Nafas Baharu Jika oleh Nuha Bahrin, Naufal Azrin

Rabu, Oktober 12, 2022

Kira-kira dua dekad yang lalu, lagu Jika nyanyian dan ciptaan Melly Geoslow telah mencipta fenomena baik di Indonesia mahupun di negara kita sendiri. Dengan klip videonya yang ada plot twist (mereka bukan berpacaran pun, masing-masing jumpa orang lain di akhir klip), lagu ini sentiasa diputarkan di corong-corong radio dan menjadi siulan ramai.

Pasangan duet yang popular dengan Casablanca cuba untuk mengembalikan kegemilangan Jika dengan gubahan yang lebih segar. Apa yang menarik, Jika versi Nuha Bahrin dan Naufal Azrin ini, sebahagian daripada liriknya didendangkan dalam bahasa Arab. Versi baharu ini mendapat pujian daripada Melly Goeslow sendiri. Berminat hendak dengar? Tonton klip video Jika di saluran Youtube Alfarecords. Kalian nilaikan sendiri.


Kredit Imej - Saluran Youtube Alfarecords

Assalamualaikum. Selamat Hari Rabu! 

Entri pasal makanan lagi. Rasa-rasanya, banyak lagi entri saya yang akan datang berkisar tentang makanan. Maklumlah, saya baru lepas kemas pantri. Macam macam snek, biskut, makanan kering, makanan dalam tin dan produk minuman yang saya jumpa. Sekarang tengah musim kuat makan pula tu! 😂

Selalunya apabila ada rezeki orang beri produk makanan sebegini dan saya atau Bott tak sempat nak rasa, kami simpan sahaja dahulu elok-elok di dalam pantri. Tidak dan nak rasa hari ini, esok lusa bolehlah dijadikan snek kunyah-kunyah gatal gigi.

Semalam, sewaktu mata pula penat menghadap kerja di komputer, terasa ingin makan something sweet. Apa lagi, kita selongkar pantrilah. Rasa-rasanya ada beberapa balang cookies yang belum dibuka dan dirasa.

Ini yang paling menarik perhatian saya. Mavrica Bites Chocolate Chip Cookies.


Mavrica Bites Red Velvet Chocolate Chip Cookies

Resepi Air Fryer - Kacang Buncis Bawang Putih

Selasa, Oktober 11, 2022

Hari ini saya ingin kongsi satu resepi sayur mudah dan sedap - kacang buncis bawang putih. Biasanya, kacang buncis ini digoreng sahaja. Tetapi, kali ini saya masak kacang buncisnya di dalam air fryer.


Kacang buncis bawang putih

Resepi Kacang Buncis Bawang Putih

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • Kacang buncis dibersihkan dan dipotong
  • 3 - 5 ulas bawang putih, ditumis dengan sedikit minyak sehingga garing
  • Chili flakes sesuai cita rasa
  • Bijan putih yang telah disangrai secukupnya
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit minyak masak untuk menumis


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Didihkan air di dalam periuk dan masukkan potongan kacang buncis. Masak selama lebih kurang satu minit untuk dapatkan tekstur kacang buncis yang lembut.
  2. Setelah satu minit, keluarkan dan tus kacang buncis.
  3. Gaulkan kacang buncis dengan beberapa titis minyak masak dan masak di dalam air fryer pada suhu 170 - 180 darjah celcius selama 5 - 8 minit. Suhu dan tempoh memasak bergantung kepada air fryer masing-masing.
  4. Taburkan dengan chilli flakes, bijan yang disangrai dan tumisan bawang putih garing tadi. Perasakan dengan garam.
  5. Sedia untuk dinikmati.

Jika kalian ingin langkau langkah 1 dan mahu masak terus kacang buncis di dalam air fryer pun boleh. Tiada masalah. Tetapi hasilnya tidak sama ya. Andai tidak dicelur di dalam air panas terlebih dahulu, setelah dimasak kulit luar kacang buncis akan jadi terlalu berkedut dan warnanya lebih coklat. Isinya juga tidak selembut kacang buncis yang dicelur.

Tiada air fryer? Goreng kacang buncis seperti biasa. Sedap juga.

Ada satu lauk ni makan dengan nasi panas dah cukup dah. Tak pandang lauk lain. Ratah begitu sahaja pun lazat. 

Ingin sesuatu yang lebih lazat? Saya sarankan, tabur nasi kalian dengan kepingan rumpai laut. Seaweed tu, tidak kiralah jenama Tao Kae Noi atau jenama lain ... ada perasa atau tidak ... ramas-ramaskan sehingga jadi kepingan kecil separa hancur. Tabur ke atas permukaan nasi, makan dengan kacang buncis. Yummeh!

Selamat mencuba!







Dim Sum Enak untuk Minum Petang

Isnin, Oktober 10, 2022

Assalamualaikum. Tengah buat apa? Puas tak dapat berehat cuti hujung minggu extra satu hari?

Saya hari ini bermalas-malasan sepanjang hari. Tak produktif langsung. Padahal ada banyak je kerja yang perlu dilunaskan. Tetapi, sebab hari ini cuti, automatik badan dan fikiran ini langsung tidak mahu fikir tentang kerja. 

Semalam dah keluar jalan-jalan, jadi hari ini lepak dan beristirahat di rumah sahaja.

Kalian sudah minum petang? Saya baru lepas mengisi perut dengan dim sum. Buka peti dingin beku tengok ada sepek dim sum beku. Biasa orang makan dim sum untuk sarapan tengah hari (brunch). Kali ini, kita bawa hidangan brunch ke waktu minum petang.

Malas hendak keluarkan periuk mengukus, saya kukus guna ciri kukusan pada ketuhar gelombang mikro sahaja. Lebih cepat dan mudah. Cuma masukkan ke dalam bekas kukusan, letak air di bahagian bawah bekas dan kukus. Untuk makanan beku seperti dim sum ini, cuma perlu kukus sekitar lima ke tujuh minit.


Ting! Siap!

Sedia untuk dinikmati.


Pek dim sum beku ini didatangkan sekali dengan sos pencecah. Kadang-kadang apabila beli dim sum beku, tiada sos pencecah yang disertakan. Pandai-pandailah nak makan dengan sos apa. Ada 8 jenis dimsum di dalam pek - siew mai, daging, lada hitam, udang, keju dan macam-macam lagi. Dua ketul setiap satu perasa. Kira puas dan mengenyangkanlah. 

Sos pencecah yang disediakan.