Labu Bakar untuk Minum Petang

Rabu, Februari 23, 2022

Assalamualaikum.

Ada lebihan buah labu di dapur. Pada mulanya saya ingin sediakan jejari labu (pumpkin fries) untuk minum petang semalam. Biasa buat labu goreng atau cucur labu jadi kali ini ingin tukar selera. 

Lihat juga: Resepi Labu Goreng

Masalahnya, sewaktu memotong buah labu saya rasa sukar pula hendak dapatkan potongan lurus memanjang yang cantik seperti fries. Sudahnya, saya hiris nipis sahaja labu tersebut. 

Sesudah kulit labu dikopek dan dibelah, saya bersihkan labu dan rendam di dalam air. Saya cuma rendam sekitar tiga hingga ke empat jam. Proses ini bertujuan untuk membuang kanji pada labu supaya bahagian luar labu yang dibakar atau digoreng akan jadi rangup. Jika hendak buat fries menggunakan ubi kentang atau keledek pun disarankan rendam potongan ubi terlebih dahulu untuk mendapatkan hasil terbaik.

Setelah direndam, tuskan air dan keringkan potongan labu menggunakan tisu atau tuala dapur. Seterusnya, apabila labu sudah betul-betul kering, lumurkan labu dengan bahan-bahan berikut:


Bahan-bahan perasa untuk labu bakar atau labu panggang

  • 1 - 2 sudu besar minyak sayuran
  • 1/2 - 1 sudu teh oregano kering
  • 1/2 - 1 sudu teh chilli flakes sesuai selera
  • sedikit serbuk lada putih
  • garam secukup rasa


Saya hanya guna lima bahan di atas. Kiranya hidangan ini bergantung kepada kekuatan herba oregano, chilli flakes dan rasa asli labu itu sendiri. Sukatan bahan-bahannya agak-agak sahaja. Tengoklah banyak mana labu yang kita gunakan. Rasa tak cukup, tambah lagi apa yang perlu. Bimbang terlebih, kurangkan atau letak sedikit dahulu.

Selain itu, boleh pelbagaikan perasa labu bakar ikut cita rasa masing-masing. Antara pilihan lain yang boleh saya sarankan ialah serbuk bawang putih, serbuk buah pala, serbuk kayu manis dan herba lain seperti thyme atau parsley. Ada sesetengah orang turut gaulkan labu dengan sedikit gula untuk rasa yang lebih manis. Bagi saya tidak perlu kerana kemanisan labu itu sendiri sudah memadai.


Masa untuk membakar labu

Sesudah kedua-dua sisi labu dilumurkan dengan bahan-bahan perasa seratanya, susun hirisan labu di atas dulang pembakar. Waktu untuk membakar!

Beratur hendak masuk oven 😊

Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu pada suhu 200 darjah celcius selama 10 - 12 minit sehingga menjadi agak lembut. Maaf, sepatutnya ada gambar untuk proses ini tetapi saya cari-cari tiada pula. Mungkin sudah terpadam. 😅

Setelah itu, terbalikkan potongan labu dan bakar lagi dalam lebih kurang 10 minit. Suhu dan tempoh membakar bergantung kepada jenis oven masing-masing dan ketebalan hirisan labu. Masa membakar dianggarkan sekitar 20 - 30 minit.

Labu bakar saya sudah siap!

Sedia untuk disantap 😊


Khasiat Labu untuk Kesihatan

Labu kaya dengan pelbagai vitamin, merupakan sumber serat dan potassium yang baik. Bagus untuk bantu kuatkan imuniti tubuh.

Selain itu, labu sesuai dimasukkan ke dalam diet pemakanan harian kita kerana kandungan kalori dan indeks glisemik yang rendah. Kita akan lambat berasa lapar malah paras gula di dalam darah akan lebih terkawal.

Tetapi, bagi yang jaga pemakanan kena hati-hati juga ketika menyediaan hidangan labu. Apa-apa makanan yang rendah glisemik boleh bertukar menjadi tinggi jika kita proses terlalu banyak semasa memasak. 

Contoh paling dekat, labu dan ubi keledek. Jika dikukus atau direbus, kadar indeks glisemik masih kekal rendah. Sebaliknya jika dibakar atau digoreng, indeks glisemik akan meningkat kerana kandungan kanji dan gula akan naik. Itu sebab yang hendak berdiet seeloknya makan kukus kukus rebus rebus je.

Apapun, bab makan-makan ni, saya lebih percaya pada konsep bersederhana. Makan dan nikmati rezeki seadanya, dalam kadar berpada-pada. Melainkan ada kondisi penyakit tertentu, haa yang ini kenalah berpantang apa yang perlu. Setuju tak?

 
Pstt! Menulis dari lokasi PPV. Saya dapat booster hari ini 😊

20 ulasan

  1. Uuii.. sedap ke labu. Tak pernah saya makan labu lagi

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kena cuba sekali... mana tahu lepas ni jadi kegemaran Encik Fairus pula.

      Padam
  2. Alhamdulillah dah terima booster ya.
    Setuju,, pilih sederhana.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Alhamdulillah, selesai terima booster, PC. Sekarang masih menanggung kesan sampingannya :)

      Padam
  3. tak pernah makan labu style gini..

    arwah mama dulu kalau nak buat pumpkin fingers tu..dia akan parut kemudian mixkan dgn tepung sikit nak bagi dia lekat baru bentuk dan goreng.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Menariknya olahan labu arwah mama Ammi. Nanti saya nak cuba jugalah. Thanks tau kongsi tentang pumpkin fingers ni.

      Padam
  4. Setuju 100 %
    berpada pada
    x penah lkm labu bakar camni lg selalu tahu buat masak lemak.atau kuih lepat, cekodok

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nanti ada kesempatan bolehlah Cik Nor cuba. Mana tahu kena dengan selera :)

      Padam
  5. Betul. bersederhana itu yg terbaik :)
    Belum pernah buat @ makan labu bakar, mungkin boleh cuba nanti.

    BalasPadam
  6. tak pernah makan labu bakar mcm fries ni hehhee..
    klu keladi ok lagi :D

    BalasPadam
  7. setuju 100%..kalau memudaratkan lebih baik berpantang..

    labu bakar berherba..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul. Andai memudaratkan memang perlu kita jauhkan :)

      Padam
  8. Pertama kali jumpa resepi ini, terima kasih atas perkongsian

    BalasPadam
  9. Balasan
    1. Hahahah ada rupa tapi tak keju dan mayo tak ada :)

      Padam
  10. Ohh macam tu kaedahnya ye. Kena rendam lama. Terima kasih share kak Farrah. Nampak sedap labu bakar ni. Kalau saya buat makan sorang jelah, encik suami bukan penggemar labu.

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.