Nasi Goreng Sate | Sentap Lagi

Isnin, Januari 06, 2025

Assalamualaikum. Salam 6 Januari. 2025 sudah masuk lembaran hari yang ke-6, baru saya sempat mencoret sesuatu di blog ini.

Sudah hampir seminggu kita berada di tahun baharu. Setakat enam hari ini, okey tak? Selamat menulis ceritera 2025! Mudah-mudahan kita semua dapat lalui satu tahun yang lebih baik dan berjaya mencapai setiap apa yang dihajati. 

Selamat menghayati keindahan Rejab. Moga kita diberikan kelapangan, kesihatan yang baik untuk beribadah dan diberikan kesempatan untuk bertemu Ramadan tahun ini. Insya-Allah. 😊


Nasi Goreng Sate

Inilah juadah sarapan pagi tadi. Nasi goreng sate. Intai-intai peti sejuk, ada banyak nasi lebih. Kemudian, ada baki sate daging dari beberapa hari lalu. Jadi, saya buatlah nasi goreng.

Nasi goreng sate ni memang menu wajib yang akan dimasak di rumah setelah kami makan sate pada hari sebelumnya. Kadang-kadang tu, memang akan sengaja beli sate lebih (terutama sate daging) semata-mata untuk masak nasi goreng keesokan harinya. 

Rasa perapan sate tu yang buat nasi goreng jadi sedap berganda.

Kelentung-kelentang sekejap, alhamdulillah, nasi goreng sate siap!

Nasi Goreng Sate Daging

Selain ketulan sate, saya rencahkan nasi dengan sedikit jagung dan hirisan cili api. Jadi, ada rasa smoky sikit, pedas sikit, manis-manis sikit… Untuk portion sayur, hirisan timun dan tomato. Cukuplah.


Rhea Si Ragdoll Sentap Lagi

Seperti biasa, apabila Cekengah out-station, Rhea saya yang jaga. Masa-masa beginilah keamanan Yuri bakal terganggu. 🤣 Ada kucing clingy yang tidak kenal erti lelah cuba menggugat rutin tenang hidupnya.

Rhea ni, kalau Cekengah tiada setakat dua tiga hari, dia okey sahaja. Tetapi, kalau masuk seminggu ke atas, mulalah dia sentap dan murung. 


Tengoklah!

Mogok tak mahu makan, tak mahu main.

Masa nilah nak tengok Rhea jadi anak solehah. Duduk diam satu tempat. Tak gerak-gerak! Sampai panaslah ruangan sofa tu. 

Kasihan pula saya tengok dia. Selalu dia hyper. Rindu tuan punya pasal, terus jadi macam lintah bulan gemuk melekat atas sofa. Panggil nama, sekadar jawab dengan hujung ekor.


Ini pula, ketikq saya panggil dia untuk makan. Siap umpan dengan treat sedap lagi. Tak mahu! Lari menyorok sondol muka bawah gitar. Dia ingat badan dia yang zaftig tu orang tak nampak!

Lupa nak sorok montot 🤣

Banyak ragam, kan? Sabar ya, Rhea. Nanti Cekengah balik la. Lepas tu, kena pergi grooming. Bulu dah macam bulu musang. Saya tak mampu nak mandikan dia. Minah ragdoll ni beratnya satu kampit beras Taj Mahal. Belum campur raungan penuh drama takut air lagi. Bergema satu bangunan nanti!😆 

6 ulasan

  1. Kena beli sate lebih la lepas ni boleh buat nasi goreng sate.

    BalasPadam
  2. Memang sedape nasi goreng sate.

    BalasPadam
  3. Selamat Tahun Baru kak! Selalu nampak akk dekat tiktok je.. hehe

    BalasPadam
  4. Sedapnya nasi goreng tu...
    Alolo comelnya Rhea!

    BalasPadam
  5. X pernah buat nasi goreng sate, lepas ni kalau x abis sate boleh olah la buat nasi goreng

    BalasPadam
  6. kena selalu buat video call dengan tuannya ni. cian dia rindu

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.