Isnin, Ogos 15, 2022

Nasi Beriani Udang, Mor Milagai dan Raita

Pernah atau tidak kalian makan beriani udang? Sebelum ini, saya kongsi gambar beriani udang melalui entri Wordless Wednesday. Baru sekarang berkesempatan tulis entri penuh.

Kebiasaannya, apabila berpeluang makan nasi beriani, pilihan saya hanya nasi beriani ayam, daging ataupun kambing. Tidak tergerak hati langsung untuk mencuba beriani udang atau makanan laut. Entah mengapa entah. Mungkin kerana saya ini bukan penggemar makanan laut. Tidak pun, hidangan tersebut tak nampak betul-betul menyelerakan, tak berjaya menggoda saya 🤣.

 

Tetapi yang ini…

Nasi Beriani Udang

Pertama kali melihat sajian ini terhidang di hadapan mata, automatik tangan capai pinggan makan. Nasinya masih berasap panas. Aroma rempah berianinya  sungguh memikat selera! 

Dari segi rasa, memang wowww! Tengoklah saiz udang besar-besar yang mesra diresapi rempah, cili hijau yang segar dan telur rebusnya ... memang puas makan! 

Juadah nasi beriani udang ini agak istimewa dan berbeza bagi saya kerana dihidangkan dengan yogurt raita dan mor milagai vathal. Maaf, kedua-duanya saya lupa hendak ambil gambar. Syok sangat makan, lupa ambil gambar side dishes. 😂

Yogurt raita merupakan hidangan sampingan bersos atau kuah putih daripada yogurt yang mengandungi hirisan timun, bawang, daun pudina dan daun ketumbar. Memang sesuai dimakan dengan nasi beriani kerana elemen sejuk bahan-bahan raita ini sangat menyegarkan. Bolehlah seimbangkan rasa pedas berempah beriani. Andai tidak dapat bayangkan, cuba google ya. 

Mor milagai (sun dried chillies atau curd chillies) pula cili yang direndam dalam yogurt kemudian dijemur di bawah matahari sehingga kering. Ini memang kegemaran saya.  Rasanya pedas-pedas, lemak masin gitu. 

Dahulu, ada seorang teman sekolah berbangsa India yang ajar saya makan. Menurutnya, curd chillies ada banyak manfaat untuk kesihatan - elok untuk paru-paru, bantu pencernaan dan kawal tahap kolestrol.

Mor milagai

 

Bayangkanlah makan nasi beriani panas-panas dengan beberapa sudu yogurt raita, gigit pula mor milagai ... nikmat tidak terkata! Selama ini jadi geng beriani kambing. Sekali-sekala layan beriani udang memang asyik! 


Beriani atau beriyani?

Sudah alang-alang cerita tentang nasi beriani, mari kita kongsi ilmu pula. Kebetulan, saya memang sedang sediakan bahan ulang kaji untuk pelajar. Bab mengesan kesalahan ejaan lagi-lagi ejaan makanan memang agak mengelirukan.

Mana satu ejaan yang betul? Beriani, beriyani atau biryani? Melalui sebutan, sukar hendak ditentukan ejaan hidangan ini secara tepat.

Ejaan yang tepat ialah beriani 😊

Tuturlah ikut sedap mulut masing-masing. Hendak bunyi Arab ke, bunyi ‘orang putih’ ke … tetapi apabila menulis, pastikan ejaannya beriani.


Semoga bermanfaat! 😊


Psst! Satu lagi hidangan beriani yang saya rasa wow - bihun beriani. Teman lama saya dari Johor selalu buat menu ini semasa hari raya. Sedap!




8 ulasan:

  1. sedapnya..udang besar2..ada cili hijau lg..mmg umphh..tak pernah jumpa lg beriani udang..

    BalasPadam
  2. alamak kite salah tulis la selama ni..beriani..baik

    BalasPadam
  3. He hee ohh beriyani tulis ejaan bahasa melayu betul👍
    tanpa Y

    BalasPadam
  4. Tak pernah pulak makan. Selalu tengok filem Hindustan takde pulak beriani udang. Sedapnya. Ni ada alergik pun buat-buat lupa

    BalasPadam
  5. saya suka beriani daging dan kambing. udang pun suka tp biasa makan as lauk biasa. so beriani udang ni first time nampak. mungkin tak ramai buat sbb kalau udang masak lama-lama, kulit melekat. bukan macam ayam/daging yg jadi makin empuk. pasni kalau jumpa boleh la try

    BalasPadam
  6. Beriani udang ... Wahh kreatif selalu orang buat beriani ayam daging or kambing .. Ni lain dari yg lain ..

    BalasPadam
  7. teringin pula nak mencuba Mor milagai ini bila baca kebaikannya..

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.