Assalamualaikum.
Hari ini saya ingin kongsi resepi telur dadar terung bakar. Juadah telur yang ini sesuai dijadikan menu sarapan atau makan tengah hari.
|
Telur dadar terung bakar |
Penyediaan Terung Bakar
Sebelum kita mendadar telur, perlu sediakan terung bakar terlebih dahulu.
Biasanya, terung dibakar terus di atas api dapur sehingga kulit luarnya bertukar kehitaman dan isinya menjadi lembik. Setelah itu, siat bahagian kulit yang hitam (hangit) dan hancur atau lenyekkan isi terung.
Boleh juga bakar guna alat pemanggang begini. Apa yang penting, kita hendak dapatkan rasa smokey pada terung.
Bakar Terung Menggunakan Air Fryer
Mula-mula bersihkan terung. Tidak perlu dipotong, tetapi gunakan garpu untuk cucuk-cucuk bahagian luar terung. Kemudian, masukkan terung ke dalam air fryer dan bakar sekitar 5 - 10 minit sehingga terung bertukar lembut. Masa untuk membakar bergantung kepada saiz terung ya. Sekiranya, dalam 5 - 7 minit tu terung masih anjal apabila ditekan dari luar, tambahlah lagi 2 - 3 minit.
Setelah dikeluarkan, belah terung. Gunakan garpu untuk siat atau carik isi terung. Hati-hati ya. Terung ni panas.
|
Isi terung yang sedia digunakan. |
Lihat juga: Resepi Terung Bakar Bersantan | Piza Terung
Okey, terung bakar dah siap! Jom kita dadarkan.
Resepi Telur Dadar Terung Bakar
Bahan-bahan yang diperlukan:
- 3 - 4 biji telur ayam. Jika mahu portion telur dadar yang lebih besar dan tebal, gunakan 6 biji telur.
- Isi terung yang telah dibakar
- Satu sudu kecil mayones (optional)
- Sedikit serbuk lada sulah
- Garam secukup rasa. Boleh juga guna sedikit kicap sotong (sos ikan) untuk perasakan telur.
- Sedikit mentega atau minyak masak
Langkah penyediaan:
- Pukul telur bersama mayones, lada sulah dan garam sehingga semuanya sebati.
- Panaskan kuali leper. Masukkan sedikit mentega atau minyak.
- Tuangkan bancuhan telur tadi dan biar bahagian bawah telur masak sedikit. Setelah itu, taburkan isi terung di atas permukaan telur.
- Biarkan seketika sehingga telur masak.
- Sedia untuk dihidangkan.
Untuk sarapan, telur boleh dimakan begitu sahaja atau dengan roti. Boleh buat sandwic juga. Terserah selera kalian.
Untuk makan tengah hari, sajikan telur dadar dengan kicap cair dan hirisan cili api. Makan dengan sambal belacan atau sambal penyet pun sesuai sangat! Yummehhh!
Selamat mencuba!