Air Jeruk Lepas Gian
Khamis, September 23, 2021
Kelmarin, saya perlu ke klinik kesihatan buat ujian darah untuk periksa tahap hormon tiroid. Dalam perjalanan balik, Bott berhenti di bahu jalan. Terdapat banyak gerai orang berjaja di situ. Saya ingat dia hendak beli goreng-gorengan. Ada jugalah makanan untuk dikunyah-kunyah petang nanti.
Terpinga-pinga saya apabila dia masuk semula ke kereta dengan hanya satu plastik kecil di tangan. Saya ulang, satu plastik kecil di tangan. Di dalam plastik tu, ada beberapa ketul jeruk kundang kecut dan selebihnya air rendaman jeruk.
Itu sahaja? Alahai ... Bott ... Bott. Tetapi, bagus juga. Kalau dapat saya yang turun kereta, mahu penuh tempat duduk belakang dengan makanan-makanan belian gerak hati (impulse purchase) saya.
Lagipun, dah tua-tua ni, tak boleh sembarangan beli jeruk. Tekak dia sensitif. Kalau nak puas makan jeruk, kena cari Jeruk Pak Ali atau yang segar 'diimport' dari Pasar Chowrasta. Kalau tak, tak perlulah pertaruhkan keadaan tekak main redah je. Kita tak pasti dah berapa lama jeruk tu dalam stok penjual. Tak pasal-pasal batuk kong kong kong nanti.
Tahu tak Bott hendak buat apa? Dia nak lepas gian.
Dahulu masa kecil-kecil, setiap kali balik sekolah dia akan beli jeruk. Penjual jeruk tu masukkan sedikit ais dan air jeruk sekali. Siap letak straw. Tinggal srotttt minum dan menapaklah dia pulang ke rumah dengan gembira.
Jadi, itulah justifikasi Bott untuk beli hanya sejemput kecil jeruk dan dua tiga sudu airnya. Dia nak feeling-feeling gamit memori lama.
Gelas comel di atas itulah jeruk yang dibeli setelah ditambah sedikit ais dan air sejuk. Saya tumpang sekaki. Selalu kalau makan jeruk, air jeruknya saya tidak minum apatah lagi hendak letak dalam cawan dan tambah ais begini. Sedap! Tetapi, sekadar untuk lepas rasa teringin tu bolehlah. Tak boleh minum selalu. Tinggi kandungan gula dan garamnya tu.
Ada tak dalam kalangan kalian yang suka buat begini juga?