Mazhab Cinta Mengenang Kehebatan Cinta Rasulullah
Jumaat, Mac 12, 2021
Hari ini saya ingin kongsi tentang lagu Mazhab Cinta dendangan artis-artis Tarbiah Sentap Records. Pertama kali dengar lagu ini sebenarnya ketika saya sedang tidur. Saya kalau tinggal seorang diri memang akan pasang radio malam-malam biar tak sunyi sangat. Dalam mamai-mamai tu, masa dengar muzik intro dah tertanya-tanya dah lagu apa. Dah dengar, terus jatuh hati! Berusaha saya buka mata dan bangun untuk pergi cari kertas dan pen, catat bait-bait lagu supaya esoknya boleh google. Sebelum ini pernahlah juga masa tidur dengar lagu best dan saya hafal dua baris liriknya sebelum sambung tidur. Agak-agak sendirilah apa yang berlaku keesokan harinya 😆
Mazhab Cinta mengajak kita untuk mengenang kehebatan cinta Rasulullah kepada umatnya. Cinta baginda tidak terbatas kepada umat pada zaman baginda sahaja, tetapi merangkumi kita, umatnya hari ini yang tidak pernah baginda temui, terpisah dek dimensi masa. Cinta baginda juga teruntuk buat hidupan-hidupan lain di muka bumi ini.
Lagu yang melibatkan artis-artis Tarbiah Sentap Records - Rabithah, Aniq Muhai, Syed, The Truth, Areef dan Norhafiz (Autotune Band) dilancarkan pada penghujung Oktober 2020 bersempena dengan Maulidur Rasul. Ada tiga kisah yang diketengahkan melalui lagu ini yang boleh kita jadikan pengajaran; kisah unta menangis mengadu nasib kepada Rasulullah; kisah gunung Uhud yang meragam dan pohon tamar yang menangis kerana rindu akan baginda. Bayangkanlah, Gunung Uhud sudah ada tempat di syurga... bagaimanakah kedudukan kita?
Saya suka semua tentang lagu ini. Gubahan melodinya, liriknya yang jelas, sampai dan meninggalkan kesan. Progression lagu pun berjaya menarik kita untuk terus mendengar. Jika ingin dengar, cari di Youtube ya.