambahan semata-mata untuk hasilkan sekeping kad.


#1

Kad yang pertama ini saya siapkan tidak sampai lima minit. Dua benda penting yang diperlukan ialah kertas keras/kad untuk dijadikan base kad kita dan kertas bercorak. Saya pilih kertas corak berbunga merah jambu dengan latar biru dan potong menjadi bentuk hati. Kemudian, tampal pada bahagian hadapan kad.

Kad Tahniah untuk Orang Kahwin Bahagian 1

Khamis, November 19, 2020

Assalamu'alaikum,

Bilakah kali terakhir kalian hadiri majlis perkahwinan? Maklumlah, musim PKPB ini majlis yang dibuat untuk meraikan mempelai tidak boleh semeriah dahulu. Kita kena terus beringat dan berjaga-jaga.

Sebut pasal majlis dan kenduri kahwin, hari ini entri kraf kertas tentang kad tahniah. Bukan kad tahniah biasa, tapi kad tahniah untuk orang kahwin.

Di bawah ini merupakan sebahagian daripada kad-kad tahniah untuk pengantin yang saya buat sepanjang tahun lepas. Tahun ni punya, cuma ada dua tiga tempahan je rasanya. Itu pun tak dan ambil gambar. 

Jom tengok! Mana tahu boleh jadi inspirasi 😊


Explosion box - Wedding dress & Tuxedo

Explosion box ini sejenis kad dalam bentuk empat segi sama. Apabila kita angkat penutup kotak, dinding kotak akan collapse. Bahagian dalaman kotak dihias dengan gambar-gambar dan pelbagai hiasan yang mengangkat tema perkahwinan. 

Kad Birthday Tema Hitam Putih

Jumaat, Oktober 09, 2020

Assalamu’alaikum. Hai! Selamat Hari Jumaat! Hari ini entri berkenaan card making. Sekitar bulan Ogos yang lalu saya terima tempahan kad hari lahir bertemakan hitam putih. Kebetulan, bakal penerimanya seorang wanita, jadi terus saya pilih tema bunga. Klise memang klise tetapi saya hendak ambil peluang ini untuk guna background stamp yang saya baru beli ketika itu.

Inginkan kelainan, bahagian hadapan panel kad saya potong sedikit dan cantum semula dengan menggunakan plastik jernih. Kemudian, barulah diletakkan dengan sentimen 'Happy Birthday' secara melintang. Sekali pandang, nampak seolah-olah tulisan 'Happy Birthday' tu yang 'memegang' bahagian hadapan kad.

Sentimen 'Happy Birthday' saya guna rub-on sticker yang dibeli di Mr. DIY. Ingin tahu lebih lanjut tentang rub-on sticker, boleh baca mengenainya di sini

Gembira betul saya melihat cetakan yang terhasil menggunakan background stamp baharu saya. Tidak smudge. Kadang-kadang, sesetengah stamp tidak cantik dan jelas imejnya. Siap bersememeh lagi! Saya cuma menggunakan dakwat hitam biasa untuk stamping. Jelas nampak setiap garis dan titik dengan jelas. Untuk stamp yang berharga RM5.++, saya rasa dah cukup berbaloi!

Handmade Greeting Cards Box Set

Khamis, Ogos 13, 2020

Assalamu'alaikum,

Bersiaran dari bilik kraf. Pagi ini ada beberapa tempahan kad ucapan yang perlu disiapkan. Rehat sekejap sebab mata dah berpinar-pinar susun diamentes. Heheheh masuk bloglah.

Saya ingin kongsi tentang box set yang saya buat. Ini antara produk kraf kertas saya yang dapat permintaan. Handmade greeting cards box set. Dalam satu kotak akan ada enam kad ucapan yang boleh diguna pakai untuk keraian atau tujuan tertentu. Satu kotak satu tema berbeza. Seperti di bawah ini, kad-kad dihasilkan menggunakan kertas bercorak ukiran atau tekstur kayu dengan sentuhan kemasan garis emas. Sesuai untuk diberi kepada sesiapa sahaja. Baik penerimanya lelaki mahupun perempuan. Ada juga box set yang bertemakan bunga-bunga hutan, motif dari negeri matahari terbit, anyaman dan rekaan yang hanya menggunakan washi tapes. Box set yang lain, ada peluang nanti saya akan muat naik di sini gambarnya.



Secara peribadi, saya memang suka jika ada kad ucapan yang sedia untuk digunakan. Kebetulan kehidupan saya sekarang, dengan jadual tidak menentu, masa jadi tak sama dengan orang. Sukar nak berjumpa dengan kawan-kawan dan luangkan masa. Makanya, kad-kad inilah yang boleh mewakili diri saya. Hari lahir ke... nak ucap tahniah ke... or just a simple card saying 'Thinking of You'. Sekurang-kurangnya, dapatlah titip tanda  ingatan.

