Misi 2022 - Baca Siri Laksamana Sunan dari Prolog

Isnin, Disember 20, 2021

Semalam dah alang-alang duduk rumah tiada aktiviti khusus, Bott kemas bilik bacaan. Bersihkan buku-buku, lap rak, ganti humidifier sekali asingkan buku mana yang hendak dilupuskan atau diberi pada orang. Saya intai dari jauh sahaja sebab tidak tahan dengan habuk. 

Semasa jengah ke dalam bilik, terpandanglah beberapa buah novel yang disusun di atas meja paling hampir dengan pintu. Ada lapan buah semuanya. Novel-novel tersebut merupakan siri Laksamana Sunan karya Ramlee Awang Murshid. 

Saya tidak tahu pun yang Bott ada koleksi Laksamana Sunan. Jika diikutkan, yang terakhir sahaja - Saifudin Jalis: Musafir Cinta Meraga Sukma tidak dimilikinya. Dia kata dia malas beli sebab beberapa novel terakhir siri ini tidak segah tiga novel pertama. 

Gigih angkut keluar buku pergi dapur nak ambil gambar 😆

Melihat novel-novel Sunan bersusun di hadapan mata, saya pula jadi teruja. Seingat saya, siri ini saya hanya sudahkan hingga novel ke-3 atau ke-4 sahaja. Tiba-tiba rasa macam hendak baca dari mula. Mesti seronok sebab boleh baca terus satu buku ke satu buku. Tak perlu tunggu 😊

Bott sarankan saya untuk baca ikut susunan prolog, bukan ikut tahun terbitan. Novel-novel terkemudian merupakan prekuel dan sekuel kepada trilogi Sunan (tiga novel pertama). Jadi, kalau hendak lebih faham perjalanan cerita, lebih baik baca ikut prolog.

Di bawah ini senarai siri Laksamana Sunan mengikut tahun terbitan:

  1. Bagaikan Puteri (2005)
  2. Cinta Sang Ratu (2007)
  3. Hijab Sang Pencinta (2008)
  4. Cinta Sufi (2010)
  5. Sutera Bidadari (2011)
  6. Sunan Musafir (2012)
  7. Sunan Nanggroe Sang Kembara (2014)
  8. Sunan Cinta Nan Sakti (2015)

Novel Siri Laksamana Sunan masih belum lengkap? Boleh dapatkan novel-novel berkenaan di sini.


Saya jumpa senarai Bacaan Mula dengan Prolog ini pula di Facebook Kelab Peminat Ramlee Awang Murshid (RAMFC). Saifudin Jalis tiada dalam senarai kerana ketika itu belum diterbitkan lagi.

Sumber Facebook RAMFC

Sinopsis ikut susunan prolog

1. Sunan Nanggroe Sang Kembara (Buku #7)


DEK kerana fitnah dan dihukum bapa sendiri, Saifudin menjadi perantau di bumi Serambi Mekah - Aceh. Banyak ranjau yang terpaksa dilalui sebelum bermukim di situ. Saifudin diangkat menjadi anak asuhan kepada Wali Sufi. Memilih mendalami agama Islam berbanding seni persilatan.


Di sinilah perawakan Saifudin terbentuk. Dari anak manja di Punggor berubah menjadi pemuda yang pendiam. Ajaran agama Islam banyak membentuk caranya bertingkah laku. Menjadi di antara kalangan pemuda yang taat berjemaah di musollah. Sentiasa mengiringi Wali Sufi ke mana-mana dalam menyelesaikan urusan. Juga menjadi pemberi minum di kalangan anak-anak murid guru persilatan terhebat itu. Hatta, sering menjadi mangsa buli Djailuh dan Sadik di gelanggang persilatan.


Kemunculan Ratna Sang Ratu Sulaman yang menyusup ke bumi Aceh dengan satu tujuan - Wali Sufi untuk menghancurkan keampuhan Aceh daripada serangan Kerajaan Pulau Utara yang sering kecundang di dalam kancah peperangan. Namun Ratna gagal melakukannya. Justeru, anak asuhan Maharani itu menyasarkan Saifudin. Membunuh Saifudin dipercayai bakal membunuh semangat juang Wali Sufi.


