Mazhab Cinta Mengenang Kehebatan Cinta Rasulullah

Jumaat, Mac 12, 2021

Hari ini saya ingin kongsi tentang lagu Mazhab Cinta dendangan artis-artis Tarbiah Sentap Records. Pertama kali dengar lagu ini sebenarnya ketika saya sedang tidur. Saya kalau tinggal seorang diri memang akan pasang radio malam-malam biar tak sunyi sangat. Dalam mamai-mamai tu, masa dengar muzik intro dah tertanya-tanya dah lagu apa. Dah dengar, terus jatuh hati! Berusaha saya buka mata dan bangun untuk pergi cari kertas dan pen, catat bait-bait lagu supaya esoknya boleh google. Sebelum ini pernahlah juga masa tidur dengar lagu best dan saya hafal dua baris liriknya sebelum sambung tidur. Agak-agak sendirilah apa yang berlaku keesokan harinya 😆

Mazhab Cinta mengajak kita untuk mengenang kehebatan cinta Rasulullah kepada umatnya. Cinta baginda tidak terbatas kepada umat pada zaman baginda sahaja, tetapi merangkumi kita, umatnya hari ini yang tidak pernah baginda temui, terpisah dek dimensi masa. Cinta baginda juga teruntuk buat hidupan-hidupan lain di muka bumi ini.

Lagu yang melibatkan artis-artis Tarbiah Sentap Records - Rabithah, Aniq Muhai, Syed, The Truth, Areef dan Norhafiz (Autotune Band) dilancarkan pada penghujung Oktober 2020 bersempena dengan Maulidur Rasul. Ada tiga kisah yang diketengahkan melalui lagu ini yang boleh kita jadikan pengajaran; kisah unta menangis mengadu nasib kepada Rasulullah; kisah gunung Uhud yang meragam dan pohon tamar yang menangis kerana rindu akan baginda. Bayangkanlah, Gunung Uhud sudah ada tempat di syurga... bagaimanakah kedudukan kita?

Saya suka semua tentang lagu ini. Gubahan melodinya, liriknya yang jelas, sampai dan meninggalkan kesan. Progression lagu pun berjaya menarik kita untuk terus mendengar. Jika ingin dengar, cari di Youtube ya.

Mazhab Cinta - Artis Tarbiah Sentap Records

Lagu dan lirik: Akmal Mustafa


Alkisah sebuah gunung bernama Uhud

didaki Rasul dan tiga pengikut

bergegar Uhud lantaran rindu

ditenteram Rasul menenangkan rindu.


Alkisah di perkebunan merintih si unta

dibebani kerja sedikit makanannya

dikucup kaki Rasul yang mulia

dibelai Rasul keluhan unta didengar.


Hebatnya manifestasi cinta alam

tiada pohon batu dan pergunungan

yang dilalui baginda tanpa salam

kerana dia sebaik ciptaan.


Dia hadir mengajarkan mazhab cinta

hingga makhluk lain turut merasa

hanya kerana cinta pada baginda

dijanjikan syurga dan bersamanya

hingga Uhud dijanji syurga

Rasul turut mencintainya.


Alkisah pohon tamar yang kekeringan

dahulunya mimbar namun ditinggalkan

menangis rindu rintih bak si bayi

ditenangkan Rasul lantas didakapi.


Walau cinta umat taruh di neraca

pasti cintanya lebih dari segalanya

demi umat darah dan tangis mencurah

biarpun berabad lama terpisah.


Kadang wajahnya gelisah ribut melanda

bimbang umat dihentam azab seksa

kadang gusar baginda umat berlapar

namun rumahnya sering tak punya apa.


Dia hadir mengajarkan mazhab cinta

hingga makhluk lain turut merasa

hanya kerana cinta pada baginda

dijanjikan syurga dan bersamanya.


Kadang wajahnya gelisah ribut melanda

bimbang umat dihentam azab seksa

kadang gusar baginda umat berlapar

namun rumahnya sering tak punya apa

walau tika hujung nyawanya

resah memikirkan umatnya

kerana sebegitu hebat cintanya

layakkah ku jadi umatnya?

layakkah aku kan bersamanya?


Sebenarnya, saya sedang siapkan bahan mengajar untuk kelas online saya. Jadi, lagu dan kisah-kisah dalam lagu ini akan dijadikan aktiviti tambahan semasa kelas nanti. 😊

Selamat mendengar dan selamat menghayati Mazhab Cinta. Mari kita banyakkan berselawat ke atas Rasulullah sebagai tanda kasih kita pada baginda.

12 ulasan

  1. Puitis liriknya. Ok nanti nak dengar. Oklah artis tarbiah sentap dah buat lagu sendiri. Selalu tu cover je

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kan... aktif artis-artis Tarbiah Sentap ni released lagu sendiri sekarang.

      Padam
  2. Ada kesempatan boleh cari. Insya Allah.

    BalasPadam
  3. boleh dengar lagu nii nanti :)

    liriknyaaaa tuu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yang akak suka liriknya tidak terlalu berkias sampai kita tak faham cerita apa yang hendak disampaikan. Ada indah pada kata-kata tetapi masih jelas.

      Padam
    2. yaaa betul tuu kak.. mendalam liriknyaaa ni :)

      Padam
  4. baru tahu pasal lagu ni.. lirik pun mudah difahami

    BalasPadam
    Balasan
    1. Akak pun Nina. Padahal dah keluar Oktober lepas :)

      Padam
  5. ooo baru tahu Tarbiah Sentap dah ada 'produk' lain... selamat dtg ke dunia seni suara :-)

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.