Anak Aku dah Nangis | Satu K atau Dua

Isnin, Mei 23, 2022

“Anak aku dah nangis! Satu k atau dua?”

“Kebanyakan atau kebanyakkan?”

“Keesokan atau keesokkan?”

Semalam, pagi-pagi lagi saya terima panggilan video daripada seorang teman.

Walaupun saya ni jenis garang, apabila melihat wajah teman yang naik hantu tu terus saya minta agar telefon diserahkan kepada anaknya.

"N, kenapa nangis? N kena tahu bezakan antara kata kerja dan kata nama terbitan. Jangan cakap cikgu di sekolah tak ajar!” Kan dah cakap saya garang hahaha. 😂

Ini kepantangan saya. Alasan cikgu tak ajar tu alasan klise. Saya tidak suka andai ada yang memburukkan guru dan saya kena terima share mengumpat sama. Sekali pun mungkin cikgu tidak ajar, ada masalah lain, bersalin, sakit atau tidak cukup guru - saya memang tidak mahu dengar 'cikgu tidak ajar' tu.

Kenapa? Satu, kemungkinan besar anak-anak kita sendiri yang tidak pasang telinga semasa cikgu mengajar. Dua, sebab sepuluh kali cikgu tidak ajar, sebagai murid atau pelajar kita kena usaha untuk cari tahulah, kan? Belajar zaman sekarang bukan macam dulu-dulu. Tak tahu boleh google. Blog dan laman pendidikan berlambak, forum perbincangan, Didik TV, video-video di Youtube pun banyak.

Mujur N cepat-cepat maklumkan pada saya yang cikgu ada ajar, ada beri nota tetapi dia yang tak faham.

OK, I can deal with that!

Saya suruh N terangkan pada saya apa yang dia faham. N kata dua k untuk kata kerja, satu k untuk kata nama terbitan. 

Betul dah tu. Jadi, saya tanya, keesokan satu k atau dua k? Di sini, ilmu ada tetapi tidak dapat hendak diaplikasikan sebab kefahaman N setakat kata kerja itu sahaja. Kata nama terbitan dia blur. 

Jom kita belajar sama-sama.

Kata nama terbitan ialah - perkataan baharu yang terhasil apabila sesuatu kata dasar atau kata akar (boleh daripada kata nama, kata kerja, kata adjektif, kata sendi nama atau kata hubung) menerima imbuhan awalan, akhiran atau apitan. Perkataan baharu yang terbentuk mestilah kata nama barulah dipanggil kata nama terbitan.

Contoh:

  • jalan (kata kerja/ kata nama) - terima imbuhan apitan per- … an - perjalanan (kata nama terbitan)
  • untuk (kata hubung) -  terima imbuhan apitan  per- … an - peruntukan (kata nama terbitan)


Saya akui konsep kata nama terbitan ini agak mengelirukan buat sesetengah pelajar lagi-lagi apabila melibatkan kata nama abstrak. 

Tidak mahu N berteriak sepanjang hari, ini tips mudah yang saya kongsi dengan N. Mana tahu ada antara kita yang masih  keliru dan tercari-tercari. Bolehlah kita sama-sama belajar.

Cara Mudah Tentukan Ejaan Perkataan Satu K atau Dua K

Kenal pasti sama ada perkataan tersebut merupakan kata kerja (perbuatan) ataupun tidak. Kata kerja menerima imbuhan awalan “me-N...kan" (kata kerja aktif) dan "di...kan" (kata kerja pasif).

Kata nama terbitan pula biasa menerima beberapa bentuk imbuhan awalan seperti pe- dan ke- dan imbuhan akhir -an.

Jika kata kerja (perkara tersebut melibatkan perbuatan atau tindakan), kita guna dua k.



Contoh: (Perhatikan k yang digunakan)

naik (kata akar)
  • menaikkan (kata kerja aktif) terima imbuhan -kan
  • dinaikkan (kata kerja pasif) terima imbuhan -kan
  • kenaikan (kata nama terbitan) terima imbuhan -an


banyak (kata akar)
  • membanyakkan (kata kerja aktif) terima imbuhan -kan
  • dibanyakkan (kata kerja pasif) terima imbuhan -kan
  • kebanyakan (kata nama terbitan) terima imbuhan -an

galak (kata akar)
  • menggalakkan (kata kerja aktif) terima imbuhan -kan
  • digalakkan (kata kerja pasif) terima imbuhan -kan
  • galakan (kata nama terbitan) terima imbuhan -an


Lihat contoh di bawah pula:

masak (kata akar)
  • memasakkan
  • dimasakkan
  • masakkan - perintah atau permintaan yang mengkehendaki si pelaku melakukan perbuatan memasak. 
  • masakan - i. tidak mungkin (kata nama terbitan abstrak) ii. makanan yang telah dimasak (kata nama terbitan)

solek (kata akar)
  • menyolekkan
  • solekkan - perintah atau permintaan yang mengkehendaki si pelaku melakukan perbuatan menyolek. 
  • solekan - hasil perbuatan menyolek

Sudah dapat bezakan?


Keesokan atau keesokkan?

Jadi, keesokan atau keesokkan?

Ejaan yang tepat ialah keesokan. Keesokan bukan kata kerja. Jadi, hanya eja dengan satu k.


Alang-alang sentuh tentang keesokan, mana satu yang betul? 

Keesokan hari atau hari keesokan?

Baik, bab ini kita sentuh tentang Hukum DM (Diterangkan - Menerangkan) pula.

Frasa yang betul ialah keesokan hari.
‘Keesokan’ ialah kata yang diterangkan manakala ‘hari’ ialah kata yang menerangkan.


Masih keliru? Tenang. Fahamkan betul-betul. Yang penting kena ingat, jika melibatkan kata kerja baru kita kena guna dua k

Semoga bermanfaat!

14 ulasan

  1. fuhhh...agak complicated tapi kalau faham cara nak beza kan jadi senang..wahhh suka arini dapat ilmu baru

    BalasPadam
  2. eh dpt ilmu dtg sni! alhamdulillah..
    tq k.farah kongsi ilmu.. =')

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah, akak pun happy dapat kongsi ilmu dengan ezy :)

      Padam
  3. wahh..pening gak, dah lama tinggalkan subjek BM ni...thanks Farrah for sharing..

    BalasPadam
  4. Pening juga nak tentukan 1 k atau 2 k

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wak ingat yang penting je... perbuatan kita guna dua k.

      Padam
  5. Hi kak Farrah. Lama tak datang sini :) Thank you for sharing this. Saya pun kadang keliru juga. Lagi bila dah lama tak guna BM in writing. Hari tu pun hampir text orang dengan ejaan keesokan yang salah. Sebelum saya hit send, saya checked balik tengok macam salah je ejaan. Edited the spelling by instinct je ^^'

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hi Farah! Terima kasih sudi berkunjung ke mari! Betul, betul, akak kalau bab spelling ni kan... selalu kena semak semula sebab cepat keliru hahaha

      Lama dah akak tak lawat blog Farah. Tungguuu! Insya-Allah akan datang menyusul!

      Padam
  6. Baca entri ni macam masuk belajar Bahasa Malaysia dengan betul. :) Good sharing kak Farrah. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Heheh moga sama-sama kita dapat manfaatnya :)

      Padam
  7. Pening.. hehehe.. Tapi seronok sebab ilmu baru.. TQ kak Farah..

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.