Rombongan kerajaan Pagar Ruyong tiba di Aceh. Engku Aminah, anak kerabat yang rupawan menjadi perhatian anak-anak muda negeri ini. Namun Engku Aminah memilih Saifudin kerana tertarik dengan akhlak terpuji pemuda itu. Bunga cinta mulai tumbuh subur. Engku Aminah mulai menyedari rasa kasihnya pada Saifudin biarpun dalam tempoh yang singkat. Namun Ratna muncul menjadi batu penghalangnya kerana ada sekelumit rasa cemburu membajai jiwanya.




2. Sunan Cinta Nan Sakti (Buku #8)


Cinta menuntut seluruh pengertian. Saifudin dan Ratna Sang Ratu Sulaman menyulam cinta dalam kancah pertempuran, permusuhan dan perjuangan. Cinta – tidak terlafaz dalam lisan. Hanya suara hati yang melagukannya biar dilandai krisis paling parah. Cinta – bakal diakhiri dengan peperangan. Mengorbankan insan tersayang. Apakah semua ini mahar untuk sebuah pernikahan? 


Wali Sufi – melarang cinta Saifudin dan Ratna Sang Ratu Sulaman atas alasan yang berbeza. Cintai Penciptamu terlebih dahulu nescaya cinta fitrah suci bakal dikurnia-NYA. 


Maharani - menegah cinta Sang Ratu atas sebab... cinta itu melumpuhkan sifat serikandi seorang pejuang. 


“Aku akan kembali mendapatkanmu, Saifudin. Akan kuhancurkan kau dalam gumpalan tanah negerimu sendiri. Akan aku pastikan kuburanmu tidak bertanda. Akan kupastikan kematianmu tidak diratapi... apatah lagi untuk dikenang. Seluruh marga negerimu akan kuseksa. Kujadikan negerimu sebuah neraka dunia!” - Ratna Sang Ratu Sulaman.


“Sebagai manusia... aku sayang padamu.” 


Saifudin dengan gelar Laksamana Sunan.


Dalam kancah peperangan dan permusuhan yang sedang rancak bergolak, maka...


Di sinilah... lahirnya seorang legenda. 


Di sini jugalah zahirnya sebuah cinta.




3. Bagaikan Puteri (Buku #1)


"Apabila hujan turun, melimpahlah air dari perbukitan, aliran menujah batu, melekuk tanda waktu beralib, seiring nyawa menghanyut usia, sejalan nafas melangkah ke hujung.”


Haryani dan Laksamana Sunan … saling jatuh cinta. Pertemuan kedua-dua insan ini dalam satu dimensi di luar batas jangkauan manusia, malah sukar diterima logik akal. Mereka dari zaman yang berbeza.


Haryani terperangkap dalam perkelahian antara kebaikan dan kebatilan manusia. Perjalanan yang panjang, penuh ranjau dan

cabaran membuatkan Haryani dan Saifudin mendiamkan sahaja cinta yang terpendam.


Dani … pertama kali melihat Haryani yang terlantar koma di hospital terus jatuh hati. Dia berusaha membawa Haryani kembali semula ke abad 21.


Antara dua lelaki, Haryani terpaksa membuat pilihan. Antara dua nyawa dalam jasadnya; sama ada tinggal bersama Laksamana Sunan pada penghujung kurun ke 15 atau kembali semula ke abad 21. Tiada dua kehidupan dalam zaman yang berlainan.


Salah satu kehidupan itu mesti mati!




