Percubaan Pertama Buat Akok

Khamis, Februari 17, 2022

Assalamualaikum. 

Hari ini cerita tentang percubaan pertama saya membuat salah satu daripada kuih tradisi Kelantan, akok. Asalnya, seperti biasalah rasa teringin hendak makan. Dah lama benar tidak jumpa kuih akok. Gerai tempat saya selalu cari kuih akok yang sedap asyik tutup sahaja. Di situ akok pandan pun ada jual. Mungkin mereka sudah tidak berniaga lagi.

Tengah-tengah mengidam akok, ada pula kawan kongsi gambar akok yang dibuat untuk hidangan minum petang. Saya pun apa lagi, terus mengendeng minta resepi. Alang-alang susah nak jumpa, kita cuba belajar buat sendiri!

Sebelum ini, saya tengok banyak video orang buat akok pakai acuan mufin atau kek cawan sahaja. Tak perlu susah-payah cari loyang tembaga untuk kuih akok. Cantik je kejadiannya. Kemudian, bakar akok pun dalam oven. Tidak perlu gigih cari sabut kelapa. Mudah, bukan? Nak akok versi autentik yang ikut cara penyediaan tradisi, kena tunggu rezeki di lain kesempatan. Sementara hendak lepaskan hajat tekak, kita buat cara moden, mudah dan jimat masa.


Resepi Akok Kedut Sedap dan Lembut

Akok kedut

Bahan-bahan yang diperlukan: 

  • 5 - 6 biji telur (bergantung kepada saiz telur)
  • 1 cawan santan pekat
  • 3/4 cawan nise kerek. Saya guna tidak sampai 3/4 cawan. Lebih kurang 1/2 cawan bumbung. Saya potong dan pecahkan kecil-kecil supaya mudah larut. Jika ingin dapatkan nise kerek yang asli boleh cari di sini.
  • 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 cawan air
  • 2 - 3 helai daun pandan (dicarik-carik sedikit lalu disimpul)
  • garam secukup rasa
  • sedikit minyak untuk lengser acuan

Langkah-langkah Penyediaan:

  1. Lengserkan lubang acuan mufin atau kek cawan dengan sedikit minyak. Panaskan oven terlebih dahulu. Suhu antara 180 - 190 darjah celcius (bergantung kepada oven masing-masing) selama 10 - 15 minit. Masukkan dulang mufin yang telah dilengser tadi. Biar panas di dalam oven.
  2. Masukkan nise kerek, air dan simpulan daun pandan ke dalam periuk kecil. Masak sehingga gula nise hancur dan larut. Biarkan sejuk.
  3. Satukan telur, tepung gandum, santan, garam dan larutan air gula ke dalam mesin pengisar. Jangan lupa keluarkan simpulan daun pandan dari laruran air gula tadi. Kisar sehingga semua bahan tergaul sekata dan jadi betul-betul kembang. Tapis adunan. Tekstur adunan akok memang agak cair ya.
  4. Keluarkan dulang mufin yang telah dipanaskan di dalam oven. Tuangkan adunan akok ke dalam acuan mufin.
  5. Bakar sekitar 15 - 20 minit atau sehingga akok masak. Ketika dibakar, kuih akok akan naik dan mengembang sebelum masak dan bertukar menjadi akok kedut.
  6. Keluarkan dari acuan. Sedia untuk dihidangkan.


Percubaan Pertama Dikira Berjaya

Alhamdulillah, percubaan pertama saya membuat akok boleh dikira berjaya! Yang penting rasa dan tekstur akok tu memang dapat. Manis-manis manja sahaja sebab saya kurangkan penggunaan gula nise.


Proses buat akok guna oven ni mengingatkan saya pada cara membuat Yorkshire Pudding. Beginilah lebih kurang! Kita panaskan dulang atau acuan terlebih dahulu, tuang adunan yang cair ke dalam dulang yang telah dipanaskan ... kemudian adunan akan naik kembung ... kembung ... hasil akhir kuncup! 😁

9 ulasan

  1. Wahhh
    berjaya
    kuih ni dulu x reti mkn, sb rasa telur skrg akak dah blh mkn sb kedai dpn ni buat sedapp

    BalasPadam
  2. Yeah!! Tahniah Kak Farah.. Terbaiklah.. Cantik hasil kejadiannya..

    BalasPadam
  3. aida pernah sekali makan kuih ni.
    time tu on the way back ke melaka from kelantan.
    kedai tepi jalan, kami berhenti utk beli dan rasa, farrah.
    dia bakar guna sabut kelapa.
    rasanya sedap. nice di makan panas-panas :)

    BalasPadam
  4. Alhamdulillah. Syukur. Lepas ni nak makan boleh terus buat..

    BalasPadam
  5. Wah, tahniah! Percubaan pertama sudah berjaya.
    Sedap kuih akok ni, lemak manis lembut. Lagilah kalau makan sewaktu hangat-hangat. Berbiji-biji masuk perut.

    BalasPadam
  6. Alhamdulillah..menjadi. Senang dah tahu buat. Bila teringin terus masuk dapur terus buat. Nak cari orang beli agak susah jugak kan.

    BalasPadam
  7. Pandainya kak Farrah. Open order tak? Hehe

    BalasPadam
  8. fav akok..suka akok pandan..dlu2 mak buat jual

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.