Kad Semoga Cepat Sembuh - Healing Hugs

Rabu, Oktober 13, 2021

Salah satu kad yang saya buat baru-baru ini. Kad ucapan Semoga Cepat Sembuh.


Kad ini jenis kad poket. Maksud saya, kad ini jenis kad sekeping tanpa lipatan (seperti poskad) diletakkan di dalam poket khas yang berperanan sebagai sampul. Kiranya kad ini tidak menggunakan sampul surat biasa sebaliknya poket yang dibuat senada dengan tema dan warna pilihan.

Saya menggunakan kertas bercorak damask berwarna coklat dengan tona latar belakang yang lebih cair. Lebih ke arah warna krim. Kemudian, saya gunakan kad berwarna coklat gelap untuk wujudkan sedikit elemen kontra. 

Tidak perlu hias banyak-banyak kerana corak kertas sudah sarat, ada kemasan jalur emas (gold foil) pula. Sudah cukup cantik bagi saya.


Nasi Goreng Kicap Sotong

Semalam, di rumah ni, dari orang sampailah ke kucing semua tak ada mood. Lemau sepanjang hari. Jadi, apabila perut lapar, kami putuskan untuk masak nasi goreng sahaja. Senang. Nasi goreng apa? Bott ingin nasi goreng kicap sotong. Saya tidak kisah. ON sahaja. Janji perut berisi.

Bagi yang kurang jelas, kicap sotong ini bukanlah kicap yang diperbuat daripada sotong atau dakwat sotong. Sebenarnya kicap sotong ialah sos ikan yang sering digunakan dalam masakan Thai. Ada satu jenama popular dengan gambar sotong pada label pembungkusannya. Itu yang jadi kicap sotong.

Dalam erti kata lain, nasi goreng kicap sotong ni nasi goreng asas yang selalu kedai/restoran Thai jadikan base untuk hidangan nasi goreng mereka. Jika pesan nasi goreng ayam, paprik atau Pattaya, nasi goreng pakai resepi ini, kemudian ditambahlah ayam, telur dan lauk paprik.

Nasi goreng kicap sotong kami. Protein saya guna isi ayam manakala sayurnya, kailan. 

Apam Bakar Kelantan yang Gebu dan Mudah Disediakan

Selasa, Oktober 12, 2021

Sebenarnya saya sudah lama teringin hendak makan apam bakar Kelantan atau tepung apam. Apam lembut gebu yang diperbuat daripada tepung beras, disajikan dengan kelapa parut memang lazat sekali. Bagi saya, apam bakar Kelantan sedikit berbeza daripada hidangan apam yang lain. Agak unik rasanya disebabkan penggunaan bahan-bahan seperti bawang merah, halia dan lada hitam.

Hendak mencari apam bakar Kelantan asli di kawasan saya memang tidak akan jumpalah. Jadi, mahu tidak mahu terpaksa usaha buat sendiri. Saya cuba dapatkan resepi daripada teman-teman di sebelah Pantai Timur. Ada banyak versi juga rupanya. Ada yang guna halia, ada yang tidak. Ada yang letak tapai, ada yang letak nasi. Saya difahamkan penggunaan tapai atau nasi adalah untuk buat apam supaya jadi lebih gebu dan kekal lembut sepanjang hari. 

Kebetulan beberapa hari sebelumnya memang ada beli tapai kerana mahu buat tapai goreng. Tetapi, dah jumpa resepi tradisi apam bakar yang guna tapai, kita dahulukan yang ini.


Lihat juga: Resepi Tapai Goreng


Hasil percubaan pertama saya membuat apam bakar Kelantan.

Perencah Nasi Daging Nasi Briyani Iman

Isnin, Oktober 11, 2021

Sewaktu terima kiriman ini, punyalah saya gembira. Rezeki dapat sebungkus asam keping, Perencah Nasi Daging dan Perencah Nasi Briyani Iman. 

Bott apabila ternampak je perencah nasi daging tu, terus dia kata hendak buat nasi bukhari. Sebelum ini memang pernah masak menggunakan perencah nasi daging jenama Iman. Selain nasi daging dan nasi beriani, ada juga perencah untuk nasi tomato. Yang dua lagi tu saya belum pernah cuba. Perencah nasi daging pula, saya tidak buat nasi daging hidangan tradisi dari utara yang popular tu. Sebaliknya, guna untuk buat nasi bukhari ayam.