Nasi Plonxbox Wawkawkaw Upah Buat Kerja
Ahad, September 19, 2021
Assalamualaikum. Selamat pagi Ahad! Sudah bersarapan ke belum tu? Saya baru lepas. Ini tengah duduk berehat sebentar. Bolehlah jenguk blog sekejap.
Semalam seharian saya habiskan masa di bilik kerja, sibuk tugasan terjemahan. Saya cakap pada Bott, tak perlu susah-susah masak. Ingat hendak pesan nasi ambeng sahaja daripada seorang penjual berhampiran rumah saya ini.
Belum sempat buat pesanan, kawan saya yang sedang saya terjemahkan dokumennya telefon, minta Bott tunggu di depan pagar. Faham sangat dah perangai kawan saya yang seorang ini. Kerja belum habis semak, belum finalize dia dah transfer duit siap-siap. Kemudian, kalau guna khidmat saya buat tugasan terjemahan atau suntingan, lagi-lagi pada hujung minggu, mesti akan hantar macam-macam makanan untuk saya dan Bott. Senang, kami sudah tidak perlu fikir soal cari makanan katanya.
Apabila saya keluar bilik, terbuntang juga biji mata. Bukan sekadar untuk makan tengah hari, siap ada untuk minum petang dan makan malam sekali! Rasa-rasanya dalam perjalanan ke rumah saya, asal ada kedai je dia berhenti beli. 😂
Dalam banyak-banyak, saya senyum lebar apabila tengok sebuah kotak empat segi. Nasi Plonxbox wawkawkaw! Lamanya tak makan! Nasi Plonxbox ni kira popularlah di Sungai Buloh dan kawasan-kawasan sekitar. Ada banyak pilihan. Selain ayam bakar, ada kambing bakar dan daging. Ikan pun ada tidak silap saya.
Nasi Plonxbox Ayam saya. Sedia untuk dimakan :) |