Beli Teh Kamomil Lale di Mahnaz Food

Selasa, Januari 04, 2022

Saya memang penggemar kopi tetapi pada masa yang sama saya rajin juga bereksperimen dengan pelbagai jenis teh yang terdapat di pasaran.

Sekali-sekala tukar selera apa salahnya, kan? Lagi pula sekarang ini ada beraneka teh di pasaran. Dari daun teh, serbuk teh hinggalah bunga-bungaan yang dikeringkan. Ada yang dalam uncang, dalam bentuk stick yang merembes keluar apabila direndam ... macam-macamlah. Teh cold brew yang uncang boleh terus rendam dalam air sejuk pun ada.

Baru-baru ini saya beli teh kamomil. Sebenarnya, saya tiada jenis atau jenama tertentu untuk produk teh. Tetapi, teh kamomil memang akan sentiasa ada sebab merupakan antara kegemaran saya.

Kamomil ialah bunga dari spesies tumbuhan Asteraceae yang kelihatan seperti bunga daisy. Bunga dan tangkainya dikeringkan untuk dijadikan teh.

Teh bunga kamomil

Kopi Labu untuk Cuaca Dingin

Ahad, Januari 02, 2022

Assalamualaikum. Salam 2 Januari! Setakat ini 2022 okey? 

Di tempat saya, semalam hujan sepanjang hari. Sekejap lebat, sekejap gerimis. Gusar kalau hujan tidak berhenti, nanti kawasan yang rendah naik air lagi. Alhamdulillah, hari ini tidak hujan. Tetapi, dari pagi sehinggalah menjelang tengah hari cuaca sejuk sangat. Kedinginan saya dibuatnya. 

Dah kesejukan tu, mulalah mencari kopi. Siap cakap dengan diri sendiri, sejuk-sejuk begini kena buat kopi istimewa. Extra lemak berkrim, extra sedap. 


Secangkir kopi labu.

Kopi labu untuk cuaca dingin


Abaikan contengan sos coklat yang saya lukis di atas kopi tersebut. Semasa hendak ambil gambar, saya terima panggilan telefon. Terabailah kopi saya sebentar. Buih kecil surut, sos coklat tu pun dah tenggelam sedikit apabila saya kembali.

Kopi labu ini mengandungi puri atau pes labu. Sebelum ini saya ada beli sebiji buah labu yang boleh tahan besar saiznya. Macam-macam hidangan dah saya hasilkan, masih ada baki lagi. Jadi, saya buat puri labu, masukkan ke dalam kiub ais dan dinginbekukan. Lebih kurang cara saya bekukan cili kisar yang saya kongsikan di sini.

Mudahlah nanti hendak guna kiub puri labu jika ingin bancuh kopi atau masak hidangan pasta labu. 


Pernah cuba kopi avokado? Kopi avokado atau kopi alpukat pun sedap tau. Nak cuba? Lihat resepi di sini.


Resepi Kopi Labu Tahun Baharu 😊

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 1 cawan susu pilihan. Kali ini saya guna susu badam.
  • 2 sudu besar puri labu
  • 2 sudu teh sirap mapel atau madu
  • 1/2 sudu teh ekstrak vanila
  • 1/2 sudu teh rempah pai labu. Jika tiada rempah pai labu, boleh juga tukar kepada serbuk buah pala atau serbuk kayu manis. Tetapi, untuk serbuk buah pala saya sarankan guna 1/4 sudu teh dahulu. Bimbang terlalu kuat rasanya untuk kopi yang dibancuh.
  • 1/2 cawan kopi yang telah dibru. Ini saya bru pakai mesin kopi biasa. Perlukan setengah cawan sahaja kerana nanti kita hendak gabungkan dengan campuran susu dan labu.


Langkah-langkah penyediaan:

  1. Masak susu, puri labu, sirap mapel, ekstrak vanila dan rempah pai labu di atas api sederhana selama beberapa minit. Kacau hingga semua bahan larut sekata. Tidak perlu tunggu sehingga campuran susu mendidih membuak-buak. Memadai dengan buih-buih kecil halus di permukaan susu.
  2. Pindahkan campuran susu hangat tadi bersama kopi ke dalam pengisar. Kisar seketika supaya bancuhan tergaul sebati dan lapisan froth dapat dihasilkan. Tuang ke dalam kole, sedia untuk dinikmati.

Jika miliki milk frother, lakukan langkah 1 menggunakan milk frother. Setelah itu masukkan ke dalam kole yang berisi kopi panas.


Selamat mencuba!


Psstt! Terima kasih kerana sudi datang jenguk blog saya. Nanti perlahan-perlahan saya balas kunjungan kalian ya. 



Selamat Menggubah Rapsodi Bahagia Dua Kosong Dua Dua

Sabtu, Januari 01, 2022

Assalamualaikum. Salam 2022! Selamat tahun baharu!


Ya Allah, jadikanlah hari ini,
di pagi hari penuh dengan kebaikan, 
di tengah hari disuburi dengan kebajikan dan 
di akhir hari penuh dengan keberkatan dan redha-Mu, Ya Allah.

Salam Dua Kosong Dua Dua

Sarapan Tiga Cucur

Jumaat, Disember 31, 2021

Assalamualaikum. Ini cerita sarapan pagi tadi. Saya buat cucur labu. Labu yang saya beli minggu lepas masih banyak berbaki. Ingat nak buat lepat labu tetapi perut dah lapar, kita cucurkan sahaja senang. Lepat labu buat lain kali.

Sedang menggoreng cucur, jiran sebelah laung suruh jumpa tepi pagar. Nek P beri cucur pisang. Alhamdulillah. Cucur labu di kuali masih digoreng, dapat pula cucur pisang panas-panas.

Belum sempat masuk rumah, ada motosikal masuk halaman. Jiran lama saya dalam perjalanan hendak ke hospital untuk temujanji sempat singgah bawa buah tangan. Jiran saya baru balik dari kampung. Jadi, banyak jajan yang dibawa untuk kami berdua. Tidak ketinggalan, hidangan sarapan juga. Guess what? Dapat cucur juga! Cucur jagung. 

Cucur jagung, cucur pisang dan cucur labu.

Alhamdulillah, rezeki saya dan Bott bersarapan tiga jenis cucur pagi ini. Nah, berusaha saya susun cucur-cucur dalam piring untuk dimasukkan ke dalam blog! Ni kira kenduri cucur ni. Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut senang hati. 


Cucur Labu untuk Minum Petang

Disebabkan pagi tadi dah banyak cucur, saya hanya goreng separuh adunan cucur labu saya. Selebihnya, kita jadikan sebagai hidangan minum petang.

Cucur labu kuning

Hendak kongsikan resepi cucur labu, saya agak-agak sahaja sukatan bahannya. Saya main campak-campak, asal lemak manis labu tu terasa dan bater cucur lembut gebu sudah cukup. Insya-Allah, nanti ada rezeki di kesempatan lain saya kongsi resepi cucur labu yang proper. 😊


Psst! Ada yang dah bertolak balik kampung ke tu? Atau pergi cuti-cuti? Jaga diri baik-baik ya.