Rabu, Disember 01, 2021

Terima Bayaran Balik Wang Tak Dituntut

Petang semalam, sewaktu semak senarai transaksi akaun bank (hujung bulan kenalah kaji mana duit pergi hahaha) baru saya perasan ada satu transaksi yang melibatkan pembayaran Wang Tak Dituntut (WTD). Awal bulan sepuluh yang lalu, saya memang ada buat permohonan tuntutan untuk wang tak dituntut. Sudah masuk rupanya duit tu.



Dahulu, semasa orang kecoh-kecoh pergi Jabatan Akauntan Negara untuk semak andai ada WTD, saya tak ambil peduli. Tak sanggup hendak bersesak-sesak untuk sesuatu yang belum tentu ada.

Kemudian, apabila semakan WTD boleh dibuat secara dalam talian, ada rupanya sedikit duit daripada akaun-akaun bank yang sudah tidak aktif. Saya masih tidak bertindak kerana ketika itu jika nak tuntut WTD kena muat turun dan cetak borang yang disediakan, lengkapkan borang, lampirkan dokumen sokongan yang diminta dan pos ke Jabatan Akauntan Negara. Rasa macam remeh pula. Biarlah duit tu kat situ dahulu.

Baru-baru ini, seorang teman beritahu saya yang tuntutan WTD boleh dibuat sepenuhnya secara atas talian. Saya pun cubalah. Tak sangka, amaun WTD saya turut bertambah dari kali terakhir saya periksa. WTD ni dikemas kini saban tahun, jadi rajin-rajinlah periksa ya. Mungkin dahulu tiada, tahun ini ada. Mungkin dahulu ada sedikit, tahun ini ada tambahan baki duit terselit di mana-mana.


Cara Membuat Semakan Wang Tak Dituntut (WTD)

  1. Pergi ke Laman Web eGUMIS - Jabatan Akauntan Negara Malaysia. Klik di sini.
  2. Daftar sebagai pengguna jika masih belum mempunyai akaun. Jika sudah miliki akaun, log masuk menggunakan kata laluan.
  3. Setelah  berjaya log masuk, tekan pada 'KLIK DI SINI UNTUK CARIAN WANG TAK DITUNTUT'. Masukkan nombor kad pengenalan untuk membuat semakan. Kita hanya boleh buat sehingga 2 carian sahaja satu hari. Sekiranya ada rekod WTD, skrin seterusnya akan paparkan jumlah wang dan dari mana wang tersebut diperoleh.

Contohnya seperti ini:


Akan ada paparan maklumat berikut:
  1. Bil - Bilangan rekod WTD atas nama empunya. Jika ada 1, 1 sahajalah paparan rekodnya. Jika ada lebih, akan disenaraikan satu per satu.
  2. Nama Empunya
  3. No. Pengenalan
  4. Nombor Rujukan
  5. Jenis WTD (dari mana kita peroleh WTD. Misalnya baki Akaun Simpanan, Dividen dan Pulangan Modal, Legasi dll)  
  6. Tahun Kewangan
  7. Nama Entiti - Institusi yang berkaitan (Bank/Syarikat)
  8. Amaun (RM)


Ada tak wang tak dituntut? Berbaloi ke nak tuntut? Macam Cekengah dan Bott, masing-masing jumlahnya kurang daripada RM1. Jadi memang buat gelak jelah. Bagi yang berbaloi tu, kita teruskan dengan langkah selanjutnya:

Cara Membuat Tuntutan Wang Tak Dituntut (WTD) Secara Dalam Talian 

  1. Dari skrin yang menunjukkan rekod WTD kita tadi, klik pada kotak kecil di tepi senarai WTD yang ingin dituntut dan tekan butang 'Teruskan dengan Permohonan'. 
  2. Kemudian, klik 'Tambah Penerima'. Lengkapkanlah butiran-butiran yang diminta seperti maklumat pemohon dan butiran perbankan. Tekan 'Simpan'.
  3. Sudah sampai peringkat ini, saya tidak berapa ingat sama ada perlu tandakan kotak pengakuan bersetuju dengan terma dan syarat dahulu ataupun muat naik dokumen dahulu. Jangan bimbang, prosesnya jelas. Ikut sahaja arahan yang tertera. Kita akan perlu muat naik dokumen-dokumen tertentu. Perhatikan betul-betul dokumen apa yang diminta (ditandakan sebagai mandatori). Bagi pemohonan individu, kena sediakan salinan kad pengenalan diri dan salinan penyata akaun bank (untuk dimasukkan duit yang dituntut).
  4. Lengkapkan permohonan dengan tekan butang 'Hantar' diikuti dengan 'Ya.'


Setelah selesai, kita akan terima e-mel 'Permohonan Bayaran Balik Wang Tak Dituntut telah Diterima' berserta nombor rujukan. Turut dinyatakan melalui e-mel tersebut bahawa proses bayaran hanya akan dilaksanakan selepas dokumen sokongan lengkap dimuat naik dan disahkan.