Kad Hari Lahir | Birthday Cards

Selasa, Jun 30, 2020

Sepanjang tempoh berkurung di rumah, selain di dapur dan ruang menonton, (jadi couch potato marathon tengok TV shows back-to-back) masa saya banyak dihabiskan di dalam bilik kraf. Saya tulis jurnal, hias jurnal, buat scrapbook... masa terluang yang ada inilah digunakan untuk memory keeping. Selama ini, gambar dan barang-barang untuk scrapbooking makin hari makin menimbun saya lambakkan atas meja kerja. Terbiar begitu sahaja. Tak jumpa masa yang sesuai untuk duduk potong-potong, tampal-tampal dan hias-hias ni. 


Alang-alang dah kemas bilik kraf tu, saya buat inventori untuk kad-kad ucapan yang masih ada dalam simpanan saya. Selalunya, apabila selesai buat kad, saya masukkan je dalam kotak khas. Kali ini terlebih rajin. Saya susun ikut kategori. Senanglah nanti apabila perlukan kad ucapan, saya tahu mana yang sedia ada untuk digunakan, mana yang kena buat.


Di bawah ini, ada lima keping kad ucapan hari lahir. Apa yang buat saya puas hati sangat, kad-kad ini saya hasilkan menggunakan lebihan kertas-kertas yang ada. Lazimnya apabila saya buat kad, hias jurnal atau scrapbook, pasti akan ada jalur atau lebihan kertas-kertas bercorak yang berbaki. Semua itu akan saya simpan dalam kotak khas. Ada masa lapang, saya akan tengok balik cebisan-cebisan kertas tersebut dan cuba guna mana yang boleh untuk buat kad ucapan yang simple. Tak adalah membazir. Sayang tau kalau kertas cantik-cantik dibuang begitu sahaja.
 

Challenge Accepted - Cabaran Upcycle 2

Selasa, April 28, 2020

Entri ini merupakan susulan kepada kisah saya sahut cabaran Bott untuk guna kad atau kertas terpakai yang berkepuk-kepuk dalam simpanan saya. Entri berkenaan di sini. Sayang kononnya sebab cantik. Hajat hati memang hendak guna semula untuk cardmaking atau hias scrapbook. Tetapi, tanpa saya sedar benda-benda terpakai yang saya kumpul semakin hari jadi semakin banyak dan saya tak guna semula pun! Alih-alih, setiap kali ingin buat projek kraf baharu yang meilbatkan kad atau scrap page...saya akan capai brand new sheets of cards or papers. Tak terfikir pun nak guna 'koleksi kertas cantik sayang nak buang' ni.


Jadi, semenjak kena cabar (lebih kepada ugut sebenarnya) oleh Bott, saya memang sedaya upaya guna apa yang boleh. Sambil perlahan-lahan cuba susutkan timbunan kertas dan kad terpakai, saya cuba cabar kreativiti diri supaya dapat hasilkan something nice. Sebelum ini saya dah tunjuk kad ucapan dan penanda buku yang diperbuat daripada katalog, sampul duit raya dan kad raya lama. This time more or less the same. 


#1 Kalendar meja KWSP


12 keping gambar pokok di atas asalnya table calendar KWSP. Tidak dapat dipastikan tahun berapa. Yang pasti, bukan tiga ke empat tahun lepas. Huhuhuh nampak tak ini antara benda-benda lama yang diperam dalam folders kertas terpakai saya. Comel kan gambar-gambarnya? Warna yang digunakan sweet dan cantik.

Saya ambil gambar-gambar tu untuk dijadikan hiasan muka hadapan kad ucapan saya. Lihat gambar di bawah.

Explosion Box - The Best Day Ever

Rabu, April 22, 2020

Assalamu'alaikum. Apa khabar hari ini? Sudah bersedia hendak menyambut Ramadan? Meskipun tahun ini kita tidak dapat mengalu-alukan kedatangan bulan penuh rahmat seperti tahun-tahun sebelumnya, tidak bermakna kita tidak boleh menghayati erti Ramadan. Memanglah berbeza...tetapi mana tahu, di sebalik semua yang berlaku, Ramadan 1441 merupakan Ramadan yang terbaik buat kita. Inshaa Allah. 

Hari ini, bersiaran dari bilik kraf, kita borak-borak tentang explosion box pula ye. Explosion box di sini bukanlah kotak yang meletup atau yang mengandungi sebarang bahan letupan. Sebenarnya, explosion box merupakan kad ucapan berbentuk kotak yang apabila penutup atas dibuka, sisi-sisi kotak akan collapse.  Itu jelah bahagian yang 'explode' sebenarnya.

Kad ucapan explosion box sangat istimewa kerana berciri 3D dan bersifat interaktif. Apa yang saya maksudkan interaktif di sini ialah si penerima kad akan berpeluang untuk belek-belek dan explore kad yang diterima kerana selain daripada gambar-gambar dan ucapan, setiap sisi kotak dihias dengan elemen-elemen kecil yang menarik seperti waterfall card, picture sliders, interactive wheels dan macam-macam lagi. Ini kalau ada rezeki dan kesempatan, saya akan tulis dalam entri yang lain ya.

Explosion box 'The Best Day' di bawah merupakan contoh explosion box yang paling simple. Hanya satu lapisan dengan hiasan sederhana. Kad ini saya buat untuk birthday Cekengah pada awal Mac yang lalu.