Assalamu'alaikum. Hai semua!
Hari ini bersiaran dari dapur. Kita buat roti canai. Saya tidak pandai bab tebar-tebar roti ini. Jika kalian seperti saya, usah bimbang. Kita buat versi roti canai tanpa perlu tebar. Mudah dan hasilnya tetap umphh! Melalui entri ini, saya kongsikan secara ringkas ya bahan dan cara pembuatannya.
Resepi Roti Canai
Bahan-bahan yang diperlukan:
300g tepung gandum
1 biji telur gred A
50ml minyak masak
150ml air suam
1 sudu teh gula
1/2 sudu teh garam
mentega/marjerin/mentega bawang putih secukupnya
parutan keju secukupnya
1 sudu besar tepung gandum (untuk digunakan ketika menguli doh)
minyak masak secukupnya (untuk rendam dan rehatkan doh)
Langkah-langkah penyediaan:
- Satukan tepung gandum, gula dan garam di dalam sebuah mangkuk sederhana besar. Gaul rata.
- Pukul telur bersama air suam dan minyak. Tuangkan ke dalam tepung.
- Gaul dengan spatula atau tangan sehingga menjadi doh.
- Pindahkan doh ke atas permukaan rata yang telah ditabur dengan sedikit tepung gandum. Uli doh menggunakan bahagian bawah telapak tangan hingga tekstur doh tidak lagi melekat di tangan.
- Bahagikan doh kepada bahagian-bahagian kecil.
- Masukkan minyak masak ke dalam mangkuk, agak-agak sahaja biar cukup untuk saluti doh.
- Rendam doh di dalam minyak dan rehatkan selama satu jam.
Saya suka roti canai yang nipis. Jadi, satu adunan ini saya bahagikan kepada dua belas bahagian. Jika kalian ingin portion yang lebih besar dan tebal, bahagikan doh kepada 8 bahagian.
Beginilah rupa doh yang direndam dalam minyak. Rendam doh sekitar satu hingga satu jam setengah. Tujuannya adalah supaya doh lebih elastik dan tidak mudah koyak apabila diproses nanti. Setelah itu, keluarkan doh dari minyak dan letak di atas permukaan rata.
Pada tahap ini, biasanya orang akan tebar, kan? Haa ... di sini tiada aksi tebar-menebar yang akan dilakukan. Kita cuma perlu canai atau ratakan doh sehingga menjadi nipis dan lebar. Doh kita dah elastik. Jadi, cuba dapatkan tekstur paling nipis. Maaf tiada gambar di sini. Harap kalian dapat bayangkan.
Setelah doh dicanai nipis, sapukan sedikit mentega/ marjerin/ mentega bawang putih atau taburkan sedikit keju ke atas permukaan roti. Bergantung kepada cita rasa kalian sama ada hendak buat roti kosong, bawang putih ataupun keju.
Disebabkan kita tidak tebar, doh kemudiannya hendaklah digulung dan diuli supaya menjadi lebih panjang. Lebih panjang lebih bagus kerana selanjutnya kita akan pintal, bentukkan jadi bulat seperti nak buat roti bom. Lihat gambar di bawah.
Bezanya kalau roti bom, setelah dijadikan doh berpintal, kita cuma leperkan sedikit sebelum dimasak. Untuk roti canai ini, kita perlu canai semula doh sehingga rata.
*Bahagian ini, jika kurang jelas, cari sahaja video roti canai tidak perlu tebar di Youtube. Ada banyak cara yang boleh dipraktikkan.
Di atas dulang tu contoh doh yang sudah siap dibentuk. Setelah dileperkan, akan ada tekstur yang berlapis-lapis. Sedia untuk dimasak di atas kuali leper. Jika tiba-tiba teringin hendak buat roti canai sarang burung yang tular tu, jangan lupa buat lubang di tengah. 😎
Hasil sesudah dimasak. Mengancam tak tekstur roti yang flaky berlapis-lapis tu? Makan begitu sahaja pun sedap. Nak lawan dengan kuah kari, gulai lemak, sambal sardin, gula atau susu pekat, ikut selera masing-masing.
Saya gunakan non-stick pan jadi tidak perlu letak minyak lagi. Tambahan pula, roti tu dah mewah mandi dengan minyak. Tetapi, jika kalian ingin roti yang beraroma, semasa hendak masak tu, bolehlah guna sedikit mentega atau minyak sapi.
Ini pula yang separuh masak. Untuk apa? Kita dinginbekukan. Gandakan resepi untuk dapatkan kuantiti yang lebih banyak.
Mudah, bukan? Selamat mencuba!
boleh cuba buat ni hihihi
BalasPadamAda rupanya roti canai tidak perlu ditebar. Bolehlah orang tidak pandai tebar buat.
BalasPadamSaya pun tak pandai menebar roti canai. Akhirnya akur, tak dapat menguasai kemahiran tebar-menebar itu. Tak tebar pun roti canai masih sedapkan. Haa... jangan tunggu lama-lama kalau nak buat roti canai sarang burung. Comel jew kejadiannya tau!
BalasPadammasa awal pkp mac dlu ramai share buat roti canai...husband pn terjebak juga walaupn tk tebar..jd la utk mkn sdiri kn
BalasPadamWahhh, menarik ni. Kita tak pandai nak tebar, hehe
BalasPadamsuka roti canai yg flaky..ok gak, tak perlu tebar..hihi..
BalasPadamtak tebar pun nampak sedap dan menjadi.. bila buat sendiri kurang berminyak mcm di kedai.
BalasPadamLama tak buat roti canai, masa di perantauan je sebab teringin sangat.
BalasPadamTiba2 tengok posting ni jadi teruja.