Roti Sardin Gulung Air Fryer

Isnin, Jun 21, 2021

Menu dari dapur FAMF Tower kali ini ialah roti sardin air fryer. Roti sardin gulung ini saya sediakan untuk hidangan minum petang. Asalnya hendak buat sandwic biasa. Dah siap dah inti sandwicnya. Tinggal nak sapu roti dengan mentega dan mayones, tiba-tiba ternampak serbuk roti. Terus tukar arah, buat roti sardin gulung.

Roti Sardin Gulung Air Fryer

Barang untuk Projek Soldadu

Sabtu, Jun 19, 2021

Assalamualaikum.

Ingat lagi tentang Projek Soldadu yang saya ceritakan minggu lepas? Bahan dan peralatan untuk siapkan hadiah istimewa buat seorang peminat BTS ini semua saya beli secara online. Lebih mudah dan jimat masa. Jika tidak, saya perlu pergi ke beberapa buah kedai berlainan. 

Jadi, selepas klik klik apa yang patut di Lazada, sepanjang minggu ini saya setia menanti ketibaan barang-barang yang saya pesan. Datang pula bukan sekali gus hari sama. Satu bungkusan satu hari. 😂

Merasa Makan Sukun Goreng

Khamis, Jun 17, 2021

Assalamualaikum. Semoga kalian semua ceria-ceria selalu.

Hari ini cerita tentang sukun. Saya memang gemar makan sukun sejak kecil. Sukun goreng, kerepek sukun... beri sahaja pada saya. Sekejap sahaja boleh habis saya makan.

Buah sukun. Kredit imej.

Dahulu semasa sekolah, Cekebon ada seorang kawan yang ada banyak pokok sukun. Jadi, setiap kali pokoknya berbuah, Cekebon akan dapat banyak buah sukun. Masa tu hanya kami bertiga di rumah - saya, Baba dan Cekebon. Adik-adik semua di asrama. Memang puaslah saya ulang-ulang makan! 😂

Fasa ini jugalah saya akan rajin bawa bekal ke sekolah. Jika semalam sukun goreng, hari ini cekodok atau cucur sukun. Esoknya, sukun rebus cecah sambal tumis ikan bilis.

Sekarang, susah hendak cari sukun di kawasan saya. Kerepek sukun lagilah tak payah cerita. Sudah buahnya pun tak nampak bayang, macam mana nak jadi kerepek, kan? 

Baked Oat - Resepi Viral TikTok

Rabu, Jun 16, 2021

Sebenarnya, sejak mula-mula resepi baked oat ini viral di Tik Tok, saya hendak cuba buat. Teringin juga mahu pelbagaikan hidangan oat selain dibuat bubur dan overnight oat. Masalahnyasetiap kali beli pisang, pisang habis dahulu sebelum sempat jadi apa-apa juadah.

Baru-baru ini, beli sesisir pisang terus saya asingkan siap-siap. Enggan pisang berbuah dua kali hahaha 😂Alhamdulillah, dapat pun cuba resepi ini. Saya dan Bott menikmati baked oat untuk sarapan pagi.

Resepi Baked Oat

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1/2 cawan rolled oat
  • 1 biji pisang
  • 1 biji telur gred A
  • 1 sudu besar madu asli
  • 3 sudu besar susu
  • 1/2 sudu teh serbuk penaik 
  • secubit garam
  • coklat cip dan hirisan pisang secukupnya sesuai selera

Langkah-langkah penyediaan:

  1. Kisar semua bahan di dalam pengisar selama beberapa minit sehingga sekata.
  2. Tuangkan ke dalam ramekin, dulang mufin atau cawan kertas.
  3. Bakar di dalam ketuhar pembakar (oven) atau air fryer pada suhu 180 darjah celcius selama 15 - 18 minit atau sehingga benar-benar masak. Ambil lidi dan cucuk ke bahagian tengah kek. Jika lidi keluar dalam keadaan bersih, dah masaklah tu. Jika ada kesan bater, tambah lagi beberapa minit. 
  4. Sedia untuk dihidangkan.


Memandangkan kita guna oat, tidak digalakkan untuk bakar hidangan ini terlalu lama. Seelok-eloknya bawah 20 minit kerana dikhuatiri oat akan jadi terlebih kenyal atau keras.


Ini rupa setelah bahan-bahan dikisar. Saya guna pengisar smoothie je. 


Isi dalam paper cup. Beria-ia punggah barang cari ramekin, tak jumpa pula. Saya tambah hirisan pisang dan taburan cip coklat. Selain itu, boleh letak kekacang seperti gajus dan badam, kismis, beri biru atau beri goji. Satu adunan ini dapat 3 cawan. Kalau pakai ramekin dapat dua.

RASANYA? Sedap! Saya suka. Seolah-olah kita dapat makan kek untuk sarapan tetapi yang bagusnya, kek versi lebih sihat. Cuma disebabkan kita pakai tepung oat, teksturnya tidaklah ringan gebu gebas. Agak dense sedikit.

Ini cuma salah satu variasi resepi baked oat yang ada di luar sana. Ada banyak versi lain dengan cara olahan yang berbeza. Selamat mencuba!