Kerana Dia Peminat Star Wars

Selasa, Mei 27, 2025

Set Hadiah Tema Star Wars | Ada seorang rakan lama saya yang minta tolong Bott buatkan book cover (sarung buku). Dia ingin beri hadiah kepada adik lelakinya, seorang ulat buku yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran awal bulan hadapan.

Pada mulanya, saya dan Bott ingin cari rekaan kain yang agak maskulin. Dalam pada kami berdua rambang mata dek melihat pelbagai corak kain di Shopee, terjumpa kain kartun Star Wars ni. Walaupun bukan  Star Wars ori, kainnya comel sangat! Dapatlah kita tangkap karakter-karakternya. Adik kawan saya tu peminat tegar Star Wars. Memang rezeki dialah. 

Alhamdulillah, semua mudah dan lancar. Kain murah (kualiti seperti yang diharapkan), penghantaran tidak ambil masa yang lama. Barang-barang lain yang diperlukan semua sudah sedia ada di rumah.

Selepas selesai buat book cover, masih ada banyak lebihan kain. Bott buatkan sekali wristlet key fob, rantai kunci yang boleh dipakai di pergelangan tangan dan coffee cup carrier

Dapatlah satu set.

Set Hadiah Tema Star Wars

Laderach Dubai Pistachio Kunafa Chocolate

Isnin, Mei 26, 2025

Sebelum ini, dalam salah satu entri Wordless Wednesday, saya ada kongsi gambar coklat-coklat Dubai - coklat kunafa pistachio yang saya dapat Syawal lalu. Rezeki raya tahun ini memang mewah dapat coklat Dubai. Uje dan Dhila bawa balik dari sana, kawan sekolah beri sebagai oleh-oleh, officemate Cekengah belanja saya. Kebetulan semuanya dapat lebih kurang pada masa yang sama.

Antara coklat kunafa yang saya terima ialah coklat Laderach. Kalau ikutkan saya, hubungan saya dengan Laderach sebatas pandang dari jauh sahaja. Tidak mampu saya hendak beli coklat mahal-mahal begini. Main timbang-timbang, sekeping kecil sahaja boleh cecah puluhan dan ratusan ringgit. Sebelum ini pun, kalau pergi TRX dan lalu depan Laderach, saya main pandang-pandang jeling-jeling je. 😆

Tapi, Allah susun… dalam rezeki adik-adik saya, ada terselit rezeki kakaknya juga untuk merasa. 


Laderach Pistachio Kunafa Chocolate

Coklat di bawah ini pemberian Dhila. Gigih adik ipar saya tu pergi Dubai Mall shopping coklat untuk bawa balik raya. 
 
Laderach Chocolate

Sarapan Kacang Phool

Jumaat, Mei 23, 2025

Assalamualaikum. Selamat pagi Jumaat!

Sudah bersarapan atau belum? Hari ini, seawal pagi saya dah memesan hidangan sarapan. Selesai ziarah pusara Cekebon, terus bergegas cari tempat makan. Lapar. 🤣

Pada mulanya, dalam fikiran hendak makan soto ayam atau lontong darat. Masuk restoran, dah duduk… laju je mulut pesan kacang phool. Fical minded betul. 

Inilah makan pagi saya - Kacang Phool.

Kacang Phool 😊

Gaun Tambah Pesak

Khamis, Mei 22, 2025

Kisah gaun tambah pesak ini sebenarnya kisah Syawal. Sudah lama peram dalam draft. Ingat lagi tak tahun lepas saya ada kongsi tentang Rhea, kucing Cekengah dengan kebaya sendatnya? Boleh baca di sini

Tahun ini, tragedi sendat berulang. Kisah lanjut baca entri raya saya. Rhea sampai pucat hidung pakai gaun raya yang ketat. Tak boleh sarung penuh. Sangkut kat perut.


Rhea dan gaun rayanya. 🤣

Tak pastilah sama ada Cekengah ni in denial tak mahu admit kucingnya membesar bagai juara ataupun memang sizing baju tu salah… gelak besar saya dibuatnya.

