Acar Halia Ikan Masin

Jumaat, Januari 27, 2023

Hari ini kita cerita tentang acar halia ikan masin. Asalnya saya ingin buat acar buah ikan masin. Puas cari buah-buahan kering dan jeruk untuk dijadikan bahan acar di kedai berhampiran rumah. Tiada pula. Tak ada rezekilah nampaknya.

Disebabkan dari awal niat nak buat acar buah, saya teruskan je. Cuma saya gantikan dengan hirisan halia. Pernah makan tak halia dalam acar? Sedap, kan? Ramuan acar yang menyerap dan sebati dalam hirisan halia tu, lain macam lazatnya. Yummehh! 🤤

Lihat juga: Kerabu Buah Pala Sagat


Inilah acar halia ikan masin talang saya. Saya guna resepi acar buah yang biasa saya guna. Jom intai resepinya.

Acar Halia

Resepi Acar Halia Ikan Masin Talang

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Ikan masin. Kuantiti dan jenisnya juga terpulang pada kalian. Boleh gunakan ikan kurau, talang atau apa sahaja ikan masin yang ada. Saya guna ikan talang.
  • 10 - 12 ulas bawang putih (biarkan seulas begitu, tak perlu dihiris)
  • 1 tongkol halia (dihiris nipis memanjang)
  • 1 senduk cili kisar/cili giling
  • segenggam kecil cili api
  • beberapa tangkai daun kari
  • 1 sudu kecil serbuk jintan manis
  • 1 sudu kecil serbuk jintan putih
  • 4 - 6 sudu besar cuka putih *
  • 4 sudu besar gula *
  • minyak masak secukupnya untuk menumis
(*) Tidak perlu guna kesemuanya. Bergantung kepada cita  rasa anda hendak imbangkan masam dan manis acar yang dibuat.

(**) Halia boleh guna halia muda atau tua. Dua-dua saya pernah guna. Kedua-duanya sedap.

Jika ada jeruk atau buah-buahan kering, bolehlah letak sekali. Saya letak sedikit jeruk kulit limau kerana itu sahaja yang ada di rumah. Tetapi, tidak nampak pula bayangnya dalam gambar di atas. 


Bahan kisar:
  • 7 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 3 sentimeter halia
  • sedikit air

Langkah-langkah Penyediaan:

  1. Potong ikan masin kepada beberapa bahagian dan basuh untuk menghilangkan sedikit kemasinannya. 
  2. Goreng ikan masin dan ketepikan.
  3. Sediakan pula sedikit minyak untuk menumis. Tumis daun kari hingga garing dan naik bau. Kemudian masukkan bahan yang dikisar, serbuk jintan manis dan jintan putih.
  4. Setelah itu, masukkan pula cili kisar/cili giling dan biarkan sehingga cilinya masak.
  5. Seterusnya, masukkan bawang putih, hirisan halia, cili api, cuka dan gula. Masak seketika sehingga pecah minyak.
  6. Setelah pecah minyak, masukkan potongan ikan masin yang digoreng tadi. Gaul sekata. Siap!

Selamat mencuba!

8 ulasan

  1. suka makan but x rajin nak buat....plus makan pun skt2 je..
    alasan..mcm2 kan.. he he he

    BalasPadam
    Balasan
    1. Saya rajin sikit je, Ayu. Itu pun sebab teringin sangat nak makan, cari orang jual tak jumpa heheh

      Padam
  2. adoii sedapp nya
    teringat bln puasa bila nmpk ikan masin. Sb arwah mak wajib ni ikan masin utk sahur. Tambah selera

    BalasPadam
  3. sedapnyaaaa... sy kalau ada ikan masin tak kisah laa msk apa pun mmg lajuuu je makan hehehe

    BalasPadam
  4. Tak pernah makan lagi, harap ada rezeki nak try suatu hari nanti :)

    BalasPadam
  5. Menarik resipinya. Memang bagus halia ditambah dalam acar. Sedap makan nasi panas dengan acar begini.

    BalasPadam
  6. Rajin betul kak farah.. sedap lauk nie..

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.