Seronok Main Mercun di Syurga
Jumaat, Februari 14, 2025
“I am sorry for your loss.” Lembut sahaja kata-kata gadis berkaca mata berbangsa Cina memujuk saya. Saya yang ketika itu sudah teresak-esak menangis hanya menganggukkan kepala. Fokus saya kala itu pada jasad Yuri yang dingin kaku di atas meja rawatan. “Mungkin sekarang dia tengah seronok main mercun di syurga,” ujarnya lagi.
Okey, masa ini saya rasa macam hendak tersedak hingus sendiri. Tidak pasti mahu gelak atau nangis. Saya baru sahaja kehilangan Yuri yang sudah 13 tahun bersama saya dan di hadapan saya sekarang ini, seorang petugas klinik veterinar cuba menggembirakan hati saya dengan mengatakan yang Yuri kini berada di tempat yang lebih baik. Mungkin Yuri sedang bersuka ria main mercun di syurga.
Mentang-mentanglah masih dalam musim raya Cina, main mercun dikatanya. Nasib baik dia tak kata Yuri buat tarian naga. 🤣 Apapun, saya hargai niat murninya yang cuba tenangkan saya.
My Yuri |