Isnin, Jun 29, 2020

Resepi Ayam Goreng Mamak

Satu lagi resepi yang dicuba dalam tempoh PKP yang lalu. Baru sempat buat entri. Ayam goreng ala ala kedai mamak. Lama dah tak makan ayam goreng rangup versi kedai mamak. Asalnya, saya dan Bott tengok satu cerita Melayu ni. Ada scene makan-makan. Bukan main meriah betul lauk-pauk yang terhidang atas meja! Mulalah saya dan Bott terliur tengok. Terus rasa teringin nak makan itu ini...ayam madu...nasi kandar...kari ikan...ayam kicap.... Makanya, alang-alang dah mulut masing-masing sibuk buat senarai, kami pun merangka sekalilah nak cuba masak lauk apa nanti.

Dalam banyak-banyak hidangan yang kami masukkan dalam senarai menu, ayam goreng mamak menang untuk hari itu. Kebetulan, memang dah lama tak makan. Tak sukar pun nak sediakan hidangan ini cuma bahan perapannya agak banyaklah jika dibandingkan dengan penyediaan ayam goreng biasa. OK, jom tengok resepi.



Resepi Ayam Goreng Mamak

Bahan-bahan yang diperlukan:
  • Ayam 500 - 600g
  • 5 - 7 ulas bawang putih
  • 3 sentimeter halia
  • 3 sudu besar tepung beras
  • 3 sudu besar tepung jagung
  • 1 - 2 sudu besar cili giling/pes cili/serbuk cili. Cili giling/pes cili ni kena agak-agaklah ye. Jika nak pedas, tambah lebih. Jika tak mahu pedas sangat, kurangkan.
  • 1 1/2  sudu besar serbuk kari
  • 1 biji telur
  • 1 sudu besar serbuk lada putih
  • beberapa tangkai daun kari
  • garam secukup rasa
  • minyak masak yang secukupnya menggoreng (deep fry)


Langkah-langkah penyediaan:
  1. Kisar bawang putih dan halia dengan sedikit air. Jika hendak tumbuk sahaja pun boleh. Tumbuk kedua-duanya hingga lumat.
  2. Masukkan bahan kisar tadi ke dalam sebuah mangkuk sederhana besar. Campurkan dengan bahan-bahan lain - tepung beras, tepung jagung, cili giling, serbuk kari, serbuk lada putih, daun kari, telur dan garam. Gaul sehingga semuanya sebati.
  3. Setelah itu, masukkan ayam ke dalam mangkuk dan perap ayam dengan bahan perapan sehingga sekata. Perap ayam sekurang-kurangnya 30 minit hingga ke dua jam sebelum digoreng.
  4. Panaskan minyak. Goreng ayam sehingga masak dan warna kulit luarnya bertukar kecoklatan. Boleh juga dimasukkan beberapa tangkai daun kari lagi ke dalam minyak gorengan supaya lebih wangi. Daun kari yang digoreng dihidangkan sekali dengan ayam yang sudah siap. Saya memang suka letak daun kari banyak-banyak. Sedap makan dengan nasi.

Selamat mencuba!






12 ulasan:

  1. Terima kasih kongsi resipi.
    Ada kesempatan boleh buat. Insya Allah.

    BalasPadam
  2. macam tak susah nak buat ni.. boleh la saya cuba nanti!

    BalasPadam
    Balasan
    1. Asal bahan-bahan cukup, perap sekejap...goreng dah boleh mamam 😊

      Padam
  3. Sedapnya.. lebih puas hati bila buat sendiri..
    Nampak senang bahan dan cara membuatnya..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Bolehlah Sha buat lepas2 rasa teringin. Bahan-bahannya jelah banyak sikit.

      Padam
  4. habis laa resto mamak ttp kalau mcm ni😆😆😆

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kahkahkah resto mamak tetap gah...tahu buat ayam goreng je 😂

      Padam
  5. makan dengan nasi panas n kuah kari pun trangkat ni =D

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.