Nasi Goreng Stik Kejung

Isnin, Mei 20, 2024

Assalamualaikum. Selamat Hari Isnin!

Selamat memulakan minggu baharu. Selamat bersarapan.

Sewaktu menulis entri ini, saya sedang menunggu pesanan sarapan saya disiapkan. Hari ini ada urusan awal pagi. Jadi, bersarapan di luar. Perut saya dari lepas Subuh tadi sudah merengek minta diisi. 

Entri pagi ini tentang sarapan juga. Tetapi, sarapan semalam. 

Kisahnya, Cekengah dan dua rakannya pergi makan malam di sebuah restoran makanan barat selepas habis kerja. Ketiga-tiga mereka pesan stik. Malangnya, dua daripada tiga stik yang dipesan agak liat. Keras kejung!

Dipendekkan cerita, kedua-dua stik yang tidak luak itu sampai ke rumah saya. Hehehe… memang macam dah ada established rule dalam kalangan ahli keluarga saya daripada dahulu - apa-apa barang ke…makanan ke…tak mahu lagi, tak kena selera, tak habis makan… hantar kepada Along. Along tahu nak buat apa. 😆 


Saya buat nasi goreng stik kejung.

Nasi goreng daging

Seawal pagi saya bangun untuk defrost potongan-potongan stik tersebut. Saya hiris nipis-nipis, kecil-kecil dan goreng sehingga lembut. 

Niat hendak buat nasi goreng daging chinese-style seperti di Homst atau Restoran Muhibbah Seafood. Tumis bawang putih hingga naik bau, masukkan daging, sos tiram, kicap cair, sayur, perasakan secukupnya dengan garam, lada putih dan final touch - beberapa sudu besar minyak bijan. Saya tak guna telur sebab telur habis. 😅

Alhamdulillah, nasi goreng daging siap! Hidang bersama kicap masin dan hirisan cili api. Berselera kami makan. Stik kejung dah tak kejung lagi sebab dah jadi daging kirai. Bertambah jugalah kami makan ramai-ramai.

Okey, itu sahaja. Semoga hari kalian indah dan menyenangkan. Saya sarap dahulu. Sarapan saya untuk pagi ini dah sampai. Karang sibuk tulis entri, sejuk pula sandwic keju dan sup tomato saya.

Babai!


6 ulasan

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.