Bakar Semula Biskut Lemau

Sabtu, Julai 30, 2022

Assalamualaikum. Salam santai Sabtu! Salam 1 Muharam! Hari ini saya bersiaran dari rumah, masih dalam proses mengemas. Dua minggu lebih juga tidak balik kerana ada urusan di luar kota. Maka, banyaklah hal ehwal rumah yang perlu diuruskan.

Dari semalam sibuk kemas dapur dan pantri. Tengok stok barang dapur, semak tarikh luput makanan dan minuman yang ada sebelum pergi beli stok baharu. Masa kemas stok beginilah akan jumpa macam-macam. 

"Eh, saya tak tahu kita ada teh jenama ni?" 

"Mana dapat biskut dalam balang ni?" 

"Kerepek ni bila kita beli?" 😄

Selain jumpa khazanah-khazanah berharga yang boleh dinikmati kemudian, jumpa juga benda-benda lain yang perlukan tindakan segera. Antaranya, biskut Jacobs Hi Calcium Low Salt yang kandungannya hanya berbaki suku tin. Dah lemau!

Ini memang kebiasaan di rumah saya. Biskut tu kalau awal-awal buka, memang laku keras. Tinggal setengah pun laku lagi. Nanti bila dah hujung-hujung, terbiar dilupakan begitu sahaja. 

Biskut lemau begini jangan dibuang begitu sahaja. Sayang! Rezeki tu, kan? Habis tu, kita nak buat apa?

Kita bakar supaya rangup semula.


Cara Bakar Semula Biskut Lemau

Biskut lemau sedia untuk dibakar semula.

Caranya mudah sahaja. Mula-mula, saya susun biskut lemau di atas dulang pembakar. Biskut yang pecah-pecah pun saya susun atas dulang dan bakar sekali. Serpihan-serpihan kecil ini yang syok cecah dengan air panas.

Masukkan ke dalam ketuhar pembakar dan bakar antara 5 - 10 minit. Tempoh membakar bergantung kepada banyak mana biskut yang hendak dibakar, tekstur dan ketebalan biskut. Biasanya, saya guna suhu dalam 140 - 160 darjah celcius. Kita bukan hendak bakar adunan mentah. Tidak perlu guna suhu yang tinggi. 

Kalau rasa tidak yakin, jangan ditinggalkan biskut di dalam ketuhar pembakar lama-lama. Rentung pula nanti. Agak-agak bau biskut dah naik, bolehlah dikeluarkan. Jika hendak versi yang lebih garing, lamakan sedikit. Terserah cita rasa masing-masing.

Setelah dikeluarkan, biarkan di atas redai buat seketika sehingga biskut benar-benar sejuk. Simpan di dalam balang kedap udara. Sekarang, biskut lemau sudah rangup dan boleh dinikmati dengan senang hati. 

Okey, selamat beristirahat. Saya belum sempat blogwalking dan balas komen. Ni nak pergi tuntut surat dan parcel saya dari rumah jiran. Insya-Allah, selesai spruce up rumah, baru saya jalan-jalan blog kalian ya. Terima kasih, sudi datang menjengah ke mari! 😘


11 ulasan

  1. Saya kalau terjumpa makanan yang lemau seperti biskut, kacang, kerepak dll saya bakar dalam air fryer beberapa minit. Memang hasilnya rangup seperti sediakala.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Rangup krup krap krup krap dah tak lemau lagi :)

      Padam
  2. Hari tu ada ternampak dalam tiktok ada sorang tu kongsi tips yg sama . Lepas ni boleh cuba

    BalasPadam
    Balasan
    1. Senang ke, kan? Akak dulu asal lemau je buang... sebab rasa tak edible. Dah tua-tua nilah baru pandai nak rangupkan balik hahaha

      Padam
  3. Menarik cara ni. Tidaklah membazir. Wah.. Busy sungguh kak Farrah. Kalau di rumah ni kemas pantry sambil dengar mak membebel sebab beli je pandai, makan/masaknya malas

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yang penting tak membazir, kan?
      Huhuhu busy buat treatment, Sal. Habis tunggang-langgang rumah kena tinggal.

      Hahaha bab mak membebel tu akak memang boleh relate. Akak ni nasib baik duduk berdua, diam-diam bebel kat diri sendirilah.

      Padam
  4. pernah terbaca jugak tips ni, tapi x pernah try. sbb biskut selalunya abis..x dan nak lemau

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itu yang kita mahu sebenarnya kan... habis terus! Tak dan nak lemau :D

      Padam
  5. Terima kasih kak farah.. Lepas ini boleh makan semula biskut yang lemau..

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.