4. Cinta Sang Ratu (Buku #2)


'Laksana langit mencengkam purnama, ibarat mutiara di lautan biru saujana mata memandang, seluas langit terbentang. Tatkala cinta berbisik, suaranya memuji TUHAN pabila rindu terusik, rasulNya jadi pilihan. Sampai masanya cinta jadi taruhan Sang Ratu menjadi impian. '


* Akhir kurun ke-15 : Ratu Sulaman terus memerhatikan kerumunan orang ramai. Dia tertinjau-tinjau dan mengharapkan Laksamana Sunan segera bangkit. Seketika tadi dia berjaya melepaskan sebilah anak panah tepat ke belakang lelaki itu. Jantungnya kini bagai direntap kasar apabila melihat jasad Laksamana Sunan diusung beramai-ramai. Hatinya rawan teringatkan ucapan lelaki itu kepadanya.


"Sebagai manusia, aku sayang kepadamu."


* Awal abad ke-21 : Bersendirian di bilik tidur, Haryani meraih ingatannya kepada Dani. Lelaki yang telah menyelamatkan nyawanya itu kini hilang sewktu tsunami melanda Aceh. Harapan untuk Dani hidup amat tipis. Tidak mungkin Dani selamat dari badai ombak itu. hanya kata-kata Dani sahaja yang menjadi pengubat resahnya.


"Haryani, walau apapun yang berlaku, saya tetap mencintai dan menyanyangi awak. "


Dua wanita dari dua zaman ditakdirkan mencari lelaki-lelaki yang pada mulanya mereka benci. Dan,akhirnya bertemu dengan orang yang dicari. Namun, apakah lelaki-lelaki yang ditemui itu masih memegang kata-kata mereka sebagai satu janji?




5. Hijab Sang Pencinta (Buku #3)


Rasa rindu terhadap keluarga menggamit hati Saifudin merentasi Tanah Sumatera untuk pulang ke Punggor, Tanah Melayu. Namun, kejahatan seolah-olah memburunya. Setiap langkahnya dibayangi halangan yang tak berkesudahan. Berita kepulangannya di Tanah Melayu sampai ke pengetahuan Sultan Melaka. Kemarahan baginda kerana tidak dapat mengahwini Haryani menyebabkan dia mula menjadi buruan orang istana. Saifudin lari ke gua. Di situlah bermulanya satu lagi keajaiban. Jasadnya berpindah merentasi hijab masa untuk sampai ke abad 21. Sekali lagi Saifudin bertemu dengan Haryani dan kisah cinta yang melangkaui masa mekar semula.




6. Cinta Sufi (Buku #4)


Pilu hati saat dikhabarkan suaminya gugur di medan perang, Catalina rebah tidak sedarkan diri. Sebaik terjaga, dia membicarakan hajatnya ke Hulu Melaka. Ingin mencari 'lelaki bertanduk dua'.


Tanpa diduga, takdir menentukan Laksamana Sunan lelaki yang dicari Catalina. Malangnya, Laksamana Sunan bukan lagi wirawan. Kudratnya lenyap dan ditawan penjajah yang menakluk Melaka. Hampir dibunuh musuh, dia diselamatkan oleh cinta yang dipendam Luna.


Laksamana Sunan, Catalina dan Luna... bukan sekadar terperangkap dalam perjalanan yang berliku, malah terkurung dalam cinta segi tiga yang terlafaz dan tersembunyi.




7. Sutera Bidadari (Buku #5)


Saifudin - Muncul semula dari Tasik Hulu Melaka setelah 6 purnama dalam pengawasan dan rawatan Hang Tuah. Pengambaraan pun bermula ke Negeri Atas Angin untuk memburu Taghut durjana. Pelayaran telah mengundang banyak pancaroba. Namun, dia tetap berazam dan bertawakal memburu musuh yang telah banyak menyesatkan manusia.


Raja Roman - Setelah Sang Petala berlepas diri, Taghut terkapai-kapai hilang kesaktian. Lebih mendukacitakan apabila dia kematian permaisurinya... Sutera. Namun, dia masih berazam untuk menghapuskan Laksamana Sunan sehingga ke hujung nyawa. 


Makhluk Sumpahan - Sang Dewi muncul akibat sumpahan Maharani Pulau Utara sebelum kerajaan itu runtuh suatu waktu dahulu. Sang Dewi menyeru nama Saifudin menerusi lontaran suara naluri. Sang Dewi kerap memerangkap Saifudin ke alam tidak berdinding. 


