Stainless Steel Litter Box untuk Rhea

Khamis, Jun 06, 2024

Stainless Steel Litter Box | Bekas Keluli Tahan Karat untuk Najis Haiwan Peliharaan | Sepanjang 13 tahun bela Yuri, saya memang tidak pernah ada masalah dalam menguruskan najisnya. Bekas najis Yuri kecil sahaja, tidak makan ruang. Beberapa kali tukar pun, bekasnya bekas plastik biasa. Tidak silap saya, bekas najis sekarang ini, Bott beli di Eco Shop sahaja.

Yuri pula jenis kucing tertib. Tiap kali melepaskan hajat, dia memang akan kambus habis-habisan. Jadi, bau hancing kencing dan bau najis jarang-jarang jadi isu di rumah. Kiranya, setakat untuk Yuri, tidak perlulah saya melabur beli litter box yang mahal-mahal tu.

Rhea 😺

Beli Material untuk Jurnal dan Scrapbook

Rabu, Jun 05, 2024

Saya ni, kalau scroll TikTok, tidak sah kalau tidak teracun. Cadang hendak cuci-cuci mata sahaja. Tahu-tahu dah rambang mata, tersangkut beli beberapa item. 

Jumpa satu seller yang jual paper packs dan sticker cantik-cantik yang saya berkenan. Harga berpatutan pula tu. Setelah berperang dan rukyahkan diri sendiri supaya tidak terlalu galak masukkan item ke dalam ‘troli’, alhamdulillah, barang-barang yang saya beli masih boleh dikira dengan jari. 🤣

Inilah material baharu yang saya beli buat hias jurnal dan scrapbook.

Total 6 item sahaja 😊

Terima Kasih, Tetamu Hebat Mei

Selasa, Jun 04, 2024

Assalamualaikum. Entri ini merupakan entri penghargaan buat kawan-kawan blogger yang aktif tinggalkan komen sepanjang bulan lepas. Dulu-dulu, masa aktif berblogging, rajin juga buat entri tukang komen paling banyak saban bulan. Kemudian, apabila blog jadi sendu, bersawang… habis semua terabai.

Alang-alang sekarang ini sudah mula dapat rentak untuk tulis blog semula (bulan lepas berjaya tulis 24 entri. Yeayyy!), entri Tetamu Hebat perlu kembali! Tidak dapat beri hadiah besar-besar, belanja jajan pun jadilah, kan? Dari awal tahun lagi saya sudah pasang niat tetapi tertangguh dari bulan ke bulan. Maklumlah, sekejap muncul sekejap tenggelam.


Terima kasih, Tetamu Hebat Mei! 

Terima kasih banyak-banyak buat kawan-kawan semua yang masih sudi datang bertandang, baca entri-entri di blog From FAMF Tower dan meriah tinggalkan jejak. Saya amat hargainya. 

Okey, tanpa melengahkan masa lagi, jom berkenalan dengan tujuh pemilik nama yang paling banyak meninggalkan komen sepanjang Mei 2024.


Tetamu Hebat Bulan Mei

Bersemayam di puncak takhta, penyokong tegar Liverpool kita. Siapa lagi kalau bukan Anies. Anies ni memang tak tahulah dia pakai enjin apa untuk blogwalking. Kagum saya! Tulis entri blog rajin, buat siri jelajah blog kawan-kawan pun rajin! Bilalah kita ada peluang nak ngopi bersama ni?

Bagi yang belum mengenali Anies, harus terjah blog Anies segera. Sekarang, Anies tengah cover cerita-cerita kembaranya ke Jepun dan Thailand. Rasa-rasa nak melanglang buana, pergilah menelaah entri-entri Anies yang lama. Banyak tempat kalian boleh sampai. 😊

Anies, nanti tolong hantar alamat terkini untuk surat-menyurat ya. Insya-Allah, saya hendak kirim sesuatu.


Selain Anies, saya bertuah ada rakan-rakan blogger lain seperti Mummy Ayu, Si Cantik dari Seberang yang suka berkembara keliling dunia - Adik Fanny, Azhafizah (adinda pencinta merah jambu), anamizu, LadyBird dan Cik Cappuccino Latte (CCL). Domo arigato! Terima kasih kerana menghidupkan suasana di FAMF Tower.

Tidak lupa buat rakan-rakan lain yang datang ke mari, walaupun nama kalian tidak tersenarai di sini, saya tetap hargai kehadiran kalian. Rajin-rajinlah datang lepak sini lagi ya. 

Kentang Ikan Bilis Air Asam

Hari ini memasak edisi menghabiskan apa bahan-bahan yang ada di dapur sebelum pergi shopping barang basah. Mula-mula ingat hendak buat lauk kentang berlada. Tetapi, macam tiada angin nak makan sambal berlada pula. Lebih kepada teringin lauk berkuah yang masam-masam.

Jadi, saya sediakan kentang ikan bilis air asam. Mudah, yang penting sedap! Kentang dan ikan bilis goreng, disimbah dengan air asam. Nikmati dengan nasi panas dan ulam-ulaman. Tentu-tentu bertambah nasi. 😂


Kentang Ikan Bilis Air Asam

Resepi Kentang Ikan Bilis Air Asam

Bahan-bahan yang diperlukan:

  • 2 - 3 biji kentang. (Kupas kulit, bersihkan, potong dan goreng sehingga empuk.) 
  • Segenggam atau dua ikan bilis (buang kepala dan bersihkan)
  • 1 labu bawang besar (dimayang atau dipotong bulat)
  • 5 ulas bawang putih (dihiris) Saya suka lebihkan bawang putih.
  • 7 batang cili api (dihiris). Saya belah dua sahaja cilinya. Andai tidak makan pedas, tidak perlu guna cili api.
  • 1 cawan air asam jawa (Asam jawa dilarutkan dengan air.) Banyak mana kuantiti yang hendak digunakan bergantung kepada tahap kemasaman yang kalian inginkan.
  • garam jika perlu
  • minyak masak secukupnya


Langkah-langkah:

  1. Panaskan minyak, goreng potongan kentang dan ikan bilis. Angkat dan ketepikan.
  2. Tinggalkan dalam lebih kurang dua sudu minyak. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili api.
  3. Masukkan air asam jawa. Jangan terus tuang semua. Agak-agaklah kemasamannya. Biarkan seketika hingga mendidih. Perasakan dengan garam jika perlu.
  4. Untuk kekalkan kerangupan ikan bilis, tuangkan kuah asam ke atas ikan bilis dan kentang hanya apabila lauk sedia untuk dihidangkan.

Siap! Jemput makan 😊

Pstt! Saya belum sempat balas kunjungan kawan-kawan semua. Tunggu ya. Insya-Allah, saya sampai juga nanti.