Resepi Air Fryer - Kacang Buncis Bawang Putih

Selasa, Oktober 11, 2022

Hari ini saya ingin kongsi satu resepi sayur mudah dan sedap - kacang buncis bawang putih. Biasanya, kacang buncis ini digoreng sahaja. Tetapi, kali ini saya masak kacang buncisnya di dalam air fryer.


Kacang buncis bawang putih

Resepi Kacang Buncis Bawang Putih

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Kacang buncis dibersihkan dan dipotong
  • 3 - 5 ulas bawang putih, ditumis dengan sedikit minyak sehingga garing
  • Chili flakes sesuai cita rasa
  • Bijan putih yang telah disangrai secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit minyak masak untuk menumis


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Didihkan air di dalam periuk dan masukkan potongan kacang buncis. Masak selama lebih kurang satu minit untuk dapatkan tekstur kacang buncis yang lembut.
  2. Setelah satu minit, keluarkan dan tus kacang buncis.
  3. Gaulkan kacang buncis dengan beberapa titis minyak masak dan masak di dalam air fryer pada suhu 170 - 180 darjah celcius selama 5 - 8 minit. Suhu dan tempoh memasak bergantung kepada air fryer masing-masing.
  4. Taburkan dengan chilli flakes, bijan yang disangrai dan tumisan bawang putih garing tadi. Perasakan dengan garam.
  5. Sedia untuk dinikmati.

Jika kalian ingin langkau langkah 1 dan mahu masak terus kacang buncis di dalam air fryer pun boleh. Tiada masalah. Tetapi hasilnya tidak sama ya. Andai tidak dicelur di dalam air panas terlebih dahulu, setelah dimasak kulit luar kacang buncis akan jadi terlalu berkedut dan warnanya lebih coklat. Isinya juga tidak selembut kacang buncis yang dicelur.

Tiada air fryer? Goreng kacang buncis seperti biasa. Sedap juga.

Ada satu lauk ni makan dengan nasi panas dah cukup dah. Tak pandang lauk lain. Ratah begitu sahaja pun lazat. 

Ingin sesuatu yang lebih lazat? Saya sarankan, tabur nasi kalian dengan kepingan rumpai laut. Seaweed tu, tidak kiralah jenama Tao Kae Noi atau jenama lain ... ada perasa atau tidak ... ramas-ramaskan sehingga jadi kepingan kecil separa hancur. Tabur ke atas permukaan nasi, makan dengan kacang buncis. Yummeh!

Selamat mencuba!







Dim Sum Enak untuk Minum Petang

Isnin, Oktober 10, 2022

Assalamualaikum. Tengah buat apa? Puas tak dapat berehat cuti hujung minggu extra satu hari?

Saya hari ini bermalas-malasan sepanjang hari. Tak produktif langsung. Padahal ada banyak je kerja yang perlu dilunaskan. Tetapi, sebab hari ini cuti, automatik badan dan fikiran ini langsung tidak mahu fikir tentang kerja. 

Semalam dah keluar jalan-jalan, jadi hari ini lepak dan beristirahat di rumah sahaja.

Kalian sudah minum petang? Saya baru lepas mengisi perut dengan dim sum. Buka peti dingin beku tengok ada sepek dim sum beku. Biasa orang makan dim sum untuk sarapan tengah hari (brunch). Kali ini, kita bawa hidangan brunch ke waktu minum petang.

Malas hendak keluarkan periuk mengukus, saya kukus guna ciri kukusan pada ketuhar gelombang mikro sahaja. Lebih cepat dan mudah. Cuma masukkan ke dalam bekas kukusan, letak air di bahagian bawah bekas dan kukus. Untuk makanan beku seperti dim sum ini, cuma perlu kukus sekitar lima ke tujuh minit.


Ting! Siap!

Sedia untuk dinikmati.


Pek dim sum beku ini didatangkan sekali dengan sos pencecah. Kadang-kadang apabila beli dim sum beku, tiada sos pencecah yang disertakan. Pandai-pandailah nak makan dengan sos apa. Ada 8 jenis dimsum di dalam pek - siew mai, daging, lada hitam, udang, keju dan macam-macam lagi. Dua ketul setiap satu perasa. Kira puas dan mengenyangkanlah. 

Sos pencecah yang disediakan.

Kura-kura Datang Bertamu

Jumaat, Oktober 07, 2022

Pagi semalam, sewaktu saya sedang berbual di telefon dengan seseorang, tiba-tiba dengar suara Bott menjerit-jerit panggil saya dan tanya kenapa ada kura-kura datang rumah.

Biar betul si Bott ni. Kura-kura? Saya fikir saya salah dengar. Saya pun bergegaslah ke pintu gelangsar. Ya Allah, betul ada kura-kura! Bayangkan, jarak pagar hadapan dengan rumah saya adalah lebih kurang dalam 20 tapak. Kura-kura tu memang masuk macam tetamu, ikut pagar dan merangkak laju mendekati pintu gelangsar. Ini mesti geng kura-kura yang menang lawan lumba lari dengan arnab. 🤣

Saya pun terus minta diri  tamatkan panggilan. Ada kura-kura datang rumah! Teman berbual saya siap suruh periksa sama ada ada tulisan ataupun tidak di atas cangkerangnya. Mungkin kura-kura tersebut digunakan untuk upacara anutan penganut agama lain dan terlepas.

Ingat tak suatu masa dahulu seekor kura-kura besar (Kursar) viral sebab suka jalan-jalan dengan tuannya ambil angin di sekitar kawasan perumahan mereka? Rasanya Kursar tu spesies gergasi Aldabra.


Ini Kurtasar, kura-kura tak berapa besar. 😂
Tetamu istimewa saya, Kurtasar

Dapat Baucar GrabFood RM100 Sebab Kopi

Khamis, Oktober 06, 2022

Semalam sewaktu saring-saring e-mel, baru perasan yang saya terlepas pandang satu e-emel ini. Pada awalnya saya ingat sekadar e-mel promosi produk atau neswletter. Tetapi, setelah dibaca terus senyum lebar sampai telinga!

Saya dapat baucar GrabFood RM100 lah!

GrabFood RM100 Value eGift