Saifullah - Pada abad ke 21 ini, dia memburu sisa kejahatan yang berlanjutan dari tahun 1511. Abid Kamal dan Shahril turut menyertainya kerana Saifullah mirip Saifudin yang pernah hidup pada tahun 1511.




8. Sunan Musafir (Buku #6)


Allah mencipta cinta, justeru cinta harus dipertahankan dengan sebaik-baik cara. Maka itu sebagai manusia, Saifudin atau Laksamana Sunan tidak terlepas daripada belenggu cinta.


Tahun 1511 merupakan detik keindahan, cabaran serta air mata. Pengembaraan Saifudin berserta sahabat-sahabatnya ternyata bukan satu perjalanan yang mudah.


Fikiran Saifudin agak terganggu apabila mendengar khabar bahawa isterinya masih hidup. Namun, benarkah Sang Dewi itu adalah isterinya, Ratna Ratu Sulaman? Atau sekadar jelmaan?


Pada tahun 1531 - Saifudin yang sudah berusia memutuskan untuk bermukim di Pinggir Hulu Melaka. Dia mengisi hari tuanya dengan menghambakan diri kepada ALLAH dan meninggalkan dunia pertarungan. Bagaimapun, kejahatan seolah-olah mengejarnya sampai ke hujung nyawa. Berjayakah Saifudin menewaskan mereka?



Rasanya jika baca ikut prolog lebih tersusun jalinan cerita secara keseluruhan sebab kita akan kenal watak Sunan dari mula. Set! Ini jadi salah satu misi 2022 saya. Baca koleksi Laksamana Sunan ikut Susunan Prolog.

18 ulasan

  1. Ammi ada semua siri sunan ni.. Masa baca siri 1 tu.. Terbawa2 sungguh sampi terfikir apa benar laksaman sunan ni wujud huhu

    BalasPadam
    Balasan
    1. Novel yang pertama tu memang lain macam sedikit impaknya pada pembaca kan...

      Padam
  2. saya ada semuanya... sayang betul kat koleksi buku buku Sunan ni

    BalasPadam
    Balasan
    1. Wah, dah lengkap semua ya! Seronoknya bila ada satu koleksi lengkap begini.

      Padam
  3. sy minat bc novel tp novel2 ni sy xpernah bc.. mngkin pasni blh try..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mana tahu lepas ni ezy boleh jadikan siri sunan ni sebagai koleksi pula :)

      Padam
  4. Selamat membaca. Saya tidak pernah baca buku Sunan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih, NA. NA tidak mahu cuba baca Sunan ke?

      Padam
  5. saya pun tengah kumpul siri laksamana sunan ni, baru berjaya habiskan dua buku. siapa yg start baca siri sunan automatik jatuh cinta dengan watak laksamana sunan..hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul. Setuju sangat tang automatik jatuh cinta tu hahahah
      Selamat membaca dan mengumpul Sunan, Tiara :)

      Padam
  6. hahahha x pernah baca karya awang murshid ni... bkn dia byk citer misteri kan?! mcm bkn jiwa kot heheh

    BalasPadam
    Balasan
    1. Haah. Banyak gak novel RAM ni, kak. Tapi saya tak khatam semua pun...

      Padam
  7. Banyak nak dibaca tu. Kena baca ikut susunan baru lebih faham kot kan. Selamat membaca dan mencapai misi 2022.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah… kira kenal asal-usul watak Sunan ni dulu.

      Thanks, Fiza 😊

      Padam
  8. Senang ikut turutan prolog, lagi-lagi genre yang sama.. Ramai peminat tu tentu menarik jalan ceritanya..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Siri Laksamana Sunan ni memang karya dambaan peminat RAM hehehe

      Padam
  9. Oh! begitu susunannya Mrs. A baca mula dari Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencipta itupun dah hanyut di alam fantasi dah eh hahahaaa...

    BalasPadam
  10. wahhh rajinnyer membaca.. kipidap dongibapp 👍👍

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.