Selasa, Disember 07, 2021

Cara Buat Buttermilk

Bagi kalian yang suka memasak, membakar kek, biskut dan kuih, tentu kalian gemar mencuba resepi baharu, bukan? Pernah atau tidak jumpa mana-mana resepi yang memerlukan buttermilk sebagai salah satu bahannya?

Buttermilk atau susu mentega ada dijual di pasar raya cuma kadang-kadang agak sukar didapati. Jika ada pun mungkin dalam kotak atau botol besar yang terlalu banyak untuk keperluan kita. Saya tidak pernah cuba dinginbekukan buttermilk sebelum ini. Tidak pasti sama ada buttermilk boleh didinginbekukan dengan baik ataupun tidak tanpa menjejaskan kualitinya.

Jadi, saya lebih gemar menyediakan sendiri susu yang diasidkan sebagai pengganti buttermilk apabila hendak guna dalam sesuatu hidangan. Mudah. Hanya perlu dua bahan - susu dan sesuatu yang berasid seperti cuka atau jus lemon.


Cara Membuat Buttermilk

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 cawan susu (tidak kira sama ada susu segar, penuh krim, rendah lemak, oat atau badam)
  • 1 sudu besar perahan jus lemon atau cuka putih


Langkah penyediaan:

  1. Campurkan kedua-dua bahan. Kacau sedikit supaya sebati.
  2. Biarkan selama 15 - 20 minit pada suhu bilik sehingga tekstur susu menjadi sedikit mengental seperti gambar di bawah.
  3. Sedia untuk digunakan.



Jika dilihat, tekstur buttermilk akan jadi lebih pekat daripada susu biasa tetapi tidaklah sepekat krim. Dari segi rasa pula, rasanya sedikit masam seperti yogurt kosong. Guna kaedah ini mudahlah kita untuk sediakan pengganti buttermilk apabila diperlukan. Baki yang tidak digunakan boleh disimpan sehingga 3 ke 4 hari di dalam peti ais.

Saya memang suka guna buttermilk untuk bake. Kalau buat kek, roti atau muffin akan jadi lebih lembut dan lembap. Buat lempeng (pancake) jadi lebih gebu dan berongga.

Antara resepi kegemaran saya menggunakan buttermilk ialah Honey Butter Biscuits ala Texas Chicken. Resepinya di sini

Selain itu, saya juga biasa gunakan buttermilk untuk buat ayam goreng. Rangup di luar, isi lembut di dalam.

Ayam Buttermilk

Insya-Allah, nanti ada kesempatan saya muat naik resepi ayam buttermilk kemudian.


4 ulasan:

  1. tq for sharing..tak pernah guna buttermilk..boleh try lepas ni..

    BalasPadam
  2. ammi tak pernah gunakan buttermilk dalam masakan..
    kalau rasa nak masam ammi guna yogurt asli je

    BalasPadam
  3. selalu nampak resepi yg guna, tapi x pernah buat.x de la susah mana yer

    BalasPadam
  4. Sedap masakan buttermilk. Rasa macam lagi sedap dimasak fresh. Tak pasti pulak boleh dibekukan atau tidak. Ayam buttermilk, udang buttermilk, ketam buttermilk ketiga tiga menyelerakan.

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.