Minggu lepas pergi Eco Shop. Seperti biasa, masuk kedai ini tidak pernahlah keluar dengan sikit-sikit barang. Ada sahaja yang memancing perhatian untuk dibeli.
Lalu di rak jualan bahagian alat tulis, senyum lebar saya apabila lihat stok decorative cloth tapes yang ada. Cantik-cantik corak pitanya. Ni mesti baru sampai. Kalau ikut tamak, rasa macam nak beli semua. Mujurlah kewarasan masih bersisa dalam kepala. 😂
Setelah bergelut dengan diri sendiri, saya hanya beli 3 pita di bawah. Senada warna ketiga-tiganya. Hitam, putih dan kelabu.
Decorative Cloth Tape |
- Basic zentangle design
- Damask
- Slanted stripes
Ukuran pita ini - 4.8 cm X 4 m. Memang berbaloi sangat! Sebelum ini, saya beli pita yang lebih kurang sama di Mr. DIY dengan harga RM3.++.
Decorative cloth tape begini banyak kegunaannya untuk aktiviti seni dan kraf. Selain daripada digunakan sebagai pita cantik untuk bind bahagian tepi buku, cloth tape ini sesuai sangat untuk buat hiasan kad, jurnal atau scrapbook.
Buat penanda buku cantik ni. Tampal cloth tape cantik di atas permukaan kertas keras atau kad, letak riben atau hiasan lain. Letak inspiring quotes pun boleh juga.
Buat kad ucapan
Salah satu sebab utama saya suka cloth decorative tape ini - memudahkan saya untuk buat kad segera. Kadang-kadang terdesak perlukan kad ucapan, stok kad ucapan yang ada dalam simpanan tiada yang bersesuaian atau kena dengan tema. Jadi, kita buatlah kad segera 5 minit.
Kad segera lima minit saya 😊 |
Tampal pita ke atas kad dasar. Kemudian, boleh cap atau letak sentimen/ucapan yang sesuai. Thank you ke ... miss you ke ... Mudah, bukan?
Selain itu, tekstur cloth tape membolehkan pita ini diwarnakan. Lihat kad ucapan mudah di bawah. Saya hanya warna bahagian-bahagian tertentu menggunakan Sharpie markers untuk beri efek yang lebih ceria berwarna-warni.
Kad raya tema rama-rama balik kampung 😁 |
Cari idea untuk kad raya dan kad hari guru
Ada beberapa teman saya sudah mula bertanya idea untuk kad raya dan kad hari guru. Yelah, kita dah naik sesi persekolahan baharu. Nak masuk bulan puasa pula. Terujalah mereka mula merancang itu ini untuk dititipkan kepada guru-guru anak di sekolah.
Dahulu semasa sebelum Covid, saya rajin juga melayan anak-anak mereka datang buat aktiviti seni dan kraf di rumah. Buat kad ucapan untuk hari guru, hari ibu... macam-macamlah.
Sekarang keadaan tidak mengizinkan. Saya tidak mahu ambil risiko. Jadi, dua tiga tahun ini, saya akan tolong fikirkan konsep dan rekaan kad yang mudah, senaraikan bahan-bahan yang perlu dibeli supaya mamanya boleh buat aktiviti dengan anak-anak di rumah. Lagi-lagi untuk isi masa sepanjang bulan puasa sementara menunggu waktu berbuka.
Dua tiga hari ini saya sibuk cari idea kad raya simple yang tidak perlu guna bahan banyak. Pita ini boleh jadi antara bahan kad yang berbaloi untuk dibeli.
Jika berminat, singgahlah Eco berhampiran lokasi kalian dan dapatkan decorative cloth tapes ini. Tetapi, corak-coraknya bergantung kepada stok cawangan Eco itulah ya.
Doa Apabila Dipuji
Khamis, Mac 17, 2022
Assalamualaikum. Apa khabar semua hari ini?
Dahulu pernah saya kongsikan ucapan atau kata-kata yang wajar dilafazkan tatkala kita menerima pujian. Boleh lihat entri ini --> Ini adalah limpah kurniaan Tuhanku.
"Eh, orang puji cakap terima kasihlah. Nanti orang kata kita rude atau perasan bagus pula."
Saya tiada masalah dengan ucapan terima kasih sebegitu. Iyalah, kita pun kena ada budi bahasa. Tetapi, andai ada amalan yang lebih baik buat kita ... tidak salah jika kita praktikkan sekali. Mudah sahaja. Sambil cakap terima kasih tanda menghargai kata-kata baik si pengucap, lafazkan sekali hadza min fadhli rabbi.
Saya pun masih dalam proses untuk amalkan perkara ini secara konsisten. Selalu apabila kena puji, sengih macam kerang busuk je. Habis lupa apa yang hendak dibaca.
Kali ini, saya ingin kongsi satu lagi bacaan berbentuk doa (sumbernya daripada hadith) yang boleh kita baca dan amalkan bilamana menerima pujian atau kata-kata baik. Kredit kepada Jabaran Mufti Negeri Perlis untuk poster doa ini. Perhatikan maksudnya. Elok untuk kita sama-sama amalkan.
Bacaan apabila dipuji. |
Ya Allah,
janganlah Engkau hukum salah ke atasku
dengan segala yang mereka katakan kepadaku
dan ampuni semua kesalahanku
yang mereka tidak mengetahuinya
serta jadikanlah diriku lebih baik
daripada sangkaan yang mereka sangkakan.
Dalam betul intipati doa ini, bukan?
Sesungguhnya, hanya Allah yang mengetahui siapa kita yang sebenar. Baik buruk kita. Kelemahan dan kekurangan kita yang jauh dari sempurna. Jadi, apabila sesekali kita menerima pujian daripada orang lain, jangan terus rasa melambung! Jangan riak! Ini tidak. Baru kena puji sedikit dah kembang lubang hidung. Mula rasa diri bagus dan lebih baik daripada orang lain. Jika diikutkan, kita patut risau apabila dipuji. Bimbang pujian-pujian tu akan buat kita lalai malah boleh memudaratkan kita di kemudian hari.
Orang puji sebab orang cuma nampak sisi baik kita. Sisi kurang baik, aib kita masih terlindung. Allah jaga. Cuba kalau setiap dosa, setiap kelemahan kita dipaparkan secara terbuka, mahu pagi petang siang malam kena kecam! Jadi, sentiasalah beringat untuk mohon keampunan Allah. Senang cakap, jangan mudah lupa diri.
Moga kita semua diberi peluang untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik di mata Allah juga di mata makhluk-makhluk ciptaan-Nya.
Langgan:
Catatan
(
Atom
)