Khamis, September 29, 2022

Tart Nanas Keju Cheddar

Assalamualaikum. Hujung minggu lepas saya buat kuih tart nanas. Versi yang dohnya letak keju. Biar lemak berganda rasanya. Sudah lama teringin hendak makan tart nanas berkeju. Kebetulan beberapa hari sebelum itu ada singgah kedai jual bahan buat kuih dan kek. Saya beli sekali jem nanas satu pek kecil.


Tart nanas berkeju

Kuih tart sedang beratur hendak masuk oven. Saiz tart sengaja buat kecil cenonet begini. Konon-kononnya, makan untuk lepaskan craving je. Portion kecil, jimat kalori. Konon jelah. Sekali dah pekena sebiji, ulang lagi dua tiga biji. 😂

Maaf, gambar siap tiada. Saya rasa ada ambil. Tetapi, apabila tengok semula galeri telefon tiada pula. Apa yang penting, tart nanas ni memang sedap! Gabungan jem nanas dengan doh berkeju ngam sangat! Bagi yang suka keju, boleh lebihkan sedikit keju sesuai cita rasa. Masa bakar tart, semerbak baunya satu rumah.

Okey, jom tengok resepi!

Resepi Tart Nanas Keju Cheddar


Bahan A

  • 240 gram mentega
  • 60 gram gula aising
  • 1 biji kuning telur
  • 1 sudu teh esen vanila

Bahan B (Ayak)

  • 40 gram tepung jagung
  • 50 gram tepung kastard
  • 20 gram susu tepung
  • 300 tepung gandum

Bahan C

120 - 150 gram keju cheddar (parut halus)

Lain-lain

  • Jem nanas secukupnya 
  • Sedikit telur kuning. Campur dengan sedikit air dan pewarna kuning untuk dijadikan sapuan atas kuih tart.
  • Acuan kuih tart


Langkah-langkah Penyediaan:

  1. Pukul mentega dan gula aising hingga kembang. Masukkan telur diikuti dengan esen vanila.
  2. Setelah semuanya sebati, masukkan tepung dan parutan keju sedikit demi sedikit hingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan. Jika tidak mahu guna mixer, boleh juga satukan semua bahan dan uli dengan menggunakan tangan. 
  3. Ambil sedikit doh, letakkan ke dalam acuan tart dan picitkan ke atas dulang. Seterusnya, letakkan jem nanas dan gulung doh tadi. 
  4. Susun doh kuih tart yang telah siap digulung di atas dulang pembakar. Ulang proses yang sama sehingga selesai.
  5. Bakar pada suhu 170 darjah celcius selama 20 - 25 minit. Biasanya saya akan letak sapuan kuning telur apabila kuih hampir masak. Keluarkan kuih, sapu kuning telur dan bakar lagi dalam 5 minit. Saya tidak suka sapuan kuning telur tu jadi kecoklatan dan gelap sangat.

Tips:

  1. Untuk memudahkan kerja, jem nanas boleh dimasukkan ke dalam peti sejuk terlebih dahulu. Apabila hendak membuat kuih, keluarkan dan bentukkan jem menjadi bebola kecil. Senang nanti apabila kita hendak letakkan di atas permukaan kuih tart.
  2. Jika doh agak lembik dan sukar diterap, tambahkan sedikit tepung. 
  3. Selain buat tart jenis gulung begini, resepi ini juga sesuai untuk buat tart bunga. Cuma kena pastikan dohnya tidak terlalu lembik hingga sukar diterap.
  4. Tidak guna tepung kastard pun tidak mengapa. Gantikan sukatan tepung kastard dengan tepung gandum.


Selamat mencuba! Kalian suka tart gulung atau tart bunga?

11 ulasan:

  1. perghhh rajin nya dia buat kuih tart hehe

    BalasPadam
  2. Dalam 2,3 hari ni saya asyik terbayang kuih lidah buaya. tapi tak jumpa.. Kalah orang mengidam.. haha

    BalasPadam
    Balasan
    1. Baca komen Fairus buat saya pun teringin makan kuih lidah buaya. :)

      Padam
  3. saya suka tart yang orang lain buat. hehe. gulung lagi sedap pada pendapat saya

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hahah tart yang orang lain buat memang lain macam sedapnya :D

      Padam
  4. tiba tiba teringat jem.nenas dlm.fridge he hew sedappp. Mkn tart gulong.
    adoiii bila.nk rajin ni. Kalau buat mesti habis

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selamat mengetart, Cik Nur. Bahan-bahan dah ada tu :D

      Padam
  5. Aduh.. Lain macam gabungan nya.. Keju dan nanas..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sedap, Sha... tak cukup seketul. Kena makan berketul-ketul :D

      Padam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.