Ada yang panggil kuih bom... kuih bijan… kuih bom bijan. Ada juga yang panggil onde-onde manis. Apapun namanya, kuih ini memang antara kuih tradisional kegemaran saya. Saya paling suka bahagian kulit luarnya. Inti tidak kisah inti apa… inti kelapa manis ke… kacang hijau ke… janji kulit luar tu best!
Pernah masa musim PKP dulu, walaupun bahan serba tak cukup saya buat juga kuih bom bijan ini semata-mata hendak menikmati kulitnya. Itu yang jadi kuih bom mentega kacang tanpa salutan bijan tu. Janji lepas craving kulit kuih bom sudah. 😂
Kali ini saya buat kuih bom inti kentang. Memang ada sesetengah adunan kuih donat dan kuih bom menggunakan kentang yang telah dilenyek untuk mendapatkan tekstur kulit yang lebih lembut. Tetapi, kuih bom yang saya buat ini tidak guna kentang untuk doh kulit sebaliknya kentang dijadikan sebagai inti.
Kuih bom sedia untuk digoreng. |
Semasa buat rasa dah cukup bulat kuih bom saya tetapi apabila tengok gambar ... alahai, banyak pula bucu dan benjol di sana sini. Mungkin semasa golek doh dengan bijan tu saya tidak cukup lemah gemalai. Itu yang jadi tidak sempurna bulatnya. 😂
Siap digoreng! |
Mujurlah rupa paras selepas digoreng masih kelihatan seperti kuih bom hahaha! Okey, jom tengok resepi. Saya tidak gunakan tepung pulut sepenuhnya. Saya letak tepung gandum sedikit supaya kulit luar kuih tidak jadi terlalu keras atau liat sesudah digoreng. Yang lembut beginilah yang tak cukup sebiji kalau makan, lagi-lagi ketika masih panas.
Resepi Kuih Bom yang Sedap, Lembut dan Tidak Liat
Bahan-bahan yang diperlukan:
Untuk kulit
- 2 cawan tepung pulut
- 1/2 cawan tepung gandum
- 3/4 - 1 cawan air
- 1/2 sudu teh garam
- bijan putih secukupnya untuk saluti kuih
Untuk inti kentang
- 3 - 4 biji kentang bersaiz sederhana, direbus kemudian dilenyek
- perasakan dengan serbuk lada sulah dan garam secukup rasa
- Masukkan tepung pulut, tepung gandum dan garam ke dalam sebuah mangkuk sederhana besar. Gaul sehingga semua sebati.
- Kemudian, masukkan air sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang tidak melekat di tangan.
- Gentel menjadi bebola kecil mengikut saiz yang dikehendaki, letak inti kentang dan bulat-bulatkan.
- Gelekkan kuih dengan bijan putih sehingga permukaan luar tersalut sepenuhnya.
- Goreng dengan api sederhana sehingga warna bertukar keperangan. Sedia untuk dihidangkan.
Tips Goreng Kuih Bom Supaya Tidak Pecah atau Merekah
Rehatkan kuih sebelum digoreng
Jom tengok inti kentang di dalam kuih pula.
Kuih bom bijan inti kentang lenyek |
Dari luar kulit sehinggalah ke intinya, semua lembut, gebu dan tak liat. Memang akan enjoy bila makan. Jika hendak buat kuih bom bijan frozen pun boleh guna resepi ini. Ni dah nak masuk bulan puasa... mana tahu ada yang hendak buat stok kuih untuk sahur atau berbuka sepanjang Ramadan.
Goreng sekejap untuk kekalkan bentuk kuih. Biarkan sejuk. Kemudian simpan di dalam peti dingin beku. Apabila hendak dinikmati, goreng kuih sehingga masak. Selalunya saya goreng di dalam air fryer sahaja.
Selamat mencuba!
smlm baru tgk youtube cik nom buat kuih ni hehehe
BalasPadam