Dalam pada gelak-gelak, kasihan juga dekat adik saya tu. Punya excited nak sedondon dengan kucing kesayangan, alih-alih hasrat tidak kesampaian.

Kali ini, kita libatkan campur tangan Bott. Saya minta tolong dia alter baju tu bagi besar sikit. Belek punya belek, basi jahitannya tak ada lebihan sangat. Kalau nak tetas dan besarkan memang tak dapatlah.

Laju je mulut saya sarankan tambah pesak. Masa ini kami bertiga memang gelak besar. Saya dan pesak memang ada sejarah.


Viral Disebabkan Pesak

Sewaktu menjalani Taaruf Week di matrikulasi, baju orientasi yang saya dapat ketat tang perut, tang lengan. Kalau pakai memang sendat macam nangka kena balut. 

Saya dah cuak. Dalam hati memang nekad je nak pakai baju sendat. Lagipun boleh cover dengan tudung. 

Arwah Cekebon bimbang saya rasa tidak selesa. Arwah sanggup hubungi tukang jahit untuk minta jahitkan pesak pada baju orientasi saya (baju tu baju kurung moden). 

Berkejar arwah Cekebon dan arwah baba pergi kedai cari kain yang lebih kurang sama tona, hantar pada tukang jahit tu. Siap belikan makan tengah hari untuk mereka sekeluarga supaya tukang jahit tu boleh fokus alter baju saya. Bayar upah lebih lagi.

Menjelang petang, saya sudah ada baju orientasi berpesak yang sangat selesa untuk dipakai. Faham-fahamlah, masa minggu orientasi kena berkejar, berlari ke sana-sini. 

Yang kelakarnya, rakan sebilik saya masa tu musykil -  “Eh, ada saiz yang kena dengan awak?” Dia keliru kenapa ada student yang saiz lebih kurang saya (malah ada yang lebih kecil daripada saya) terpaksa pakai baju kurung biasa dek kerana tiada saiz yang padan.

Saya pula jujur je jawab mak saya sempat pergi hantar tailor suruh tambah pesak.

Saya ingat habis di situ sahaja. Rupa-rupanya, isu tambah pesak tu boleh jadi benda besar. Kira kalau zaman sekarang, saya dah viral dah! 🤣

Kuasa words of mouth (zaman dulu pun ada netizen kaki gossip 🤣), hampir satu batch baru daftar tu… dengan senior yang jadi committee, dengan lecturer yang terlibat… kebanyakannya tahu baju saya tambah pesak.

Bayangkanlah, tengah dalam baris member sebelah tengok saya senyum-senyum. Tunjuk pesak baju saya.

Tengah berlari nak pergi hall, committee suruh berhenti kejap. Nak tengok baju saya. Nak tengok pesak.

Bila kenang-kenang balik, kelakar juga. Sayu pun ada. Apa sahaja yang Bon tidak buat untuk anaknya ni. Al-Fatihah untuk Cekebon, Rosnidar Ali.


Gaun Tambah Pesak

Usaha menambah pesak gaun Rhea tidak semudah yang disangka. Yelah, nak kena tetas di bahagian tepi yang kecil tu, nak sambung balik piping kat lubang tangan semula. Antara kami bertiga, Bott je yang boleh diharap bab jahit-menjahit. Dia pula dah nak balik kampung keesokan harinya.

Akhirnya, kami putuskan untuk tambah ‘pesak’ di tengah. Bahagian bawah baju. Kira tak ketaralah kita tambah kain lain sebab ni bahagian dada dan perut.

Setelah ditambah ‘pesak’.

Punya last minute punya kerja, benang pun jumpa benang merah jambu je. Tak mengapa, yang penting, Rhea dapat pakai baju sedondon dengan tuannya. 🤣

Gaun berpesak yang lebih selesa. 

Sudah ada ruang bernafas, Rhea pun tak rimas. Dapatlah si Ragdoll ni menggayakan gaun ni dalam tempoh yang agak lama semasa raya. 

Eh, panjang pula entri pesak saya! Okey, jumpa lagi nanti. Terima kasih sebab sudi singgah tau. Insya-Allah, hujung minggu ni perlahan-lahan saya blogwalking blog kawan-kawan ya.