Goguma Latte | Latte Keledek Manis

Jumaat, November 04, 2022

Assalamualaikum. Hari ini saya ingin kongsi resepi mudah goguma latte. Cuaca dingin selepas hujan membuatkan saya ingin mencicip sesuatu yang pekat, berperisa dan hangat. 

Pada mulanya, saya mahu sediakan air coklat panas bercili untuk panaskan badan. Tetapi, masuk dapur nampak ada keledek Jepun. Terus putuskan untuk buat goguma latte. 

Baca juga: Resepi Air Coklat Panas Bercili

Bagi yang selalu tengok cerita Korea tu, pasti goguma latte (sweet potato latte) bukan sesuatu yang asing buat kalian. Keledek manis yang direbus (boleh juga dibakar), dikisar dengan susu dan sedikit madu sebagai pemanis, menghasilkan minuman enak yang memanjakan tunas rasa. 

Goguma Latte | Latte Keledek Manis

Resepi Goguma Latte

Secara asasnya, goguma latte ini hanya memerlukan 3 bahan sahaja untuk disediakan:

  • Keledek manis (goguma), kira-kira 100-150g. 
  • 1 cawan susu, 240 - 250g. Lebih pun tidak mengapa.
  • 1 - 2 sudu teh madu (atau bahan pemanis yang lain sesuai cita rasa masing-masing)

*Bahan-bahan di atas sesuai untuk sekurang-kurangnya 2 orang minum, bergantung kepada saiz hidangan.

Cara Membuat Goguma Latte yang Lazat dan Mengenyangkan

  1. Rebus keledek sehingga empuk. Kupas kulitnya. 
  2. Masukkan keledek, susu dan madu ke dalam pengisar. Kisar sehingga benar-benar halus dan tekstur menjadi seperti smoothie
  3. Masukkan ke dalam cawan atau kole dan panaskan sebentar di dalam ketuhar gelombang mikro supaya goguma latte dapat dihidangkan dalam keadaan panas-panas.
Siap! Nikmati setiap hirupan dengan tenang dan senyuman yang lebar. Kemanisan keledek yang bergabung dengan susu sangat sesuai diminum kala cuaca dingin. Mengenyangkan pula tu.

Pengunaan keledek dan susu bergantung kepada kepekatan latte yang diingini. Jika ingin latte yang pekat, kisar 150g keledek dengan 1 cawan susu. Sebaliknya, jika ingin latte yang lebih ringan, kurangkan kuantiti keledek atau tambah lebih susu.

Pilihan susu terserah selera - susu penuh krim, rendah lemak, susu badam, susu soya, susu oat … semua sedap dan akan hasilkan latte keledek yang lemak, manis juga berkrim.

Jika ingin tingkatkan lagi kelazatan goguma latte, panaskan sedikit lagi susu. Kemudian, guna frother untuk hasilkan frothy milk. Setelah itu, tuangkan buih-buih halus tersebut ke atas goguma latte. Taburkan dengan cebisan kekacang panggang, muesli dan serbuk kayu manis.

Goguma latte saya cuma ditambah dengan serbuk kayu manis. Tiada kekacang, tiada muesli atau granola. Dah cukup terangkat! 😊

Jom ber-goguma latte!

Okey, jumpa lagi nanti. Mudah-mudahan hari kalian berjalan lancar dan semua urusan dapat dilunaskan dengan baik.

13 ulasan

  1. Lain dari yang lain ni Kak Farrah. Menarik nak tahu rasa keledek dibuat minuman. Nampak sedap goguma latte.

    BalasPadam
  2. igtkan rumit nak buat rupanya sng je👍

    BalasPadam
  3. Eh cop!! Kita x tau pun ada keledek latte?? Wah rasa dia manis2 lemak ke?

    BalasPadam
  4. selalu je nampak tapi tak pernah cuba lagi

    BalasPadam
  5. Oh, sangat menarik goguma latte! Saya ada keledek, belum terusik. Jika cukup bahan, ingin mencuba goguma latte keledek manis!

    BalasPadam
  6. Wah.. Baru tau ni. Unik minuman orang Korea. Keledek pun boleh buat latte

    BalasPadam
  7. Rare sgt ni... x boleh imagine rasanya

    BalasPadam
  8. wahhhhhh Ana selalunya mkn rebus gitu je keledek tu hehehe

    BalasPadam
  9. tak pernah saya dengar minuman ni..macam best

    BalasPadam
  10. lain dari yg biasa ni
    tp nmpk.sedapp, penting tu mengenyangkan
    insyaallah rajin blh try ni nanti

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.