Resepi Kek Cawan Kopi

Khamis, Disember 08, 2022

Assalamualaikum. Hari ini kita cerita tentang kek cawan kopi (coffee cupcakes). Sudah lama tidak bersiaran, tidak menjenguk blog, saya kongsi resepi dahulu. Mana tahu ada yang teringin menikmati kek cawan dengan sentuhan rasa kopi. Bolehlah cuba.

Ini kisah selepas baru pulih viral fever bulan lepas. Dah baik sakit, mulalah tekak tu meragam hendak makan itu ini. Kebetulan, bahan-bahan untuk buat kek ada, serba cukup. Jadi, saya buatlah kek cawan kopi.

Lama benar tidak menikmati kek cawan kopi ini. Jika diikutkan, bukan sahaja kek cawan kopi, kek cawan lain pun dah lama saya tidak makan. Dahulu masa muda-muda, rajin food hunting cari kek cawan dan mufin yang sedap-sedap. Masa tu kek cawan memang tengah in. Sana-sini orang berlumba-lumba jual kek cawan dengan pelbagai hiasan dan perasa menarik. 

Kek Cawan Kopi | Coffee Cupcakes

Sebagai penggemar kopi, tentunya kek cawan kopi antara perasa kek cawan kegemaran saya. Lazimnya, saya buat kek sahaja, kosong tanpa frosting. Jika sesekali ingin manjakan tunas rasa, barulah saya akan buat frosting yang simple perasa kopi atau mocha. Dua-dua sedap! 

Selepas beberapa jam bertungkus-lumus di dapur, inilah kek cawan kopi saya. Gigih swirl frosting buat bentuk bunga walaupun nyata tangan tu memang tiada skil untuk hias kek cawan cantik-cantik. Bukan main lagi saya tahan nafas dengan tangan yang terketar-ketar semasa paipkan frosting di atas permukaan kek cawan. 😂 Lepaslah buat makan-makan sendiri.


Baik, jom tengok resepi!

Resepi Kek Cawan Kopi

Bahan-bahan yang diperlukan:

Untuk kek

  • 175 g mentega tanpa garam (dibiarkan lembut pada suhu bilik)
  • 175 g gula perang
  • 3 biji telur gred A (dipukul sehingga kembang)
  • 175 g tepung naik sendiri
  • 2 sudu teh serbuk kopi segera. Kali ini saya guna Moccana. Larutkan serbuk kopi dengan 1 sudu besar air panas. Ketepikan dan biarkan sejuk.
  • 75 g kacang walnut (dicincang kasar)
 

Untuk Coffee Frosting

  • 200 g mentega tanpa garam (dibiarkan lembut pada suhu bilik)
  • 200 g gula ising
  • 2 sudu teh serbuk kopi segera yang dilarutkan dengan 1 sudu besar air panas. Biarkan sejuk.
  • 50 - 60 g kacang walnut untuk hias permukaan kek cawan
 
*Kacang walnut perlu dibakar seketika di dalam ketuhar pembakar selama lebih kurang lima ke enam minit. Biarkan kacang sejuk sebelum dimasukkan ke dalam adunan resepi.

 

Langkah-langkah penyediaan:

Untuk kek

  1. Panaskan ketuhar pembakar terlebih dahulu. Suhu antara 170 - 180 darjah celcius. 
  2. Pukul mentega dengan gula perang sehingga adunan menjadi lembut dan sebati. Kemudian, masukkan telur yang telah dipukul diikuti dengan tepung naik sendiri dan pukul lagi sekitar 30 saat menggunakan kelajuan sederhana.
  3. Seterusnya, masukkan larutan kopi dan pukul lagi sehingga semuanya sebati.
  4. Masukkan cincangan kacang walnut ke dalam adunan kek. Kaup balik adunan supaya kacang tergaul rata.
  5. Masukkan adunan kek ke dalam acuan kek cawan atau dulang pembakar mufin. Bakar selama 20 - 25 minit atau sehingga kek masak.
  6. Setelah kek masak, biarkan kek benar-benar sejuk di atas redai sebelum diletakkan frosting.
  7. Paipkan frosting ke atas permukaan kek cawan. Hias dengan kacang walnut sebagai sentuhan akhir.

Untuk Coffee Frosting

  1. Pukul mentega sehingga menjadi lembut. 
  2. Secara berperingkat, masukkan gula icing dan pukul menggunakan kelajuan perlahan sehingga gula icing dan mentega jadi sebati. Setelah itu, tingkatkan kelajuan dan pukul lagi sekitar 3 hingga 4 minit sehingga adunan mula bertukar menjadi lembut dan gebu. 
  3. Masukkan larutan kopi dan terus pukul selama lebih kurang lima minit. Tekstur frosting yang telah siap akan kelihatan ringan dan gebu.


Penggunaan serbuk kopi segera penting untuk dapatkan rasa kopi yang ummphhh terangkatnya. Jangan guna serbuk kopi campuran kerana akan ada sisa serbuk kopi yang tidak larut.

Ada juga sesetengah resepi frosting yang menggunakan coffee emulco, esen kopi atau esen mocha. Saya lebih suka guna serbuk kopi segera sahaja. 

Selain itu, boleh juga tabur cip coklat, cip kopi atau butterscotch sebagai hiasan di atas frosting. Tidak semestinya kena guna kacang walnut.


Selamat mencuba!


12 ulasan

  1. Dh sihat ke farrah? Mmg peminat tegar kopi lah ni... detail sgt resepinya tu rugi kalau peminat kopi x cuba

    BalasPadam
  2. selalu teringin buat sendiri kek cawan...cawan ada, bahan lain tapi rajin tu yg tak ada.

    BalasPadam
  3. sy tggu peluang je ni...bla laa dpt rasa hehehe

    BalasPadam
  4. Comey dah tu tangan terketar ketar pun. Kalau perisa kopi ni, bau dia pun dah cukup menggiurkan.

    BalasPadam
  5. Nampak sedap, baca resepi pun dah terasa2 sedapnya

    BalasPadam
  6. Mestilah sedap ni sebab perisa kopi..

    BalasPadam
  7. Alhamdulillah, terima kasih kongsi resipi

    BalasPadam
  8. Aduh.. Apa sahaja yang ada kopi, automatik jadi menyelerakan..

    BalasPadam
  9. wow... siap ada frosting bagai... Daebak!

    BalasPadam
  10. sedapnyaa akak! mcm makan di hotel. siap dengan walnut

    BalasPadam
    Balasan
    1. kan...
      deko mengancam walaupun homemade.
      terbaik, farrah.

      Padam
  11. rajinnya farrah. salute la :)
    aida bab baking ni memang fail! ha ha ha...
    tapi suka makan. beli aje, farrah. aduhai :)

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.