Pada peringkat ini, tidak perlu gigih hendak semak duit sudah masuk ke belum sebab permohonan dan dokumen kita sedang diproses. Kira belum lulus lagi.

Susulannya, kita akan terima satu lagi e-mel 'Pengesahan Dokumen Sokongan Permohonan Tuntutan Wang Tak Dituntut'. Dapat e-mel ini bermakna permohonan kita berjaya. Proses bayaran akan dilaksanakan dalam tempoh 30 hari dari tarikh e-mel berkenaan. Saya mohon pada 6 Oktober dan terima e-mel pengesahan dokumen sokongan pada 21 Oktober. Kira makan masa dalam dua minggu jugalah untuk permohonan WTD saya diproses.

Akhir sekali, kita akan terima satu e-mel Notifikasi Status Bayaran. E-mel ini yang saya terlepas pandang. Itu yang tak perasan duit WTD dah masuk. E-mel tersebut memaklumkan yang bayaran balik WTD telah dibuat. 

Alhamdulillah, selesai! Saya buat permohon pada 6 Oktober, duit masuk pada 8 November. Tak adalah cepat sangat prosesnya tetapi tidaklah sehingga berjanggut menunggu. Yang penting prosesnya mudah. Tak perlu keluar rumah, tak perlu beratur panjang. 

Siapa-siapa yang masih belum tuntut WTD, bolehlah buat semakan dan tuntutan segera. 

26 ulasan:

  1. pernah dengar pasal WTD ni dari kawan.tapi tak tahu siapa jer yang boleh mohon WTD ni.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Cubalah periksa Syu. Mana tahu ada baki wang dari akaun simpanan dahulu ke...

      Padam
  2. oh..WTD ni saya dah tuntut tahun lepas. masa tu buka kaunter di menara maybank. demi duit sanggup ye pergi siapkan semua dokumen dan hantar. Alhamdulillah kak Farrah dah dapat duit. saya selamat belanja dah. hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hahaha demi duit kena gigih! Alhamdulillah, dapatlah duit buat tambah-tambah belanja.

      Padam
    2. kan. duit kita tu. rezeki jangan ditolak

      Padam
  3. WTD ni x tau la ada ke x..macam x ingat..nanti nak check la...

    BalasPadam
  4. Mudah bila dah boleh buat tuntutan atas talian ini tapi tu lah untuk orang yang dah meninggal je Sha tak jumpa cara lagi macam mana nak tuntut.. huhuhu..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Sebagai waris memang agak complicated sedikit nak memohon, Sha. Banyak dokumen sokongan yang diperlukan selain sijil kematian, surat kuasa/tadbir...

      Padam
  5. Check haritu lepas arwah mama meninggal.. Ada less than 20 je dlm tu. Biar jelah dulu kan

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul. Biar dulu. Mana tahu ada baki wang lain yang dikemas kini tahun akan datang.

      Padam
  6. pernah tuntut jgk.... haha nk check lagi ar kot ada lagi yg tertgl wkakaka

    BalasPadam
  7. Senang boleh buat online je. Lama tak lama jugaklah 2 minggu tu. Alhamdulillah ada jugak jumlahnya boleh buat tambah tambah duit belanja.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Itulah... senang juga apabila semua proses boleh dibuat secara online. Proses menunggu tu pejam matalah kan... janji tak perlu keluar ke sana. Alhamdulillah, adalah sikit RM buat tambah-tambah belanja :)

      Padam
  8. Boleh check juga ni . Mana tahu ada rezeki terselit

    BalasPadam
  9. Alhamdulillah. Terima kasih atas perkongsian yang bermakna ni, nak cuba juga, inshaAllah ada rezeki. Moga Farrah dimurahkan rezeki dan dirahmati Allah swt. Aameen.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Selamat mencuba, babYpose. Mudah-mudahan ada WTD yang boleh dituntut. Terima kasih atas doanya. Aaamiin. Moga doa yang sama berbalik pada babYpose dan keluarga juga.

      Padam
  10. boleh try check lepas ni mana tau ada terselit sikit duit belanja..hehe

    BalasPadam
    Balasan
    1. Kan.. kan... ada terselit tu rezeki tu buat tambah-tambah duit belanja :)

      Padam
  11. Dah fully online ye?
    Boleh cuba cek lepas ni, manalah tahu ada rezeki kan :)

    BalasPadam
  12. ada jg WTD, bagus, boleh tuntut online..nak try jg..thanks Farrah..

    BalasPadam

PERHATIAN: Setiap komen yang tersiar di From FAMF TOWER adalah tanggungjawab sepenuhnya penulis itu sendiri malah tidak mewakili pandangan pemilik blog. Pemilik blog tidak akan dipertanggungjawabkan andai berlaku sebarang permasalahan yang timbul berkait komen tersebut.

Pemilik blog juga berhak memadam tanpa menerbitkan sebarang komen yang dianggap tidak menyenangkan.